Selasa, 14 Julai 2020 | 6:00pm
Anita Baharom tidak menjadikan penyakit sebagai alasan untuk meninggalkan dunia lakonan, sebaliknya tetap terima tawaran mengikut kesesuaian masanya. - Foto IG Anita Baharom
Anita Baharom tidak menjadikan penyakit sebagai alasan untuk meninggalkan dunia lakonan, sebaliknya tetap terima tawaran mengikut kesesuaian masanya. - Foto IG Anita Baharom

Anita derita penyakit Lupus

KUALA LUMPUR: Lebih sedekad bertarung dengan penyakit yang dikenali Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) atau Lupus, pelakon Anita Baharom, 37, mengakui ia bukanlah faktor utama jarang muncul di kaca televisyen (TV).

Anita yang pernah popular menerusi drama Dunia Baru itu berkata, dia menerima tawaran lakonan mengikut kesesuaian masanya sebagai ibu kepada tiga cahaya mata.

"Bukannya memilih tawaran, tetapi saya menerima tawaran bersesuaian dengan masa. Sebelum memiliki cahaya mata, bolehlah sibuk di lokasi penggambaran, kini susah sikit. Lebih lagi, memiliki tiga cahaya mata yang sedang membesar dan memerlukan perhatian.

"Apabila anak-anak sudah bersekolah, mungkin saya lebih banyak masa senggang yang terluang, jadi bolehlah saya aktif berlakon semula.

"Sebenarnya, saya tak pernah berhenti, ada sahaja berlakon, cuma orang tak nampak di kaca TV sebab naskhah lakonan ditayangkan tak tentu masa. Saya menjayakan filem Keluarga Iskandar The Movie, tahun lalu. Terbaharu, saya terbabit dengan sitkom untuk Awesome TV," katanya kepada BH Online.

Berkongsi perkembangan kesihatan, Anita berkata, penyakitnya semakin stabil.

Bagaimanapun, katanya, dia pernah diserang sakit sendi hingga membuatkan jari bengkok dan tak mampu berjalan selepas menjalani penggambaran filem Keluarga Iskandar The Movie di Johor Bahru, sekitar Mac tahun lalu.

"Jika boleh, saya tak mahu membesarkan perkara ini, takut orang cakap saya mengada-ngada. Selepas menjalani pemeriksaan di hospital dan pakar mengesahkan saya menghidap penyakit SLE. Jadi, saya kena mengatur kerja supaya dapat mengelak menyusahkan orang lain.

"Saya tak boleh bekerja dalam keadaan terlalu tertekan dan penat. Sekiranya penat, sendi akan mula sakit. Sekarang, Alhamdulillah apabila melakukan pemeriksaan di hospital, tahap SLE saya sudah bertambah baik," katanya yang disahkan menghidap SLE pada 2017.

Dalam perkembangan lain, Anita kini giat menjalankan perniagaan acar limau sejak menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Berita Harian X