Khamis, 5 Disember 2019 | 9:13pm
Ejen Ali The Movie terus menjadi pilihan penonton dengan pungutan mencapai RM13 juta selepas seminggu ditayangkan di 162 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei.
Ejen Ali The Movie terus menjadi pilihan penonton dengan pungutan mencapai RM13 juta selepas seminggu ditayangkan di 162 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Ejen Ali kutip RM13 juta seminggu

KUALA LUMPUR: Terus menggegar, filem animasi Ejen Ali The Movie memungut RM13 juta selepas tujuh hari tayangan di 162 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Mengikut maklumat terbaru ditserima BH Online, Ejen Ali The Movie bukan sahaja meraih kutipan tertinggi dan mendominasi carta GSC Top 10 Movies selama empat hari berturut-turut, malah menjadi pilihan utama dalam kalangan penggemar filem.

Sebelum ini, Ejen Ali The Movie mengungguli tempat pertama dalam carta filem pecah panggung tempatan dengan kutipan melebihi RM1.8 juta, pada hari pertama tayangan, Khamis lalu.

Filem terbitan Primeworks Studios dan Wau Animation itu mengisahkan Ali, budak berusia 12 tahun yang direkrut menjadi penyiasat bagi sebuah agensi perisikan dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA). Ali ditugaskan melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar.

Konflik timbul apabila Ali mendapat tahu dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa iaitu Infinity Retinal Intelligence System (IRIS).

Gajet itu diubahsuai menjadi IRIS Neo, perkakasan yang boleh dikawal serta digunakan oleh ejen lain. Inovasi baharu ini dipersoalkan Ali apabila dia merasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat.

Pada saat itu, Ali didatangi individu misteri yang mendakwa tahu kisah silamnya. Jadi, bermulalah pengembaraan Ejen Ali demi membongkar kebenaran biarpun kesetiaannya terhadap MATA teruji.

Berita Harian X