Isnin, 20 Julai 2020 | 8:30am
Zizi Kirana beraksi pada Konsert New Normal di Istana Budaya, minggu lalu. Foto IG Istana Budaya
Zizi Kirana beraksi pada Konsert New Normal di Istana Budaya, minggu lalu. Foto IG Istana Budaya

IB 'hidup' semula

KUALA LUMPUR: Empat bulan sunyi tanpa acara mahupun persembahan, Istana Budaya kembali berseri dengan penganjuran Konsert New Normal yang berlangsung dua malam, mulai Jumaat lalu.

Konsert lebih dua jam itu menampilkan penyanyi hebat, Datuk M Nasir, Zizi Kirana, Rojer dan Dhiya dengan diiringi pemuzik dari Orkestra Tradisional Malaysia (OTM).

Seperti dijanjikan, aspek keselamatan diberi perhatian dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan. Di setiap pintu masuk, petugas dilihat mengendalikan pelbagai rutin seperti pendaftaran maklumat diri, pemakaian pelitup muka dan pemeriksaan suhu badan.

Sebaik kaki melangkah ke Panggung Sari, kerusi penonton ditanda dengan penetapan jarak semeter antara satu sama lain.

Kerusi penonton ditanda dengan penetapan jarak semeter antara satu sama lain bagi mematuhi SOP ditetapkan MKN. Foto IG Istana Budaya
Kerusi penonton ditanda dengan penetapan jarak semeter antara satu sama lain bagi mematuhi SOP ditetapkan MKN. Foto IG Istana Budaya

Daripada pandangan penonton, aturan itu melegakan kerana keselamatan mereka terjaga.

Namun, andai ditanya kepada penganjur acara, keuntungan pasti terjejas berikutan daripada 1,413 kerusi, hanya 505 kerusi dibenarkan diisi.

Dalam hal ini, sudah tentu, persoalan bagaimana penganjur mahu mendapat keuntungan apabila lebih separuh daripada jumlah penonton hilang, timbul.

Selain menjejaskan jualan tiket, situasi itu memberi kesan kepada emosi artis atau individu yang mahu membuat persembahan.

Perkara ini diakui Nasir yang menyifatkan kehadiran ramai penonton boleh dianggap sebagai 'vitamin' kepada penyanyi untuk lebih teruja ketika beraksi.

"Sebagai penyanyi kita pasti mengharapkan kehadiran penonton yang ramai. Namun, apabila kita lihat banyak kerusi kosong, situasi itu boleh memberi impak daripada segi kepuasan kepada emosi penyanyi.

"Bagaimanapun, kita faham, keadaan ini berlaku bukan kerana orang tidak ramai. Sebaliknya, orang tidak boleh datang beramai-ramai.

M Nasir mengubat rindu peminat dengan rangkaian lagu popular pada Konsert New Normal di Istana Budaya, minggu lalu. Foto IG Istana Budaya
M Nasir mengubat rindu peminat dengan rangkaian lagu popular pada Konsert New Normal di Istana Budaya, minggu lalu. Foto IG Istana Budaya

"Bagaimanapun, sebagai penyanyi, kita perlu bersikap profesional. Kita mesti paksa diri untuk merasai aura itu. Anggap sahaja konsert itu penuh dengan penonton walaupun pada hakikatnya tidak," katanya ketika ditemui BH Online sebaik selesai konsert berkenaan.

Ditanya apakah beliau bersedia membuat konsert solo, penyanyi dan komposer yang mendapat gelaran sifu ini pantas menjawab tidak.

"Pada saya, tidak praktikal untuk saya pentaskan konsert dalam situasi seperti ini. Takkanlah nak jual tiket mahal. Siapa hendak beli tiket melainkan konsert percuma seperti malam ini (kelmarin)," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah IB, Zaiton Md Desa tidak menafikan SOP memberi kekangan kepada penganjur meneruskan acara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Malah, Zaiton berkata, ada penganjur terpaksa menarik diri berikutan tidak mampu menanggung kos penyelenggaraan yang sangat tinggi.

"Apabila kerajaan membenarkan persembahan pentas aktif kembali, kami dibekalkan dengan SOP yang perlu dipatuhi.

"Antaranya, setiap lokasi perlu disanitasi. Proses nyah kuman ini paling murah membabitkan kos RM1,800.

"Selain itu, jika persembahan membabitkan ramai peserta seperti teater dan tarian, penganjur perlu memastikan tidak ada alat solek dikongsi.

"Walaupun panggung diberi percuma, kos sampingan adalah tanggungjawab penganjur. Bayangkan berapa banyak kos yang penganjur perlu keluarkan?

"Mungkin atas faktor itu lima produksi terpaksa menarik diri daripada mementaskan acara, tahun ini. Selain itu, ada beberapa konsert besar yang dibawa tahun depan," jelasnya.

Tambah Zaiton, IB tidak akan berkompromi daripada segi pematuhan SOP. Pihaknya tidak mahu dipersalahkan jika berlaku perkara berbangkit.

"Kami akan memuat pemantauan bagi memastikan setiap SOP dipatuhi. Kita tidak mahu jika kakitangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat pemeriksaan dan didapati ada yang gagal dipatuhi, kesannya akan membabitkan semua pihak.

"Penganjur acara kena ikut arahan, jika tidak persembahan tidak boleh diteruskan," katanya.

Mengulas pementasan teater Siti Di Alam Fantasi yang ditangguhkan, Zaiton berkata, perkara itu masih dalam pertimbangan berikutan projek itu membabitkan ramai pelakon kanak-kanak.

"Kalau ikutkan, kita memang hendak mementaskannya kerana sudah lama bersedia. Cuma, masalahnya, ramai pelakon teater ini adalah kanak-kanak.

"Penonton juga pastinya ramai kanak-kanak. Takkanlah jika mereka datang sekeluarga, kita kena pisahkan tempat duduk mereka.

"Jadi, kita tunggu sahaja perkembangan lanjut jika ada kelonggaran yang bakal diumumkan MKN," katanya.

Berita Harian X