Khamis, 12 Disember 2019 | 9:01pm
EJEN Ali The Movie raih RM20 juta dalam masa dua minggu tayangan. - Foto Primeworks Studios
EJEN Ali The Movie raih RM20 juta dalam masa dua minggu tayangan. - Foto Primeworks Studios

Ejen Ali The Movie tepati sasaran RM20 juta

KUALA LUMPUR: Kutipan filem animasi, Ejen Ali The Movie mencapai sasaran apabila meraih RM20 juta dalam masa dua minggu tayangan dengan lebih 1.7 juta tontonan.

Mula ditayangkan pada 28 November lalu, produksi terbitan bersama Primeworks Studios dan WAU Animation itu terlebih dahulu dinobatkan sebagai filem ‘pecah panggung tempatan’ apabila mendominasi carta filem dalam tempoh dua minggu berturut-turut.

Fenomena Ejen Ali tercetus hasil sokongan padu peminat setia animasi itu yang sentiasa memberi maklum balas positif apabila mereka menontonnya berulang kali.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar, berkata Ejen Ali The Movie menjadi penanda aras kejayaan baharu apabila muncul sebagai filem paling berjaya sepanjang 25 tahun mereka bergiat dalam industri perfileman.

“Kami bangga dapat menutup tirai 2019 dengan pencapaian hebat apabila berjaya bersaing dengan gergasi industri animasi lain di Malaysia.

“Jutaan terima kasih kami ucapkan kepada semua yang bekerja keras. Tanpa usaha semua, kami tidak akan mampu mencapainya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid Yasin, berkata kejayaan filem itu menjadi pembakar semangat, sekali gus membuktikan hasil usaha keras mereka membuahkan hasil apabila ia mendapat sokongan padu penonton.

“Harapan kami, sokongan yang diberikan tidak terhenti setakat ini dan angka kutipan filem akan terus meningkat,” katanya.

Ejen Ali The Movie berkisar mengenai Ali, yang berusia 12 tahun direkrut menjadi perisik di Meta Advance Tactical Agency (MATA) yang berperanan melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar.

Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu dia bukan satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa (IRIS - Infinity Retinal Intelligence System).

Inovasi baharu itu dipersoalkan Ali apabila dia berasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat.

Ali, seterusnya didatangi individu misteri yang mendakwa mengetahui kisah silamnya. Dari situ, bermula pengembaraan baharu Ejen Ali demi membongkar kebenaran, walaupun kesetiaannya terhadap MATA bakal teruji.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X