Khamis, 28 November 2019 | 1:00pm
SELAIN mendekati peminat, Misi Ejen Rush turut mempromosikan gaya hidup sihat kepada penggemar animasi Ejen Ali. - Foto Ihsan Primeworks Studios

Ejen Ali: Misi Ejen Rush gegar Putrajaya

KUALA LUMPUR: Menghangatkan lagi siri promosi filem animasi, Ejen Ali The Movie yang memulakan tayangannya hari ini, Primeworks Studios dan WAU Animation berganding bahu menganjurkan Ejen Ali: Misi Ejen Rush.

Acara larian berhalangan sejauh lima kilometer itu akan berlangsung di The West Garden, IOI City Mall, Putrajaya pada 1 Disember ini, bermula jam 6 pagi.

Ia menyasarkan 3,000 penyertaan, membabitkan selebriti, personaliti media sosial (KOL’s), media dan peminat.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar, berkata mereka percaya Misi Ejen Rush menjadi langkah terbaik dalam mempromosikan gaya hidup sihat, di samping menggalakkan peminat Ejen Ali untuk terus bergiat aktif.

“Aktiviti larian ini juga membuka peluang untuk kami mendekati peminat Ejen Ali. Terima kasih diucapkan kepada WAU Animation dan rakan penaja bersama iaitu PediaSure dan Bananana! Acara ini tidak akan berjaya tanpa sokongan mereka,” katanya.

Menerusi acara itu, peserta atau ‘ejen’ perlu menempuh empat cabaran litar berhalangan yang diadaptasi daripada teras utama Meta Advance Tactical Agency atau MATA iaitu Kombat, Tekno, Inviso dan Neuro.

Ia turut dihangatkan dengan kemunculan istimewa penyanyi remaja, Ismail Izzani yang akan menghiburkan peserta.

Pelbagai hadiah menarik menanti, termasuk peluang memenangi 100 tiket percuma menonton Ejen Ali The Movie, selain barangan istimewa ketika sesi cabutan bertuah.

Ditayangkan serentak di tiga negara, termasuk Singapura dan Brunei, Ejen Ali The Movie berkisar mengenai Ali, yang berusia 12 tahun direkrut menjadi perisik bagi sebuah agensi perisikan dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA).

Ia berperanan melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar. Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu dia bukan satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa (IRIS - Infinity Retinal Intelligence System).

Ali berasakan dirinya terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat. Dia seterusnya didatangi individu misteri yang mendakwa, mengetahui kisah silamnya.

Lalu, bermula pengembaraan baharu Ejen Ali untuk membongkar kebenaran, walaupun kesetiaannya terhadap MATA bakal teruji.

Berita Harian X