Rabu, 16 September 2020 | 11:01am
Pengurusan IB mementaskan Konsert New Normal, Julai lalu sebagai panduan penganjur mengendalikan acara sama sepanjang tempoh PKPP. Foto Ihsan Istana Budaya
Pengurusan IB mementaskan Konsert New Normal, Julai lalu sebagai panduan penganjur mengendalikan acara sama sepanjang tempoh PKPP. Foto Ihsan Istana Budaya

Sedia kaji SOP konsert

KUALA LUMPUR: Berbanding industri perfileman dan pawagam yang kembali rancak sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diperkenalkan, sektor muzik tempatan dianggap masih 'sendu'.

Sehingga kini, belum ada pihak berani mengambil risiko menganjurkan konsert terbuka biarpun aktiviti itu dibenarkan Julai lalu, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang COVID-19.

Seperti diketahui ramai, persembahan terbuka perlu dihadkan kepada 250 penonton atau bergantung kepada kapasiti premis acara dengan mengutamakan penjarakan sosial.

Biarpun pengurusan Istana Budaya (IB) pernah menganjurkan Konsert New Normal bagi membuktikan kepada khalayak bahawa konsert terbuka boleh dipentaskan, namun, sehingga kini, penganjur masih belum berani berikutan tidak mahu menanggung risiko rugi.

M Nasir (dua dari kanan) dan Zizi Kirana ketika beraksi pada Konsert New Normal di IB, Julai lalu. Foto Ihsan Istana Budaya
M Nasir (dua dari kanan) dan Zizi Kirana ketika beraksi pada Konsert New Normal di IB, Julai lalu. Foto Ihsan Istana Budaya

Malah, penyanyi dan komposer tersohor, Datuk M Nasir pernah mengaku tidak bersedia menjayakan konsert ketika COVID-19 masih diperangi. Selain tidak mahu rugi, situasi itu mampu mengganggu emosi penyanyi apabila melihat kerusi penonton kosong berikutan amalan penjarakan sosial.

Jika ada pun konsert, kebanyakan penggiat lebih selesa 'mementaskannya' secara dalam talian biarpun diakui tidak terjamin daripada segi kualiti terutama teknikal berbanding konsert terbuka.

Justeru, apakah Majlis Keselamatan Nasional (MKN) berhasrat mengkaji semula SOP yang sudah dikeluarkan bagi meyakinkan penganjur untuk kembali mengadakan konsert terbuka?

Mengulas perkara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu mungkin akan diperhalusi jika ada permohonan penganjur.

"Setakat sekarang, kita memang sudah benarkan konsert terbuka, tetapi penganjur perlu mematuhi SOP agak ketat terutama daripada segi jumlah penonton dan sebagainya.

"Malah, sehingga kini, kami tidak menerima permohonan daripada kementerian berkaitan yang meminta SOP dilonggarkan atau menerima aduan daripada mana-mana pihak mengenai masalah itu.

"Bagaimanapun, jika ada aduan dilaporkan atau permohonan dibuat supaya SOP sedia ada dilonggarkan, kami akan melihatnya," katanya kepada BH Online ketika ditemui pada majlis santai petang bersama penggiat seni tanah air sempena kempen Tabung Pahlawan 2020 di sebuah hotel di ibu negara, semalam.

Sejak penularan wabak COVID-19 pada Mac lalu, aktiviti seni termasuk penggambaran dan konsert terpaksa ditangguhkan.

Malah, ada penganjur terpaksa membatalkan konsert yang sudah dirancang awal dan menangguhkannya ke tahun depan. Antaranya Konsert Malai Solo Noraniza Idris, Konsert MPO and Aishah : A Musical Journey dan Konsert 40 Tahun Persada Seni Datuk Jamal Abdillah.

Mengulas penganjuran kempen mengisi Tabung Pahlawan, Ismail Sabri mengakui berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan penggiat seni mempromosikan acara itu dalam media sosial mereka.

"Seperti yang kita ketahui, golongan penggiat seni seperti penyanyi dan pelakon mempunyai peminat yang ramai terutama dalam media sosial.

"Kita juga tidak menafikan, mereka mempunyai pengaruh besar untuk mengajak peminat dan pengikut turut serta dalam kempen ini.

"Apa yang kami harapkan adalah artis ini dapat menyampaikan maklumat mengenai kempen Tabung Pahlawan dalam media sosial seperti Instagram, Facebook dan kumpulan WhatsApp.

"Ketika ini, jumlah kutipan kira-kira RM300,000. Saya percaya usaha mereka ini mampu menambah jumlah kutipan, sekali gus mencapai angka RM10 juta yang disasarkan," katanya.

Ismail Sabri berkata, bantuan dan sokongan penggiat seni diperlukan kerana pihaknya berdepan kekangan untuk menganjurkan acara sampingan yang boleh membantu menambah kutipan Tabung Pahlawan.

"Ketika PKPP dilaksanakan, kita mengaku situasi itu membataskan kami menganjurkan acara sampingan seperti yang pernah kita lakukan sebelum ini, misalnya larian amal yang disertai 30,000 peserta.

"Kita cuba cari jalan lain untuk mempromosikan kempen mengisi tabung ini dan media sosial menjadi alternatif terbaik.

"Alhamdulillah, kita mendapat kerjasama sepenuhnya daripada persatuan artis. Saya juga berpuas hati apabila ramai penggiat seni, generasi baharu dan lama, sama-sama membantu menghebahkan kempen ini," katanya.

Berita Harian X