Rabu, 16 September 2020 | 3:00pm
Awal Ashaari kini berdepan dengan perangai pelik isterinya, Scha Alyahya yang sedang hamil empat bulan. - Foto IG Awal Ashaari
Awal Ashaari kini berdepan dengan perangai pelik isterinya, Scha Alyahya yang sedang hamil empat bulan. - Foto IG Awal Ashaari

Perangai pelik Scha hamil anak kedua

KUALA LUMPUR: Wanita sedang berbadan dua memang banyak ragam. Selain mengalami alahan, ada kalanya emosi kurang stabil hingga mempengaruhi mood. Begitulah keadaan dialami pelakon dan pengacara, Scha Al-Yahya yang kini sedang hamil empat bulan.

Berkongsi keadaan isterinya, pengacara dan pelakon, Awal Ashaari mendedahkan Scha mempunyai perangai pelik apabila rimas dengan media sosial hingga pernah terdetik untuk menyah aktifkan.

"Jika dahulu selepas usia kandungan tiga bulan ketika mengandungkan Lara Alana, Scha sudah okay dan boleh keluar berjalan-jalan. Tetapi, kali ini, dia mengalami muntah dan lenguh badan. Memang berbeza keadaannya.

"Scha sangat rimas dengan telefon termasuk media sosial, sepanjang tempoh tiga bulan kehamilan. Malah, turut mempersoalkan mengapa perlu mengemas kini akaun media sosial setiap hari.

"Sebelum ini, Scha pernah melahirkan hasrat untuk 'detoks' daripada media sosial. Pernah sampai satu tahap, Scha mahu memadam akaunnya, tetapi saya menghalangnya dan meminta membantu menguruskan media sosialnya itu," katanya kepada BH Online.

Awal Ashaari dan isterinya, Scha Alyahya sedang mendidik anak sulungnya, Lara Alana untuk menerima kehadiran adik, tidak lama lagi. - Foto IG Scha Alyahya
Awal Ashaari dan isterinya, Scha Alyahya sedang mendidik anak sulungnya, Lara Alana untuk menerima kehadiran adik, tidak lama lagi. - Foto IG Scha Alyahya

Bukan sahaja hilang minat dengan media sosial, malah pelakon drama bersiri Awan Dania itu tidak gemar bunyi bising.

"Macam saya sendiri, apabila balik rumah akan matikan telefon bimbit kerana tidak mahu nada dering atau bunyi notifikasi mengganggu Scha kerana sangat sensitif. Cahaya skrin telefon pun tak boleh lihat.

"Jika kami sekeluarga menonton televisyen, Scha akan matikan suara. Pada awalnya, saya terkejut dan kekok apabila menonton program tanpa suara. Lama-kelamaan saya sudah lali dan layan sahaja kehendaknya," cerita pengacara Melodi ini.

Terdahulu, pemilik nama lengkap, Ahmad Awaluddin Ashaari ini mengumumkan bakal menimang cahaya mata kedua menerusi akaun Instagram dengan memuat naik foto yang memaparkan anaknya, Lara memegang alat pengesan kehamilan.

Ditanya apakah reaksi Lara apabila mendapat tahu bakal mendapat adik, Awal berkata, anaknya sedang dalam fasa untuk menyesuaikan diri.

"Lara kini sedang dalam proses nak sesuaikan diri. Dia seperti takut untuk berkongsi. Apabila teringat, dia akan tanya macam-macam. Antaranya, bila adik lahir, apakah saya dan Scha akan belikan mainan untuknya.

"Adakah adiknya akan ada bilik sendiri dan sebagainya. Lebih melucukan apabila Lara melarang kami meletakkan pangkal nama adiknya dengan huruf 'L'. Dia rasa seperti tergugat dan bimbang seolah-olah kasih sayang terhadapnya akan berkurangan apabila ada adik.

"Bagaimanapun, doktor menasihatkan kami supaya sentiasa buat Lara rasa selamat dan disayangi. Apa yang kami buat adalah terus memanjakan dan menyayanginya," ujar lelaki bersuia 39 tahun ini.

Awal berkata, dia terpaksa mereka cerita mengenai bayi dalam kandungan bagi membuatkan Lara merasakan dirinya masih mendapat perhatian dan adiknya juga baik dan sayangkannya.

"Kalau belikan Lara barang, kami akan cakap padanya yang hadiah itu adalah pemberian adiknya supaya timbul perasaan sayang terhadap adik," kata Awal mengenai usahanya untuk memujuk anaknya itu.

Berita Harian X