Isnin, 10 Ogos 2020 | 1:00pm
Ellie menyarankan kerajaan mewajibkan pemilik akaun YouTube memiliki lesen agar kegiatan mereka lebih mudah dipantau. Foto NSTP/Owee Ah Chun
Ellie menyarankan kerajaan mewajibkan pemilik akaun YouTube memiliki lesen agar kegiatan mereka lebih mudah dipantau. Foto NSTP/Owee Ah Chun

Syor lesen untuk pemilik akaun YouTube

KUALA LUMPUR: Syor pemilik akaun YouTube termasuk individu yang dianggap menjana pendapatan lumayan 'atas angin' diwajibkan memiliki lesen, menjadi antara cadangan dikemukakan kumpulan menggelarkan diri mereka, Gabung Anak Seni (GAS) kepada kerajaan.

GAS yang diterajui pelakon, pengarah dan penerbit, Ellie Suriaty Omar memberitahu, memorandum cadangan penambahbaikan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 1981 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998, akan dikemukakan kepada pihak berkepentingan, secepat mungkin.

Ellie berkata, memorandum itu akan diserahkan kepada FINAS, SKMM, Perbadanan Harta Intelek Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNDHEP) berikutan akta sedia ada tidak lagi relevan dalam melindungi hak dan kepentingan industri perfileman negara.

Ellie berkata, langkah mewajibkan pemilik akaun YouTube memiliki lesen mampu mengelak lebih ramai selebriti menjadi mangsa apabila dipergunakan YouTuber.

"Saya tidak kisah dikecam apabila menggesa kerajaan menyegerakan pengeluaran lesen bagi pengguna media sosial terutama YouTube. Orang di luar tidak tahu kesan yang terpaksa pemain industri hadapi akibat YouTube.

"Ramai Youtuber muda yang berjaya dengan kreativiti kandungan mereka hingga menjana pendapatan lumayan. Namun, ada antara mereka mengambil kesempatan daripada selebriti untuk mengaut keuntungan,

"Ramai rakan saya sudah menjadi mangsa. Jadi, saya tidak mahu lebih ramai lagi yang terkena namun tidak dapat apa-apa faedah.

Ellie mendakwa pemilik akaun YouTube sering memberi kritikan negatif kepada filem tempatan sehingga mendatangkan kerugian kepada pembikin filem. Foto NSTP/Owee Ah Chun
Ellie mendakwa pemilik akaun YouTube sering memberi kritikan negatif kepada filem tempatan sehingga mendatangkan kerugian kepada pembikin filem. Foto NSTP/Owee Ah Chun

"Jadi, di mana hak kami golongan yang dipergunakan ini?" katanya kepada BH Online.

Ellie menambah, ketika isu lesen FINAS hangat diperkatakan, pemilik akaun YouTube membangkitkan soal bayaran RM50,000 yang didakwa perlu dijelaskan kepada perbadanan itu bagi syarat pemilikan lesen.

Ellie mendakwa, ada pihak tidak bertanggungjawab sengaja memutar belitkan fakta untuk menimbulkan kekecohan. Jelas Ellie, jumlah bayaran dimaksudkan adalah bagi individu yang berhasrat menubuhkan syarikat berstatus 'sendirian berhad'.

"Sebenarnya, produser hanya dikenakan RM2,500 untuk lesen penggambaran, tayangan, pameran dan pengedaran. Jadi, janganlah mengarut mendakwa mereka dikehendaki membayar RM50,000 untuk mendapatkan lesen.

"Kita tidak menghalang karya kreatif, malah kami tidak nafikan, ia adalah usaha yang baik. Tetapi apabila mereka menggunakan hak cipta dan kandungan kreatif tanpa meminta kebenaran kami, tidakkah mereka fikir kesannya kepada kami (penggiat seni)?" katanya.

Selain itu, kata Ellie, syarat lesen membolehkan kerajaan memantau kandungan dimuat naik pemilik akaun YouTube.

"Jadi, langkah ini akan mendorong pemilik akaun YouTube lebih bertanggungjawab dan tidak memuat naik video yang boleh mendatangkan kemusnahan kepada negara," katanya.

Sementara itu, Ellie turut menyentuh isu pemilik akaun YouTube gemar mengkritik filem tempatan melalui platform itu.

Bagi Ellie, mereka tidak berhak berbuat demikian kerana tidak mempunyai kelayakan atau skil sebagai pengkritik filem.

Apa yang dikesalkan, dakwa Ellie, tindakan mereka mendatangkan kerugian kepada penerbit, pelakon dan pekerja filem.

Ellie mendakwa, apabila perkara seumpama itu dilaporkan kepada polis, tiada tindakan susulan diambil.

Lebih memburukkan keadaan, tambah Ellie, penerbit filem terus berdepan dengan isu cetak rompak yang tidak berkesudahan selain aktiviti melalui platfrom e-dagang di mana filem dijual pada harga serendah RM1 untuk tontonan.

Ellie berkata, apa yang menggusarkan, penggiat seni tidak tahu pihak mana yang perlu diaju setiap kali berdepan permasalahan itu. Apabila laporan polis dibuat, dakwa Ellie, pihak berkuasa memberi alasan mereka hanya boleh bertindak jika membabitkan kedai fizikal, bukan platform digital.

"Memang kita ada Akta SKMM dan Akta Hasutan 1948 di mana kita boleh membuat aduan berkaitan hasutan. Namun, kita perlukan akta yang lebih kuat agar hak kami dapat dipertahankan.

"Penggiat seni masih keliru hendak tuju ke mana jika membabitkan hasutan dan cetak rompak melalui e-dagang.

"Jadi, penggiat seni buntu. Kami mahu kerajaan buat penambahbaikan terhadap kedua-dua akta itu agar warga seni tahu ke mana hendak dituju apabila berdepan kemusykilan membabitkan hasutan di laman sosial dan cetak rompak melalui e-dagang," katanya.

Ellie berkata, industri perfileman di Malaysia bukanlah seperti Hollywood.

"Di Malaysia, hanya 10 peratus penggiat industri yang kaya. Mereka yang lain semuanya dalam kelompok B40.

"Penerbit bikin filem menggunakan duit sendiri. Malah, ada yang sanggup membuat pinjaman bank. Apabila karya kami dicetak rompak, tentulah kami sakit hati.

"Jadi, kami sanggup membantu kerajaan mencari penyelesaian masalah ini," katanya yang mengadakan pertemuan dengan media di ibu negara, Jumaat lalu.

Berita Harian X