Sabtu, 10 November 2018 | 10:15pm
DATUK Yusof Haslam - Foto NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN

'Jangan risau, bonus Munafik 2 setimpal'

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

[email protected]

KUALA LUMPUR: Penerbit Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam menjanjikan bonus lumayan kepada pelakon dan kru produksi filem Munafik 2 yang mencatat kejayaan luar biasa di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam.

Yusof tahu pelakon dan kru filem arahan anaknya, Syamsul Yusof, mengerah keringat menyiapkan karya itu.

“Jangan risau, saya akan agih bonus setimpal atas usaha dan hasil kerja mereka. Saya tahu, pasukan kerja filem Munafik 2 mengerah keringat mengangkat naskhah hingga diterima di luar negara.

“Saya akan buat majlis kesyukuran dan serah bonus sekembali daripada mengerjakan umrah bersama keluarga pada pertengahan bulan depan.

“Apa yang dapat dikatakan, jumlah yang diperuntukkan untuk bonus lebih besar berbanding dulu.

“Saya percaya rezeki yang dikongsi akan menambah lagi keberkatan,” katanya kepada BH Online.

Yusof dan keluarga dijangka berangkat menunaikan umrah di Tanah Suci pada pada 19 November ini.

Sebelum ini, Munafik 2 dilaporkan mengutip lebih RM48 juta apabila ditayangkan di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam.

Malah, filem bergenre seram Islamik itu meleburkan rekod filem antarabangsa apabila memungut kutipan RM3.6 juta pada hari pertama tayangan.

Yusof berkata, dia bukan sekadar berkongsi rezeki dengan mereka yang terbabit dengan filem Munafik 2, malah menyalurkan sumbangan kepada insan memerlukan.

“Saya akan beri sumbangan kepada mangsa gempa bumi di Palu, Sulawesi dan Lombok. Tidak lupa, saya mahu membantu rumah anak-anak yatim, asnaf dan masjid,” katanya.

Mengenai kejayaan Munafik 2, Yusof berkata, filem itu memperoleh kutipan hampir RM38 juta selama 46 hari ditayangkan di pawagam di seluruh negara.

Tambahnya, kutipan di Indonesia mencatat RM4.6 juta, Singapura (RM4.5 juta) dan Brunei Darussalam (hampir RM1 juta).

Yusof berkata, beliau dan Syamsul tidak pernah menjangka kutipan filem terbabit tinggi apatah lagi filem Hantu Kak Limah mendapat sambutan hebat.

“Saya fikir dapat RM10 juta pun sudah cukup melegakan. Kebiasaannya apabila filem sebelumnya mendapat kutipan luar biasa, filem seterusnya akan menjunam.

“Bagaimanapun, siapa sangka, tayangan awal (sneak preview) sudah mengutip RM2 juta.

“Saya bersyukur melihat sambutan luar biasa filem Munafik 2 di Indonesia, itupun tidak dapat ditayangkan ke seluruh wilayah. Bukan sesuatu yang mudah filem Malaysia mendapat laluan seperti ini,” katanya.

Berita Harian X