Sabtu, 1 Ogos 2020 | 11:00am
Lufya Omar sudah lama ‘move on’ apabila rumah tangganya dengan Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum tidak mampu diselamatkan. - Foto IG Lufya Omar
Lufya Omar sudah lama ‘move on’ apabila rumah tangganya dengan Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum tidak mampu diselamatkan. - Foto IG Lufya Omar

Tak halang bekas suami jumpa anak

KUALA LUMPUR: Kemelut rumah tangga penyanyi dan pelakon, Lufya Omar dan bekas suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum terus diperkatakan, meskipun sudah sah bercerai pada 17 Jun lalu.

Bintang Akademi Fantasia musim keenam itu berkata, dia mengelak membuat pengumuman mengenai perceraiannya. Bagaimanapun, isu berkenaan dibangkitkan oleh bekas suami apabila mengeluarkan kenyataan seolah-olah Lufya menghalangnya bertemu anak.

Lufya yang tidak dapat menahan sebak ketika ditemubual, ia secara tak langsung memberi kesan pada emosinya.

"Saya bersyukur perceraian tertangguh sejak lebih setahun lalu akhirnya selesai. Sebenarnya, saya sudah 'move on', tetapi apabila bekas suami membangkitkan soal anak, ia mengusik perasaan saya.

"Sebolehnya saya tak mahu mengumumkan perceraian ini. Saya risau orang cakap saya mahu menggembar-gemburkan kisah rumah tangga, makin banyak pula fitnah dilemparkan.

"Kini, apa yang dikesalkan bekas suami mendakwa saya menghalangnya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai bapa," katanya kepada BH Online.

Lufya Omar mahu bekas suami melihat Sharnaaz Ahmad sebagai contoh terbaik, ketepikan ego demi anak. - Foto IG Lufya Omar
Lufya Omar mahu bekas suami melihat Sharnaaz Ahmad sebagai contoh terbaik, ketepikan ego demi anak. - Foto IG Lufya Omar

Tambah Lufya, dia tidak pernah menghalang bekas suami bertemu dengan anaknya di rumah, apatah lagi, berniat untuk memutuskan hubungan anak beranak.

"Saya mahu bekas suami berbincang dengan saya mengenai isu anak, jadi tak perlu dibangkitkan pada khalayak ramai. Nak jumpa berbincang mengenai anak, saya okay dan boleh datang ke rumah.

"Saya mengambil Sharnaaz Ahmad sebagai contoh terbaik. Saya sangat menghormatinya, walaupun mempunyai masalah dengan Noor Nabila Mohd Noor, tetapi dia turunkan egonya dan ketepikan kemarahan sebab anak.

"Bukannya apa, saya risaukan anak. Saya fikir macam mana anak nak ke sekolah dan masa depannya? Saya minta peminat doakan kami dapat berbincang secara baik. Jika tidak, terpaksa diteruskan ke mahkamah," katanya.

Lufya dan Dr Che Muhammad Hafiz sah bercerai talak raj'ie pada 17 Jun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam. Mereka mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 dan dikurniakan seorang cahaya perempuan, Laana Haura yang kini berusia tiga tahun.

Dalam perkembangan lain, Lufya menjayakan sitkom The Khadijahs bersama rakannya seperti Diana Amir, Irma Hasmie, Ernie Zakri, Wany Hasrita dan ramai lagi untuk kandungan di platform Nurflix.TV.

"The Khadijahs adalah kumpulan terdiri daripada selebriti yang berhijrah, ditubuhkan untuk saling menyokong antara satu sama lain.

"Ia bermula apabila Lisa Surihani berhijrah, dia memerlukan sistem sokongan untuk membantu penghijrahannya dan kami banyak berkongsi, selain belajar agama.

"Mereka juga memberi sokongan pada saat sangat memerlukan. Alhamdulillah, kini kami dapat bekerjasama menerusi sebuah program televisyen atas talian pula," katanya.

Berita Harian X