Rabu, 11 Julai 2018 | 1:50pm

Dukun ditayang di New York

KUALA LUMPUR: Selepas mendapat sambutan luar biasa di Malaysia, Brunei dan Singapura, filem arahan Dain Said, Dukun akan ditayangkan di New York, Amerika Syarikat (AS), lusa.

Filem pecah panggung itu akan dipertontonkan di School of Visual Arts (SVA) Theatre, New York sempena Festival Filem Asia New York (NYAFF) 2018.

Dukun yang menampilkan Datin Seri Umie Aida dan Faizal Hussein turut bertanding dalam kategori Anugerah Penonton pada festival itu, yang membabitkan undian pengkarya dan penonton.

Penerbit, Astro Shaw mengesahkan pemilihan Dukun sebagai antara pesaing dalam kategori Anugerah Penonton pada NYAFF 2018.

"Pemenang kategori ini diadili berdasarkan undian penggiat dan penonton filem tempatan.

"Kita dimaklumkan pemenang bagi setiap kategori akan diumumkan pada hari terakhir festival, Ahad ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

NYAFF 2018 dianjurkan Subway Cinema and Film Society of Lincoln Center. Acara yang memasuki edisi ke-17 itu bertujuan memberi pendedahan mengenai hasil karya pembikin filem Asia.

Sebelum ini, Dukun yang ditayangkan pada 5 April lalu mencetuskan kontroversi selepas terperap hampir 12 tahun. Jalan cerita yang dikatakan mempunyai persamaan dengan kes pembunuhan berprofil tinggi, didakwa menjadi punca filem berkenaan tidak ditayangkan.

Selepas diluluskan tayangan, Dukun mengutip kira-kira RM11 juta.

Selain Umie dan Faizal, Dukun dibintangi Namron, Bront Palarae, Hasnul Rahmat, Elyana, Allahyarham Ramli Hassan dan Adlin Aman Ramlie.

Berita Harian X