Jumaat, 29 November 2019 | 7:50pm
FILEM Ejen Ali The Movie mencatat pungutan lebih RM1.8 juta selepas sehari tayangan.

Ejen Ali pungut lebih RM1.8 juta sehari tayangan

KUALA LUMPUR: Filem Ejen Ali The Movie mengungguli tempat pertama carta filem pecah panggung tempatan apabila memungut lebih RM1.8 juta selepas sehari tayangannya di 160 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Filem terbitan Primeworks Studios dan Wau Animation itu mula menemui penonton, semalam.

Menurut kenyataan dikirimkan kepada BH Online, bersama pungutan berkenaan, Ejen Ali The Movie mencatat rekod baharu bagi kutipan hari pertama filem animasi tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar, berkata mereka sangat terkejut dengan sambutan luar biasa diberikan penonton terhadap filem terbabit.

“Kami menerima mesej daripada penonton di luar sana yang turut meluahkan rasa teruja dan bangga terhadap produk Malaysia. Ia mampu mengalahkan filem antarabangsa. Ini bukan sekadar kejayaan kami, sebaliknya kejayaan Malaysia!” katanya.

Izham berkata, lebih membanggakan apabila tiga daripada filem yang menduduki lima kedudukan teratas carta filem Malaysia dihasilkan anak tempatan.

“Filem Wira berada pada kedudukan ketiga manakala Pusaka pula di tempat kelima. Ia membuktikan produksi dan filem kita sudah mencapai tahap mampu bersaing, malah melangkaui prestasi produk antarabangsa,” katanya.

Ejen Ali The Movie arahan Usamah Zaid Yassin mengisahkan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun direkrut menjadi perisik bagi sebuah agensi perisikan, Meta Advance Tactical Agency (MATA) yang berperanan melindungi kota futuristik, Cyberaya, daripada ancaman luar.

Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu dia bukan satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa IRIS atau Infinity Retinal Intelligence System. Ia diubahsuai menjadi IRIS Neo dan boleh dikawal serta digunakan oleh ejen lain. Inovasi baharu itu dipersoalkan oleh Ali apabila dia berasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat.

Pada saat itu, dia didatangi individu misteri yang mendakwa mengetahui kisah silamnya. Ketika itu juga bermula pengembaraan baharu Ejen Ali demi membongkar kebenaran walaupun kesetiaannya terhadap MATA bakal teruji.

Berita Harian X