Isnin, 2 Disember 2019 | 3:35pm
Izham dan Ketua Pegawai Eksekutif, Wau Animation, Usamah Zaid Yasin yang juga pencipta watak Ejen Ali, pada majlis pratonton filem berkenaan di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. Foto NSTP Khairul Azhar Ahmad

Ejen Ali The Movie kutip RM6.4 juta tiga hari

KUALA LUMPUR: Filem animasi Ejen Ali The Movie memungut RM6.4 juta selepas tiga hari tayangan di 162 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, selain tarikan plot cerita, faktor cuti sekolah melonjakkan jualan tiket.

“Semua ini menyuntik semangat kami menghasilkan produk terbaik sebagai tanda sokongan penonton terhadap penerbitan tempatan terutama filem animasi bertaraf antarabangsa ini.

“Kami sangat berterima kasih dan berbesar hati menerima maklum balas positif daripada pelbagai kelompok penonton yang memberikan lima bintang kepada Ejen Ali The Movie,” katanya dalam kenyataan kepada BH Online.

Ahmad Izham berkata, musim cuti sekolah akhir tahun yang panjang menampakkan impak berganda apabila jumlah keluarga yang datang ke pawagam bertambah.

“Kami harap lebih ramai lagi ‘turun’ menikmati pengembaraan bersama ejen istimewa kami ini tidak kira bersama keluarga mahu pun rakan,” katanya.

Sebelum ini, Ejen Ali The Movie mengungguli tempat pertama dalam carta filem pecah panggung tempatan dengan kutipan melebihi RM1.8 juta, pada hari pertama tayangan, Khamis lalu.

Filem terbitan Primeworks Studios dan Wau Animation itu berkisar perisik kanak-kanak yang ditugaskan agensi Meta Advance Tactical Agency (MATA) sebagai pelindung kota futuristik, Cyberaya daripada ancaman.

Berita Harian X