X
Ahad, 12 Januari 2020 | 1:05pm
Pengarah filem Rock 4, Mamat Khalid. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Pengarah filem Rock 4, Mamat Khalid. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

'Jangan risau, filem keempat masih ada rock kapak'

KUALA LUMPUR: Pengarah terkenal, Mamat Khalid, menyangkal tanggapan Rock 4: Rockers Never Dai, hilang identiti rock kapak yang selama ini menjadi tanda dagang dan tarikan kepada penggemar siri filem itu.

Menurut Mamat, walaupun kumpulan Rimba Bara tidak lagi ditampilkan dalam filem susulan yang bakal menemui penonton pada Februari ini, genre muzik popular era 1990-an masih dapat dinikmati menerusi karyanya itu.

“Saya ada mendapat maklum balas daripada peminat yang meluahkan rasa kecewa jika benar irama rock kapak, yang selama ini menjadi identiti filem Rock, ditiadakan.

“Menerusi Rock 4, memang kami langsung tidak menampilkan kumpulan Rimba Bara kerana zaman mereka sudah berlalu, seperti diceritakan dalam karya sebelum ini. Apa yang cuba kami tampilkan dalam sekuel ini adalah kumpulan yang muncul selepas era terbabit, iaitu band rock ‘indie’.

“Kalau kita lihat, muzik yang diketengahkan band ‘indie’ tidak seperti rock era 1990-an. Bagaimanapun, peminat tak perlu risau kerana kami masih mengekalkan lagu sebegitu dalam filem ini. Cuma, jalan cerita dan kumpulan yang diketengahkan sahaja berbeza,” katanya kepada BH Online.

Rock 4 yang mengambil masa dua tahun untuk disiapkan sepenuhnya menampilkan lakonan Sharwani NS, Hazama, Adam John, Nazimi Fahmi dan Bulan Terry.

Filem Rock 4 akan menemui penonton di pawagam pada 20 Februari depan. - Foto Instagram Primeworks Studios
Filem Rock 4 akan menemui penonton di pawagam pada 20 Februari depan. - Foto Instagram Primeworks Studios

Sementara itu, ditanya mengenai keadaannya ketika ini, Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid, 56, berkata kesihatannya semakin baik.

“Saya sekarang berada di Tanjung Malim, Perak. Walaupun doktor sarankan agar saya banyak berehat, semangat untuk berkarya masih berkobar-kobar. Saya bukanlah seorang yang boleh duduk diam.

“Setakat ini, ada beberapa projek seperti telefilem yang sudah siap dan bakal diarahkan. Saya juga mempunyai perancangan untuk menghasilkan filem baharu.

“Selain Rock 4, ada sebuah lagi filem arahan saya sedang menunggu giliran untuk ditayangkan, iaitu Manap Karaoke,” katanya.

Tahun lalu, Mamat koma lebih dua minggu dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya, Selangor, akibat masalah jantung.

Berita Harian X