Ahad, 2 Ogos 2020 | 3:00pm
Nelydia Senrose mengambil langkah berhati-hati, malah tidak berkumpul beramai-ramai ketika menjalani penggambaran bagi mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan. - Foto IG Nelydia Senrose
Nelydia Senrose mengambil langkah berhati-hati, malah tidak berkumpul beramai-ramai ketika menjalani penggambaran bagi mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan. - Foto IG Nelydia Senrose

Nama Nelydia tercalar

KUALA LUMPUR: Bersusah payah membina nama sejak usia 13 tahun, namun nama aktres, Nelydia Senrose mula tercalar ekoran dakwaan melanggar kontrak bersama satu produk, baru-baru ini.

Sebagai selebriti yang sudah lama bertapak dalam industri hiburan, cerita negatif cukup ditakutinya.

Bagi Nelydia atau nama sebenarnya, Nik Zaris Nelydia Nik Sen, dakwaan berkenaan bukan sahaja boleh menimbulkan kesangsian dan mengubah persepsi orang ramai terhadapnya, malah menjejaskan periuk nasi yang dibina sejak di bangku sekolah.

"Saya cukup menjaga nama baik dan mengelak terjebak dengan kontroversi sejak 10 tahun lalu. Tetapi, apa yang berlaku tentunya mencetuskan kesangsian orang terhadap saya, baru-baru ini.

"Saya menjaga nama dan takut jika ada yang tidak yakin pada saya. Walau bagaimanapun kejadian memberi iktibar kepada saya untuk menjadi seorang yang lebih matang pada masa depan," katanya kepada BH Online.

Peluang menjejak kaki ke Brazil bersama Fatin Afeefa apabila dilantik sebagai duta produk selipar mengubah persepsi Nelydia Senrose terhadap negara berkenaan. - Foto IG Nelydia Senrose
Peluang menjejak kaki ke Brazil bersama Fatin Afeefa apabila dilantik sebagai duta produk selipar mengubah persepsi Nelydia Senrose terhadap negara berkenaan. - Foto IG Nelydia Senrose

Mula dikenali selepas muncul dalam drama rantaian yang mencetuskan fenomena, Spa Q sekitar 2007, anak ketiga daripada enam beradik ini bagaimanapun lega masih mendapat kepercayaan menggalas tanggungjawab selaku duta.

Nelydia dilantik sebagai duta selipar jenama Havaianas dari Brazil. Pelantikan juga memberi peluang kepada Nelydia menjejakkan kaki selama lima hari ke Brazil pada Mac lalu.

Katanya, peluang menjejak kaki ke Brazil bersama Fatin Afeefa yang juga duta produk yang sama mengubah persepsinya terhadap negara berkenaan.

"Saya sudah simpan dalam kepala Brazil bahaya sejak dahulu. Tetapi, kami dilayan dengan baik sepanjang berada di sana. Kami disediakan pengawal peribadi untuk menjaga keselamatan.

"Memang ia satu pengalaman menarik, ditambah pula tempatnya cantik," katanya yang pulang ke tanah air empat hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Disebabkan perlu menjalani kuarantin di rumah, Nelydia berkata, dia terpaksa menolak tawaran lakonan berikutan enggan mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.

Katanya, walaupun Brazil masih belum mempunyai sebarang kes jangkitan, tetapi dirinya tetap mengambil sikap berwaspada.

"Sewaktu tiba di lapangan terbang, pihak imigresen ada bertanya kami dari mana. Sekiranya baru pulang dari Jepun, China dan Korea, kami dikehendaki menjalani ujian saringan. Tetapi, apabila dimaklumkan pulang dari Brazil, mereka melepaskan kami.

"Bagaimanapun, saya sendiri membuat keputusan untuk lalu di hadapan alat pengimbas sebagai langkah berjaga-jaga. Sepanjang tempoh kuarantin, saya mengelak diri bertemu sesiapa ataupun keluar berjalan," katanya yang kembali ke lokasi penggambaran menerusi drama siaran slot Akasia di TV3.

Meskipun sudah bekerja selepas hampir empat bulan kerjaya lakonannya terjejas akibat wabak COVID-19, Nelydia mendedahkan, dia amat berhati-hati dan sentiasa mematuhi penjarakan sosial.

Malah, katanya, dia memuji langkah berjaga-jaga diambil syarikat produksi. Selain mengawasi penjarakan sosial, produksi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan kerajaan seperti mengehadkan tidak lebih 20 orang di lokasi, pengambilan suhu badan dan menyediakan alat pembasmi kuman.

"Saya bimbang melihatkan angka kes naik semula. Saya berharap kes tidak akan serius seperti dahulu. Macam kami tidak boleh bekerja dari rumah seperti orang lain. Fizikal kami perlu berada di lokasi, sekiranya PKP dilaksanakan ia tentulah akan menyukarkan kami.

"Sebab itu, saya, Hanna Delisha dan Sahahrul Ridzwan sangat berhati-hati. Kami tidak akan berkumpul sebarangan. Jika sebelum ini kami selamba mencuit atau berkongsi makanan, tetapi demi keselamatan, saya mengelakkan dari melakukan semua perkara ini.

"Cuma yang merisaukan jika terdapat pelakon tambahan ketika di lokasi. Sebab kami tidak mengenali mereka. Bagaimanapun, syarikat produksi sangat efisyen kerana mereka tidak sewenangnya membenarkan pelakon tambahan masuk sebelum membuat pemeriksaan dan bertanyakan maklumat terlebih dahulu," kata Nelydia.

Bagaimanapun, Nelydia berkata, dia tidak berasakan semua prosedur membebankan, sebaliknya ia perlu demi keselamatan ramai.

Berita Harian X