Khamis, 14 September 2017 | 9:08am

Australia Barat kaya destinasi pelancongan

AUSTRALIA Barat memiliki pelbagai tarikan tersendiri dan destinasi pelancongan antarabangsa yang menjadikannya sesuai bagi mereka yang merancang percutian bersama keluarga, rakan atau berbulan madu.

Antara lokasi menarik wajar dikunjungi adalah Gurun Pinnacles yang dipercayai wujud sekitar 25,000 hingga 30,000 tahun lalu yang terletak di Taman Negara Nambung, kira-kira tiga jam perjalanan ke utara Perth.


MENUNGGANG Quad Bike di Pantai Wagoe, berhampiran Kalbarri.

Bagi yang berminat mengembara ala Indiana Jones, kawasan gurun itu boleh diterokai menerusi laluan pemanduan sejauh empat kilometer (km) atau berjalan sejauh 1.2 km.

Istimewanya Taman Negara Nambung juga menjadi habitat kepada pelbagai tumbuhan dan haiwan natif.

Bunga-bunga liar yang biasanya ditemui di taman negara berkenaan adalah wattle, quandong, yellow tail flower, hick-leaved fan flower, white clemantis, cockies tongues, parrotbush serta spesies banksia.

Tumbuh-tumbuhan seperti ini hanya boleh ditemui pada akhir musim sejuk dan bunga. Pengunjung juga pasti seronok apabila dapat memerhati pelbagai spesies hidupan liar seperti kangaru kelabu barat, burung kakak tua, emu dan mengkarung berekor kontot.


IKAN lumba-lumba di Kawasan Warisan Dunia Shark Bay.

Seterusnya, Taman Negara Kalbarri yang terletak di pertemuan Sungai Murchison dan Lautan India kira-kira 590 km di utara Perth, mempunyai sungai berair deras, gaung pesisir pantai dan teluk renang yang terkawal rapi.

Selama lebih 400 juta tahun, Sungai Murchison mempunyai gaung berjalur merah dan putih yang mempesonakan, malah pengunjung berpeluang menikmati serta meneroka ketinggian gaung sungai berkenaan.

Jika berminat dengan pengalaman lebih romantik, Rainbow Jungle yang menempatkan habitat burung kakak tua paling terkenal di Australia adalah destinasi harus dikunjungi.


SUASANA yang mendamaikan di pantai kawasan Warisan Dunia Shark Bay.

Magis tercetus sebaik senja menjelma, membolehkan anda menikmati malam indah di panggung luar yang terletak di kawasan perlindungan burung kakak tua itu bersama insan tersayang. Ia pasti menjadi satu malam yang dipenuhi rasa cinta, dikelilingi keindahan alam serta membentuk memori indah yang tidak boleh dilupakan.

Untuk pengalaman yang lebih santai tetapi masih menakjubkan, kunjungilah lokasi tinjau terkenal yang terdapat di taman ini seperti Nature's Window, The Loop, Z Bend, Hawkes Head dan Ross Graham, Red Bluff dan Pot Alley.

Semua tempat ini unik dalam cara tertentu dan merupakan lokasi sempurna untuk mengambil gambar yang mengagumkan.


PEMANDANG di Coral Bay.

Kepada pengunjung yang berminat menyaksikan kumpulan dolfin bottlenose boleh melawat Pantai Monkey Mia di Semenanjung Peron di kawasan Warisan Dunia Shark Bay.

Malah, pengunjung juga berpeluang untuk memberi makan kepada ikan lumba-lumba berkenaan di kawasan air cetek di bawah penyeliaan renjer taman.

Bagi yang berminat dengan aktiviti snorkeling, Terumbu Ningaloo semestinya pilihan tepat untuk destinasi pelancongan kerana lokasi itu menawarkan pelbagai jenis kehidupan laut.

Pantai Ningaloo terukir di senarai Warisan Dunia pada Jun 2011 oleh Jawatankuasa Warisan Dunia.


SUASANA matahari terbenam di Monkey Mia.

Penyenaraian Warisan Dunia itu mengiktiraf nilai universal kehidupan laut yang pelbagai dan banyak di kawasan berkenaan, di samping fauna gua yang luar biasa dan kontras warna di bawah permukaan air.

Kawasan warisan tersebut mempunyai keluasan lebih 600,000 hektar. Ia hanya terletak beberapa meter dari kawasan pantai.

Terumbu Ningaloo juga memberi peluang kepada ibu bapa mendidik dan menyemai sikap mesra alam terhadap lautan kepada anak yang masih kecil.


AUSTRALIA Barat kaya dengan destinasi yang mengagumkan.

Bahagian paling menarik mengenai Terumbu Ningaloo yang menjadi tarikan pengunjung ialah pengalaman snorkelling yang ditawarkannya. Di sini, anda dapat bersnorkel dengan gergasi lautan, yu paus, yang berhijrah dari akhir Mac sehingga awal Julai setiap tahun.

Gergasi lautan ini tidak berbahaya kepada manusia dan merupakan spesies mamalia terbesar dunia dengan keupayaan membesar sehingga 18 meter panjang.


KAWASAN pantai berhampiran Skipjack Point di Taman Negara Francois Peron.

Sekiranya anda terlepas peluang menyaksikan yu paus, anda tidak perlu risau. Ini kerana anda berpeluang untuk berenang bersama paus kelasa dari Ogos hingga November.

Selain itu, banyak lagi lokasi boleh dikunjungi di Australia Barat atau melayari www.westernaustralia.com.

805 dibaca
PEMANDANGAN di 'Hawks Head Lookout' menghadap Sungai Murhican, Taman Negara Kalbarri.
THE Pinnacles di Taman Negara Nambung.
IKAN jerung paus yang terdapat di Australia Barat.
BUNGA Pink di Geraldton Wax.
PEMANDANGAN di Taman Negara Kalbarri.
PANTAI Kalbarri Coastal.
TAMAN Negara Kalbarri.
PANDANGAN udara di kawasan batu karang Ningaloo.
Berita Harian X