Selasa, 30 Jun 2020 | 8:30am
Isteri Gbob, Siti Aisyah bersyukur suami mula menunjukkan perubahan positif selepas dibedah. Foto Ihsan Gbob
Isteri Gbob, Siti Aisyah bersyukur suami mula menunjukkan perubahan positif selepas dibedah. Foto Ihsan Gbob

Gbob makin stabil

KUALA LUMPUR: Bekas peserta musim kelima program realiti, Raja Lawak, Gbob yang menjalani pembedahan membuang ketumbuhan atau cyst pada bahagian tekak, baru-baru ini, semakin stabil.

Isterinya, Siti Aisyah Wahiddin, 38, memberitahu Gbob menunjukkan perubahan positif apabila mampu bercakap tanpa sakit.

"Suami dimasukkan ke hospital untuk membuang ketumbuhan pada anak tekak, Selasa lalu.

"Doktor beritahu jika tidak dibedah segera, keadaan itu boleh menyebabkan kanser. Pembedahan dilakukan Khamis lalu selepas suami menjalani ujian saringan COVID-19 dan pemeriksaan tekanan darah.

"Alhamdulillah, suami semakin stabil dan suaranya semakin jelas apabila bercakap. Tidak seperti sebelum ini dia sering sakit pada bahagian trakea apabila bercakap," katanya kepada BH Online.

Mengimbas detik suami terlantar akibat terjatuh di rumah, Mac lalu, Siti Aisyah bersyukur Gbob atau nama sebenar, Mohd Hamizi Hashim sudah banyak berubah dan keadaan itu menggembirakan keluarga.

"Masa mula-mula sakit, suami hanya terlantar dan tak boleh bercakap. Kalau perlukan bantuan, suami hanya menggunakan isyarat anak mata.

"Hendak bergerak pun dibantu sebab belum mampu melakukannya sendiri. Bagaimanapun, keadaannya hari ini semakin banyak berubah.

"Suami sudah boleh duduk dan berdiri sendiri. Walaupun masih belum pulih sepenuhnya disebabkan sebahagian tempurung kepala masih belum dipasang selepas pembedahan buang darah beku, kami bersyukur dia menunjukkan perkembangan positif," katanya.

Ditanya bila pembedahan memasang tempurung kepala akan dilakukan, Siti Aisyah berkata, berdasarkan perkembangan terkini, tidak mustahil ia akan dilakukan dalam masa terdekat.

"Ada banyak pemeriksaan yang harus suami jalani sebelum pembedahan dibuat.

"Namun, selepas doktor melihat perkembangan terkini pada bahagian yang dibedah dan tempurung kepala yang akan memasuki tempoh matang, doktor beritahu, besar kemungkinan pembedahan akan dilakukan, bulan depan.

"Insya-Allah, apabila tempurung kepala sudah dipasang, barulah suami kembali seperti biasa. Sekarang, suami belum lagi jadi 'Gbob' yang dahulu," katanya.

Teman-teman menganggap Gbob kuat semangat melawan penyakitnya. Foto Ihsan Gbob
Teman-teman menganggap Gbob kuat semangat melawan penyakitnya. Foto Ihsan Gbob

Walaupun terselit rasa sayu melihat penderitaan suami, ibu kepada Nur Humairah ini kagum dengan semangat yang ditunjukkan Gbob dalam melawan kesakitan.

"Rata-rata mereka yang datang ziarah beritahu Gbob kuat semangat. Malah, doktor yang merawatnya di rumah terkejut apabila mendapat tahu tempoh pemulihannya cepat berbanding pesakit lain," katanya.

Siti Aisyah berkata, sekembalinya dari hospital, Gbob menyatakan hasrat untuk segera sembuh.

"Suami beritahu dia mahu cepat sihat dan kembali berlakon. Dalam linangan air mata, dia beritahu yang dia mahu berjaya. Saya sangat kagum melihat kesungguhannya itu," katanya.

Memandangkan Gbob tidak bekerja, Siti Aisyah mengambil alih tugas suami menyara kehidupan mereka sekeluarga.

"Saya baru bekerja di kedai dobi sepenuh masa. Sepanjang saya bekerja, ibu mentua dan adik ipar yang datang menjaga Gbob.

"Sejak Gbob jatuh sakit, ramai kawan-kawannya bertanya khabar dan memberi bantuan. Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) turut menghulur sumbangan.

"Saya memerlukan bantuan membeli lampin pakai buang dan susu. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana prihatin dengan nasib kami sekeluarga," katanya.

Bagi membantu meringankan beban keluarga, Siti Aisyah memberitahu, kempen kitafund dianjurkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengumpul derma.

Berita Harian X