Isnin, 13 Julai 2020 | 1:00pm
Daiyan Trisha tidak menyangka gambar aksi menjelirkan lidah yang dimuat naik secara suka-suka
Daiyan Trisha tidak menyangka gambar aksi menjelirkan lidah yang dimuat naik secara suka-suka

Daiyan mangsa eksploitasi

KUALA LUMPUR: Sekali lagi, foto dirinya dijadikan bahan jenaka dan eksploitasi individu tidak bertanggungjawab. Berulang kali, penyanyi, Daiyan Trisha, 26, menjadi mangsa perlakuan tidak senonoh yang mencemar reputasi.

Siapa sangka, sekadar suka-suka memuat naik foto memaparkan aksi menjelir lidah di laman sosial, Daiyan atau nama penuhnya, Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, dieksploitasi hingga mengundang reaksi netizen.

"Saya perempuan dan menjadi mangsa. Saya lihat, pada laman web yang menyiarkan foto saya itu, mangsanya ramai perempuan.

"Mereka yang bercakap mengenai soal ini juga wanita. Saya hairan, kenapa perempuan sahaja yang memandang serius soal ini?

"Sedangkan ini bukan masalah wanita... Ini isu sosial. Wanita yang menutup aurat dan mereka yang bukan artis juga menjadi mangsa.

"Selagi lelaki tidak mengubah buah fikiran mereka dan tidak mengubah sikap untuk menghormati wanita, perkara ini tetap terjadi," katanya kepada BH Online.

Tambah Daiyan, lelaki zaman sekarang perlu mengubah cara pemikiran dan berhenti melayan wanita umpama objek.

Penyanyi lagu Langit ini menegaskan, pendidikan dari kecil sangat penting bagi mengelak lebih ramai wanita menjadi mangsa perlakuan lelaki.

"Semuanya berbalik kepada didikan sejak kecil. Seseorang lelaki perlu dididik untuk menghormati wanita, tanpa didikan yang baik, kita boleh lihat anak muda sekarang bebas mengeluarkan kata-kata tidak bermoral terhadap wanita," katanya.

Tambah Daiyan, isu penganiayaan terhadap wanita perlu diangkat lebih serius dan diperjuangkan lelaki terutama selebriti popular yang mampu mempengaruhi pengikut agar untuk menghormati kaum Hawa.

"Saya sering lihat perkara ini diperkatakan dan dibangkitkan wanita, sedangkan isu ini berpunca daripada lelaki. Kita juga yang memperjuangkan hak wanita bertahun-tahun, tapi adakah kita lihat lelaki memperjuangkan hak itu?

"Bagi saya, sepatutnya ada 'influencer' atau selebriti lelaki yang tampil menyuarakan soal ini, bukan sahaja perempuan.

"Sampai bila perempuan perlu takut untuk memuat naik gambar?" katanya yang akan membintangi filem, Oktober depan.

Berita Harian X