Rabu, 13 Jun 2018 | 5:57pm
KETUA Pengarah, Perbadanan Pembangunan Filem Kebangsaan (FINAS), Datuk Fauzi Ayob. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Tiga filem bersaing musim raya

KUALA LUMPUR: Kisah anggota bomba, komedi dan misteri bersaing mengisi slot tayangan musim cuti Aidilfitri, mulai esok.

Filem Qhaliq arahan Ahmad Idham yang ditunda tayangannya pada 5 April lalu, mula ditayangkan esok. Ini disusuli filem This Is Pilah terbitan Madness Films Sdn Bhd yang akan ditayangkan pada 21 Jun.

Filem Blok 404 yang diterbitkan DBI Entertainment Sdn Bhd pula menyusul seminggu kemudian.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Fauzi Ayob berkata, pihaknya menjangka 50 filem ditayangkan sepanjang tahun ini.

"Bagi tempoh Jun hingga Disember depan, sebanyak 17 filem sudah mendapat slot tarikh mengikut kelulusan Jawatankuasa Skim Wajib Tayang termasuk sepanjang musim raya," katanya kepada BH Online.

Fauzi berkata, FINAS optimis kekuatan filem seperti Pulang, Hantu Kak Limah, Munafik 2, Langsuir dan karya animasi, Wheely mampu menjana jumlah tontonan tinggi apabila ditayangkan.

Tambah Fauzi, daripada sudut pempamer menunjukkan perkembangan progresif dengan peningkatan kutipan kasar filem tempatan sehingga Mei lalu sebanyak RM19.8 juta membabitkan 19 filem.

Kadar direkodkan itu meningkat berbanding RM14.6 juta untuk tempoh yang sama tahun lalu.

Fauzi berkata, jumlah penonton juga meningkat kepada 2.7 juta berbanding 1.1 juta, tahun lalu, biarpun melalui pelbagai cabaran termasuk persaingan daripada filem asing.

"Tidak dinafikan, pelbagai cabaran semasa seperti situasi ekonomi global, tren tontonan, tayangan filem di platform alternatif, isu cetak rompak digital dan persaingan filem import memberi kesan secara langsung kepada sambutan penonton ke pawagam," katanya.

Bagaimanapun, Fauzi berkata, kejayaan filem yang mempunyai kualiti pembikinan selain penjenamaan dan pemasaran yang baik mengubah senario itu.

Antara filem berkualiti yang dihasilkan termasuk KL Special Force arahan Syafiq Yusof; Dukun (Dain Said); Think Big Big (Chiu Keng Guan); A House of Happiness (JY Teng) dan Lee Chong Wei : The Rise of The Legend (Teng Bee).

Selain itu, Fauzi berkata, peningkatan jumlah pawagam sebanyak 3.9 peratus kepada 157 premis menjana jaringan pengedaran dan pempamer filem tempatan kepada demografik penonton baharu.

Berita Harian X