Selasa, 11 Ogos 2020 | 6:45pm
Izreen Azminda terpaksa menolak banyak tawaran berlakon drama bersiri berikutan anak masih kecil. - Foto IG Izreen Azminda
Izreen Azminda terpaksa menolak banyak tawaran berlakon drama bersiri berikutan anak masih kecil. - Foto IG Izreen Azminda

Enggan lagi ketepi anak demi glamor

KUALA LUMPUR: Bukan tiada keinginan kembali aktif berlakon, namun pelakon, Izreen Azminda enggan lagi mengetepikan anak demi tuntutan kerjaya seni.

Cukuplah sebelum ini, aktres yang pernah diangkat Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Skrin TV3 pada 2013 itu mengabadikan diri untuk kerjaya lakonan. Kini, tumpuannya pada suami dan anak-anak pula.

Keinginan dan minat berlakon masih bersisa, namun wanita kelahiran Kangar, Perlis itu lebih memikirkan tanggungjawabnya sebagai isteri serta ibu.

Kini, Izreen sibuk pula mengusahakan perniagaan kuih apam Sugar Butter Milk yang dibuat sendiri sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Alhamdulillah, saya berniat mengembangkannya apabila melihat permintaan positif dan tinggi daripada orang ramai. Ini permulaan, masih dalam pengurusan bajet dan modal. Jika sudah stabil nanti baru saya fikir langkah yang seterusnya.

"Apa salahnya jika saya ada perniagaan sendiri. Saya ada kebolehan buat apam jadi kenapa tidak teruskan kerana ia boleh buat duit.

"Jujurnya, apabila nampak duit masuk setiap hari, saya jadi seronok. Lagi seronok apabila saya penat di rumah, anak-anak membesar depan mata. Dari penat di lokasi penggambaran, saya tak nampak anak saya," katanya kepada BH Online.

Izreen Azminda, suami, Muhamad Radzi Abdul Wahid dan empat cahaya mata. - Foto IG Izreen Azminda
Izreen Azminda, suami, Muhamad Radzi Abdul Wahid dan empat cahaya mata. - Foto IG Izreen Azminda

Biarpun sibuk dengan perniagaan, Izreen menegaskan, ia bukanlah memberi bayangan akan meletakkan noktah pada kerjaya lakonannya.

"Tidak bermakna saya sibuk buat perniagaan, saya tinggalkan dunia lakonan. Kerjaya lakonan tetap akan diteruskan, malah masih ada yang memberikan tawaran, cuma saya tidak boleh memberi komitmen pada drama bersiri.

"Saya lebih banyak menerima tawaran drama bersiri berbanding telefilem, jadi saya tidak boleh memberikan komitmen pada naskhah yang panjang.

"Suami tak mengizinkan, nanti siapa mahu menjaga anak. Jika ada naskhah pendek seperti telefilem saya boleh terima," katanya.

Selepas aktif berlakon semula awal tahun ini, Izreen berkata, dia banyak menerima tawaran, tetapi kebanyakannya terpaksa ditolak memandangkan anaknya masih kecil.

"Banyak tawaran yang diterima sejak berlakon semula awal tahun ini, tetapi saya terpaksa menolak memandangkan anak masih kecil. Tiada orang yang saya percaya untuk menjaga anak, memandangkan mak juga sudah berusia," katanya.

Bagaimanapun, Izreen tidak menafikan dirinya rindu untuk kembali ke lokasi penggambaran, apatah lagi apabila sekian lama tidak sibuk.

"Memang rindu nak berlakon sebab saya sudah lama dalam bidang lakonan, sudah lebih 12 tahun. Saya mahu kembali seperti dahulu, tetapi saya tidak mampu mengorbankan tanggungjawab terhadap anak dan keluarga," katanya.

Izreen pernah mendirikan rumah tangga dengan jurukamera, Muhammad Riza pada 2012, sebelum berpisah dua tahun kemudian. Menerusi perkahwinan pertama, Izreen dikurniakan cahaya mata lelaki, Muhammad Adrian Umar.

Kemudiannya, Izreen berkahwin dengan Ude atau nama sebenarnya, Muhamad Radzi Abdul Wahid dan dikurniakan anak lelaki, Aaron Ibrahim.

Berita Harian X