Khamis, 21 November 2019 | 1:02pm
FILEM animasi tempatan, Batik Girl, mendapat pengiktirafan dan maklum balas positif selepas ditayangkan pada beberapa festival antarabangsa.
FILEM animasi tempatan, Batik Girl, mendapat pengiktirafan dan maklum balas positif selepas ditayangkan pada beberapa festival antarabangsa.

Animasi pendek Batik Girl dapat pengiktirafan antarabangsa

KUALA LUMPUR: Filem animasi pendek dua dimensi (2D) terbitan syarikat tempatan berjudul Batik Girl mencipta sejarah tersendiri apabila mendapat pengiktirafan peringkat dunia selepas ditayangkan pada 26 festival antarabangsa.

Produk berdurasi sembilan minit daripada The R&D Studio itu direalisasikan hasil kerjasama Heidi Shamsuddin, selaku penulis cerita, dengan Tudidut Studio bagi proses animasi watak dan Fakulti Muzik Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk komposisi muzik.

Boleh diikuti menerusi YouTube, ia berkisar pengembaraan fantasi seorang anak yatim yang jatuh cinta terhadap seni batik, namun akhirnya menemui ketenangan menerusi dunia baharunya itu.

Pengarah dan rakan kongsi The R&D Studio, Irwan Junaidy berkata, naratif cerita membawa imaginasi khalayak menelusuri keindahan seni kraf tangan tempatan.

“Elemen diketengahkan bukan hanya mengenai emosi antara anak yang kehilangan orang tua dan kasih sayang seorang nenek, namun lebih daripada itu.

"Kami cuba berkongsi mesej berkaitan keunikan seni batik itu sendiri, selain kehalusan rekaan hasil produk kebanggaan kita," katanya.

Irwan berkata, maklum balas positif diterima apabila Batik Girl dipertontonkan di luar negara, sejak tahun lalu, hingga meraih anugerah Filem Animasi Pendek Terbaik Festival de Largos y Cortos de Santiago di Chile dan anugerah Honorable Mention in Audience Favourite di Florida, Amerika Syarikat.

"Kami berbesar hati melihat sambutan pemerhati filem dari dalam dan luar negara, malah lebih membanggakan ia sudah ditayangkan pada 26 festival filem di seluruh dunia.

"Batik Girl turut menerima pingat emas bagi kategori serantau di DigiCon6 Asia ke-20, dan seorang daripada jurinya, Profesor Richard William Allen, menggambarkan Batik Girl sebagai filem pendek animasi fantasi yang indah.

"Katanya, penceritaan yang dikongsikan menonjolkan mainan warna yang harmoni dan imaginasi kreatif menerusi karakter serta jalinan latar cerita," katanya lagi.

Antara destinasi lain yang sudah disinggahi filem animasi terbabit ialah India, Greece, Iran, Kanada, Korea Selatan, Slovenia dan Itali.

Berita Harian X