Isnin, 17 Julai 2017 | 6:50pm

Transformers kelima semakin merepek

SEJAK Transformers pertama lagi, yang ditayangkan di pawagam pada 2007, pelbagai kritikan hebat dilemparkan kepada siri filem terbabit. Begitupun, filem francais ini tetap dinantikan oleh peminat tegarnya, malah setiap judul dalam siri itu mampu mencatat kutipan pecah panggung.

Sehingga kini, lebih RM16 bilion sudah pun diperoleh studio penerbitan filem terbabit.

Memasuki siri kelima, nampaknya isu sama masih lagi menjerat karya garapan Michael Bay itu. Buah tangan terbarunya dilihat terus mengecewakan peminat yang mengharapkan jalan cerita lebih baik daripada pengarah terkenal dengan judul aksi itu.


MARK Wahlberg antara pelakon dalam filem Transformers: The Last Knight.

Judul susulan terbaru, Transformers: The Last Knight, dilihat tidak digarap atas jalan ceritanya tersendiri, sebaliknya diadun dengan elemen yang menjadikan plotnya semakin merepek.

Kemusnahan bumi

Menerusi siri terkini, Transformers digambarkan mula bertapak di bumi sejak Zaman Kegelapan apabila Megatron merancang memusnahkan bumi. Selain itu, kehadiran Transformers juga dikaitkan dengan kisah legenda, King Arthur dan Merlin.

Plot utamanya berkisar pada Optimus Prime yang beralih arah untuk memusnahkan bumi berikutan dirinya terpengaruh dengan Cybertronian. Mereka mahu membina semula planet Cybertron yang hampir musnah.


WATAK Bumblebee dalam filem Transformers: The Last Knight.

Bagi menghentikan usaha Optimus Prime, Cade lakonan Mark Wahlberg bergabung tenaga dengan Viviane Wembly (Laura Haddock) untuk mendapatkan tongkat yang dimiliki oleh Merlin. Turut membantu mereka dalam usaha terbabit ialah Sir Edmund Burton (Sir Anthony Hopkins).

Namun hanya pewaris yang sah mampu memegang tongkat berkenaan, bagi menggagalkan usaha Cybertronian memusnahkan bumi.


WATAK Optimus Prime dalam filem Transformers: The Last Knight.

Sumbat pelbagai kisah

Selain itu, Autobots juga dikatakan berjuang sama ketika era penjajahan Nazi dalam Perang Dunia Kedua.

Apabila terlalu banyak kisah yang cuba disumbatkan dalam filem ini, ia menyebabkan jalan ceritanya sepanjang 2 jam 30 minit menjadi berserabut dan tidak tentu hala.

Begitupun, Transformers: The Last Knight yang menelan kos sehingga RM1.1 billion tetap menjanjikan keterujaan buat penonton dengan teknik imejan janaan komputer dan kesan khas meyakinkan selain aksi mendebarkan.

Faktor itulah yang banyak membantu menyelamatkan naskhah aksi fiksyen sains ini.


SEBAHAGIAN babak dalam filem Transformers: The Last Knight.

Arahan terakhir

Judul kelima Transformers ini juga dikatakan menjadi buah tangan terakhir Bay bagi francais berkenaan selepas beliau menduduki kerusi pengarah filem terbabit sejak sedekad lalu.

Begitu juga pelakon, Wahlberg, yang tidak mahu lagi menggalas watak utama filem ini selepas terbabit dalam dua siri.

Namun, pihak produksi tetap meneruskan penerbitan filem fiksyen menguntungkan ini dengan mencari pengarah baharu bagi siri keenam, yang disasarkan tayangannya pada Jun 2019.

Sebelum itu, Transformers Universe: Bumblebee, akan terlebih dulu memasuki pawagam pada musim panas tahun depan. Ia diarahkan oleh Travis Knight.

Sinopsis

Optimus Prime pulang ke Cybertron, yang kini menjadi planet mati. Dia mendapati dirinya yang bertanggungjawab memusnahkan planetnya. Di bumi, manusia dan transformer pula sedang berperang. Kunci untuk menyelamatkan masa depan terletak pada masa lampau. Cade Yeager dan Bumblebee bersekutu dengan seorang bangsawan British dan seorang profesor dari Oxford untuk mencari jawapan yang mampu menyelamatkan bumi.

INFO

Judul: Transformers: The Last Knight

Pengarah: Michael Bay

Pelakon: Mark Wahlberg, Stanley Tucci, Laura Haddock, Isabela Moner, Josh Duhamel, Tyrese Gibson, John Turturro, Santiago Cabrera, Anthony Hopkins

Genre: Aksi / Fiksyen Sains

Durasi: 2 Jam 30 Minit

Tarikh Tayangan: Mulai 22 Jun 2017

1510 dibaca
Berita Harian X