Sabtu, 1 Ogos 2020 | 8:30am
Zara Zya tak gentar bersaing dengan bakat baharu, malah hingga hari ini, masih relevan. - Foto IG Zara Zya
Zara Zya tak gentar bersaing dengan bakat baharu, malah hingga hari ini, masih relevan. - Foto IG Zara Zya

Zara idam watak 'psiko'

KUALA LUMPUR: Watak 'split personality' sering menjadi dambaan setiap aktres bagi menguji kehebatan lakonan. Tidak terkecuali, aktres, Zara Zya.

Zara teruja apabila menonton filem yang banyak bermain dengan emosi dan jiwa. Pemenang Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 2013 ini seolah-olah berasakan karakter berkenaan meresap dalam jiwanya.

Akhirnya, penantian Zara atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd Zainuddin bernoktah apabila ditawarkan watak Balqis menerusi telefilem yang belum diletakkan judul untuk siaran Astro.

Telefilem arahan Jamal Khan itu masih dalam penggambaran sekitar Janda Baik, Pahang. Zara turut berkongsi gambar dan pengalaman menjalani penggambaran di laman Instagram (IG).

"Watak Balqis sudah lama saya idamkan. Saya selalu terdetik dalam hati mahukan karakter mencabar apabila menonton filem bergenre seperti ini menerusi karya Hollywood.

"Balqis digambarkan berdepan gangguan Dissociative Identity Disorder (DID) atau Kecelaruan Jati Diri. Karakter ini ada banyak personaliti.

"Dia dikurung selama sembilan tahun termasuk didera dan dirogol hingga menjejaskan emosi serta mentalnya. Identiti diri bertukar dan mula menjadi 'psiko," katanya kepada BH Online.

Zara Zya mempertaruhkan bakat dan disiplin, malah tak mahu berada pada takuk lama serta sanggup menyahut cabaran watak menguji diri. - Foto IG Zara Zya
Zara Zya mempertaruhkan bakat dan disiplin, malah tak mahu berada pada takuk lama serta sanggup menyahut cabaran watak menguji diri. - Foto IG Zara Zya

Zara berkata, dia terbuka untuk mencabar diri melakonkan watak yang di luar kotak fikiran.

"Saya terbuka bersaing dengan pelakon baharu. Alhamdulillah, hingga kini, saya masih relevan.

"Saya mempertaruhkan bakat dan disiplin, malah saya tak mahu berada pada takuk lama. Saya akan menyahut cabaran watak yang menguji diri," katanya yang akan menjalani penggambaran drama, Ogos depan.

Menerusi telefilem berkenaan juga, Zara kembali berlakon dengan aktor serba boleh, Hasnul Rahmat.

"Kali pertama bergandingan dengan Hasnul menerusi drama Korban Kasih, kini kami digandingkan kembali," katanya yang kini mengusahakan restoran Zara Zya Cooks di Shah Alam.

Berita Harian X