Khamis, 6 Ogos 2020 | 9:05am
Keadaan kesihatan Yusof Kelana masih stabil ketika menerima kunjungan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid dan pengarah, Datuk Jurey Latiff Rosli, baru-baru ini.
Keadaan kesihatan Yusof Kelana masih stabil ketika menerima kunjungan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid dan pengarah, Datuk Jurey Latiff Rosli, baru-baru ini.

Yusof makin tenat

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Tragedi Oktober, Yusof Kelana, 66, yang disahkan menghidap kanser kulit tahap empat kini berada dalam keadaan tenat di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya.

Anak sulungnya, Nur Yusnani Omar berkata, sel kanser sudah merebak ke otak bapa hingga menjejaskan ingatan pengarah itu.

"Bapa hanya sempat menjalani dua pusingan kimoterapi dan radioterapi, tetapi dua rawatan itu terpaksa dihentikan berikutan keadaannya semakin lemah. Ini kerana sel kanser sudah merebak ke bahagian otak.

"Dia sedar, cuma keadaannya sangat lemah. Ingatannya pula terganggu, ada masa mengingati kami dan sebaliknya. Jadi, kami perlu sentiasa berbual dengannya untuk membantu memulihkan ingatan.

"Oleh kerana keadaannya sangat lemah, doktor terpaksa menghentikan rawatan kimoterapi dan radioterapi. Bapa dibenarkan keluar esok dan hanya perlu menjalani rawatan paliatif di rumah. Setakat ini, tiada pelawat dibenarkan, hanya ibu sahaja menjaga bapa," katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Yusof disahkan menghidap kanser pada Julai lalu pada mulanya menyangka luka pada tapak kakinya hanya kecederaan biasa.

Selepas mengalami sakit dada dan terjatuh di rumah, barulah pengarah filem Bahaya Cinta dan Bidong: The Boat People itu dibawa ke hospital biarpun berulang kali diajak anaknya.

Disebabkan tidak mempunyai sejarah penyakit kencing manis, pihak hospital bertindak melakukan ujian Computed Tomography atau CT Scan dan menemui sel kanser yang sudah berada pada tahap empat. Sepatutnya, beliau menjalani lima pusingan kimoterapi.

Berita Harian X