Isnin, 6 Ogos 2018 | 9:53am
AHMAD Izham pada majlis Sepetang Bersama Ahmad Izham Omar untuk promosi filem Pulang di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
AHMAD Izham bersama bapanya Omar pada majlis Sepetang Bersama Ahmad Izham Omar untuk promosi filem Pulang di Balai Berita, Bangsar. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Majalah 3 singkap kisah sebenar di sebalik 'Pulang'

KUALA LUMPUR: Mengabadikan kisah benar di dalam filem bukanlah sesuatu yang mudah namun ada kalanya ia perlu diusahakan kerana terdapat cerita epik yang harus digarap buat tontonan masyarakat.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio Sdn Bhd, Datuk Ahmad Izham Omar dan pengarah Khabir Bhatia, berpaksikan dedikasi, maka terhasil sebuah filem diberi judul 'Pulang' yang diinspirasikan kisah benar seorang anak yang ingin mencari ayahnya.

Filem yang telahpun menemui peminat bermula 26 Julai lalu dan dibintangi antara lain pelakon Remy Ishak itu kini diangkat Majalah 3 yang memberi fokus kepada kisah sebenar di sebalik 'Pulang'.

Filem ini digarap dari kisah keluarga Ahmad Izham di mana datuknya, Othman telah meninggalkan negara sebagai kelasi kapal dagang.

Majalah 3 yang akan bersiaran malam ini di TV3 pada jam 9, menemuramah anak Othman yang juga bapa kepada Ahmad Izham, Omar yang kini berusia 76 tahun.


OMAR Othman, bapa kepada Ahmad Izham berucap pada majlis Sepetang Bersama Ahmad Izham Omar untuk promosi filem Pulang di Balai Berita, Bangsar. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Othman belayar di laut biru bertujuan mencari rezeki buat keluarganya namun keputusan kerjaya yang diambilnya bermaksud Othman terpaksa meninggalkan isteri dan anaknya di Serkam, Melaka.

Pelayarannya membawa Othman ke Liverpool di mana ramai rakyat Malaysia yang belayar sebagai kelasi kapal memilih untuk terus menetap di bandar United Kingdom itu.

Selain dari kisah Omar dan ayahnya, Othman, Majalah 3 akan turut menyingkap kisah kelasi-kelasi ini di Liverpool yang pada satu ketika dahulu terkenal sebagai bandar pelabuhan paling sibuk di dunia.

"Dia janji nak balik, setahun, dua tahun, tak balik," kata Omar kepada Majalah 3, mengenang kembali kisah hidupnya semasa muda.

Untuk mengetahui lebih lanjut kisah Omar dan juga kelasi-kelasi Melayu di Liverpool, jangan lupa bersama Majalah 3 di TV3 jam 9 malam ini.

Berita Harian X