Rabu, 4 Disember 2019 | 2:27pm
PUSAKA yang menampilkan nama popular mencatat kutipan RM13 juta sejak tayangan bermula 31 Oktober lalu. - Foto Rohanis Shukri
PUSAKA yang menampilkan nama popular mencatat kutipan RM13 juta sejak tayangan bermula 31 Oktober lalu. - Foto Rohanis Shukri

Pusaka bakal disambung

KUALA LUMPUR: Sambutan positif penonton terhadap filem penyiasatan seram, Pusaka yang mencatat kutipan RM13 juta memberi keyakinan kepada pengarahnya, Razaisyam Rashid untuk menghasilkan sekuel.

Razaisyam berkata, perbincangan untuk merealisasikan penerbitan sekuel filem itu masih dijalankan dan berdasarkan perancangan awal, penggambaran dijangka bermula tahun depan.

“Skrip sekuel filem itu sedang disiapkan dan kos penerbitan produksi kedua Pusaka dijangka lebih tinggi untuk memberi lebih kepuasan kepada penonton.

“Berkemungkinan barisan pelakon asal dikekalkan dan kami berusaha memastikan sekuel Pusaka lebih mantap serta mendebarkan berbanding produksi pertama,” katanya.

RAZAISYAM bangga pencapaian Pusaka membuktikan produksi tempatan masih mempunyai pengaruh. - Foto Rohanis Shukri
RAZAISYAM bangga pencapaian Pusaka membuktikan produksi tempatan masih mempunyai pengaruh. - Foto Rohanis Shukri

Ditemui pada majlis pratonton drama Sembilan, baru-baru ini, Razaisyam berkata, dia masih terkejut dengan penerimaan penonton kerana bukan mudah untuk filem genre penyiasatan tempatan meraih kutipan tinggi.

Namun, Razaisyam berkata, pengisian kandungan yang berkualiti dan diterbitkan dengan teliti pasti mampu menarik peminat filem ke pawagam.

“Saya tidak menyangka Pusaka mampu mencatat kutipan yang tinggi, apatah lagi bajet yang dikeluarkan untuk menghasilkan filem itu tidak terlalu besar.

“Namun, saya percaya kualiti dan pengisian sesebuah karya menjadi faktor utama menarik penonton ke pawagam. Saya turut bangga dengan pencapaian filem ini kerana ia membuktikan produksi tempatan masih mempunyai pengikut,” katanya.

Ditanya apakah faktor pemilihan pelakon, terutama nama popular turut memberi impak terhadap kutipan filem, Razaisyam tidak menafikan perkara itu.

“Saya setuju artis popular turut membantu sesebuah filem mencatat kutipan memberangsangkan, namun ia bukan jaminan. Banyak juga filem yang mengetengahkan nama besar tidak mendapat sambutan seperti diharapkan.

“Bagi saya, semua itu bergerak seiring dan saya percaya penonton sekarang lebih bijak menilai sesebuah karya," katanya.

Pusaka yang ditayangkan di pawagam bermula 31 Oktober lalu, menampilkan barisan pelakon popular seperti Syafiq Kyle, Mimi Lana, Faizal Hussein, Fauziah Ahmad Daud, Hafidz Roshdi dan Sweet Qismina.

Berita Harian X