Rabu, 5 Ogos 2020 | 7:19pm
Dayana Roza dan A’dale Adham Ayahudin berkawan rapat sejak enam tahun lalu, sebelum timbul bibit cinta. - NSTP/Rohanis Shukri
Dayana Roza dan A’dale Adham Ayahudin berkawan rapat sejak enam tahun lalu, sebelum timbul bibit cinta. - NSTP/Rohanis Shukri

Dayana kini tunangan orang

KUALA LUMPUR: Bermula kawan baik hingga berputik perasaan cinta, pelakon, Dayana Roza, 29, mengikat tali pertunangan dengan ahli perniagaan, A'dale Adham Ayahudin di Damai Glasshouse, petang tadi.

Majlis pertunangan berlangsung serba sederhana dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Ia juga diadakan serentak dengan ulang tahun kelahiran A'dale ke-33 tahun.

"Jika boleh kami mahu mempercepatkan hari bahagia. Kalau tiada aral melintang, majlis pernikahan akan berlangsung pada pertengahan Disember depan.

Bakal ibu mentua menyarungkan cincin pertunangan di jari Dayana Roza. - NSTP/Rohanis Shukri
Bakal ibu mentua menyarungkan cincin pertunangan di jari Dayana Roza. - NSTP/Rohanis Shukri

"Lagi pun, datuk A'dale sudah tua dan sakit. Jadi, kami tidak mahu menangguhkan majlis perkahwinan," katanya kepada BH Online.

Pelakon drama Lara Aishah dan Seadanya Aku itu berkata, tunangnya bersungguh-sungguh untuk memilikinya.

"A'dale pernah menyuarakan hasrat melamar saya, empat tahun lalu. Tetapi, saya menolaknya. Tak sangka, hasratnya kini menjadi kenyataan. Dia sanggup menunggu lama.

"Kami memang berkawan rapat dan sering lepak. A'dale juga teman gaduh dan paling suka menyakat saya. Tak sangka, jodoh depan mata, tak pernah sedar selama ini.

"Saya sukakan A'dale kerana dia pandai mengambil hati ibu sepanjang kami berkawan," katanya.

Sementara itu, A'dale berkata, Dayana yang lasak dan boleh satu kepala dengannya yang suka laut, berlayar dan memancing.

"Arwah nenek pernah cakap nak cari calon isteri, pilih berkulit putih. Jadi, Dayana memang dalam kategori putih, cuma sekarang gelap sedikit.

"Paling penting, kami meminati hobi lasak bersama," katanya.

Dayana memuat naik gambar bersama A'dale dengan mengenakan baju sedondon hitam menerusi laman Instagram, bulan lalu. Dayana yang lahir menerusi program realiti, Anak Wayang mengesahkan menjalinkan cinta dengan dengan A'dale.

Berita Harian X