X
Jumaat, 27 Disember 2019 | 7:23pm
Pengarah, Smiley (dua dari kanan) bersama barisan pelakon filem The Perfect Wedding pada majlis pelancaran di ibu negara, petang tadi. Foto NSTP/Aizuddin Saad
Pengarah, Smiley (dua dari kanan) bersama barisan pelakon filem The Perfect Wedding pada majlis pelancaran di ibu negara, petang tadi. Foto NSTP/Aizuddin Saad

The Perfect Wedding tutup tirai 2019

KUALA LUMPUR: Mengangkat tema raikan cinta dan semangat perpaduan, filem sesawang The Perfect Wedding terbitan PETRONAS adalah hadiah buat rakyat Malaysia.

Menggabungkan pelakon enam filem pendek yang pernah diterbitkan sebelum ini, The Perfect Wedding adalah kesinambungan untuk semua cerita yang dipersembahkan dalam plot bermakna.

Pengarah, Ismail Kamarul atau lebih dikenali sebagai Smiley memberitahu, The Perfect Wedding merangkumi semua karakter yang pernah ditonjolkan berlatar belakangkan kisah sebuah majlis perkahwinan.

“Karya ini adalah gabungan kisah daripada enam filem yang kami terbitkan. Kami mahu suatu kisah yang boleh meraikan semua karakter yang diketengahkan.

“Sehubungan itu, kami pilih majlis perkahwinan. Ini kerana ia sesuai dengan mesej yang mahu kami sampaikan iaitu tidak kira pada waktu susah atau senang, kita semua bersatu sebagai rakyat Malaysia.

“Kita adalah anugerah buat satu sama lain,” katanya kepada BH Online selepas majlis pelancaran filem sesawang itu di sini, hari ini.

Smiley berkata, The Perfect Wedding diharap dapat menyemai rasa cinta antara satu sama lain dan menghargai anugerah diberi.

“Kami bukan sahaja mahu menyemai rasa cinta, malah menghargai anugerah iaitu kita semua. Kita yang datang daripada pelbagai agama dan bangsa,” katanya.

The Perfect Wedding berkisar persediaan sebuah majlis perkahwinan yang penuh dengan kejadian tidak disangka. Biarpun huru-hara, ia menyatukan semua orang daripada ahli keluarga sehinggalah tetamu berbilang kaum.

Karya ini adalah filem sesawang ketujuh terbitan PETRONAS iaitu Heart yang ditayangkan sempena Tahun Baru Cina, Kinoulian (Kaamatan), Baju Burung Apai (Gawai), Rendang SoRaya (Aidilfitri), UNI (Hari Kebangsaaan dan Hari Malaysia) dan Thanggam (Deepavali).

Filem sesawang ini boleh ditonton mulai hari ini di saluran YouTube rasmi PETRONAS dan pelbagai platform termasuk media sosial, televisyen (TV) dan pawagam.

The Perfect Wedding dibintangi Fiza Thomas sebagai Soraya, Lee Zi Qi (Jenn), V Tanesh (Kumar) dan ramai lagi.

Berita Harian X