Rabu, 4 Oktober 2017 | 8:46pm
MENTERI Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun (dua dari kiri) meninjau Kota Kinabalu Wetland. - Foto Malai Rosmah Tuah
MENTERI Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun (dua dari kiri) meninjau Kota Kinabalu Wetland. - Foto Malai Rosmah Tuah
MENTERI Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun (dua dari kanan) hadir pada Majlis Pelancaran Tapak Ramsar Kota Kinabalu Wetland di Likas, Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah
MENTERI Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun (dua dari kanan) hadir pada Majlis Pelancaran Tapak Ramsar Kota Kinabalu Wetland di Likas, Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

KK Wetland taman flora fauna hampir pupus

Tersembunyi antara Bukit Bendera dan Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, ramai tidak menyedari kewujudan satu kawasan tanah lembap hutan paya bakau yang terpelihara rapi di sebalik kepesatan pembangunan ibu negeri Sabah.

Dinamakan Tapak Ramsar Tanah Lembap Kota Kinabalu (KK Wetlands), adalah satu-satunya paya bakau yang masih tinggal berhampiran pusat bandar raya Kota Kinabalu, menjadikannya tapak Ramsar ini unik, lebih-lebih lagi ada sesuatu yang menarik di situ.

Dalam hutan paya bakau berkeluasan 24 hektar itulah pengkaji dan penggemar habitat alam semula jadi dapat menemui 'berus mata buaya' dan 'kasut kuda prasejarah' yang bukan saja unik dari segi nama, malah dikategorikan sebagai terancam serta hampir pupus.

Berus mata buaya bukanlah alat atau ada kaitan dengan sang bedal, sebaliknya ia adalah spesies pokok bakau dikenali dengan nama saintifik 'Bruguiera hainesii' yang disenaraikan hampir pupus dan sukar ditemui di mana-mana hutan bakau di seluruh dunia.

KOTA Kinabalu Wetland yang terletak kira-kira dua kilometer dari pusat bandar raya Kota Kinabalu diiktiraf sebagai Tapak Ramsar paya bakau dalam kawasan bandar yang pertama di dunia. - Foto Malai Rosmah Tuah
KOTA Kinabalu Wetland yang terletak kira-kira dua kilometer dari pusat bandar raya Kota Kinabalu diiktiraf sebagai Tapak Ramsar paya bakau dalam kawasan bandar yang pertama di dunia. - Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA Kinabalu Wetland adalah satu-satunya paya bakau yang masih tinggal berhampiran pusat bandar raya Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah
KOTA Kinabalu Wetland adalah satu-satunya paya bakau yang masih tinggal berhampiran pusat bandar raya Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Pegawai Sains dan Pemeliharaan KK Wetlands, Mohd Nurazmeel Mokhtar, berkata ketika ini ada 16 anak pokok berus mata buaya di tapak Ramsar berkenaan, semuanya ditanam sejak kira-kira dua tahun lalu sejajar usaha mengelak kepupusan spesies tumbuhan berkenaan.

"Benih pokok ini diambil dari pokok induk yang ditemui di Pulau Manukan. Ia adalah spesies bakau unik kerana memiliki bentuk seperti mata buaya di pokok yang dewasa dan kita berharap pokok ditanam di sini dapat membesar dengan baik," katanya.

Pokok berus mata buaya adalah antara 32 spesies bakau dan tumbuhan berkaitan tanah lembap yang menghijaukan persekitaran KK Wetlands, selain memberi perlindungan kepada pelbagai spesies haiwan, termasuk hidupan marin. 

KOTA Kinabalu Wetland mempunyai keluasan 24 hektar. - Foto Malai Rosmah Tuah
KOTA Kinabalu Wetland mempunyai keluasan 24 hektar. - Foto Malai Rosmah Tuah

Ketam kasut kuda (horseshoe crab) atau tepatnya belangkas (Limulus polyphemus) pula adalah spesies marin yang dikatakan berasal dari zaman sebelum dinosaur boleh ditemui di sini, satu fenomena disifatkan sebagai mengejutkan berikutan kedudukan KK Wetlands di kawasan bandar.

Mohd Nurazmeel berkata, belangkas memasuki tapak Ramsar berkenaan melalui anak sungai yang menghubungkan paya bakau dengan laut di Teluk Likas ketika air pasang dengan kehadirannya boleh dilihat sekali-sekala berenang berpasangan di kawasan air cetek berhampiran sungai.

Itulah antara kelebihan menjadikan KK Wetlands sebuah tanah bencah atau lembap yang menarik hanya kira-kira dua kilometer dari pusat bandar raya Kota Kinabalu dan diiktiraf sebagai tapak Ramsar paya bakau dalam bandar yang pertama di dunia.

 SEBAHAGIAN spesies burung yang terdapat di Kota Kinabalu Wetland.- Foto Malai Rosmah Tuah
SEBAHAGIAN spesies burung yang terdapat di Kota Kinabalu Wetland.- Foto Malai Rosmah Tuah

Bukan itu saja, tapak Ramsar berkenaan yang pernah diwartakan sebagai Santuari Burung Bandaraya Kota Kinabalu (KKCBS) pada tahun 2000 turut menerima kehadiran burung penghijrah dari sejauh Siberia di utara Asia menjadikannya lokasi memerhati burung yang popular di Kota Kinabalu.

Dianggarkan kira-kira 90 spesies burung tempatan dan penghijrah boleh ditemui di tapak Ramsar berkenaan termasuk Burung Botak (Leptoptilos javanicus) dan Burung Bangau Cina (Egretta eulophotes) yang dikategorikan sebagai sangat terancam.

KK Wetlands  adalah Tapak Ramsar kedua di Sabah selepas Hilir Kinabatangan-Segama dan ketujuh di Malaysia apabila disenaraikan sebagai Tapak Ramsar Ke-2,290 dunia oleh Konvensyen Ramsar berpusat di Kesatuan Antarabangsa Bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), Switzerland pada 22 Disember tahun lalu.

Penyenaraian itu diumumkan secara rasmi oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 17 Julai lalu, menjadikan ia satu-satunya tapak Ramsar dalam bandar di negara ini dan kedua di dunia selepas Yatsu-Higata, Chiba, di Jepun.

Pelancarannya sebagai tapak Ramsar pula disempurnakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun, yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman pada 21 September lalu.

PELAJAR menikmati keindahan di Kota Kinabalu Wetland.
PELAJAR menikmati keindahan di Kota Kinabalu Wetland.

Sejajar dengan kedudukan itu, Persatuan Pemuliharaan Tanah Lembap Sabah (SWCS) yang mengurus KK Wetlands sejak tahun 2005 memberi tumpuan kepada usaha memelihara selain menggalakkan pembelajaran berkaitan alam sekitar dan ekosistem tanah lembab.

Presiden SWCS, Datuk Zainie Abdul Aucasa, berkata sebagai tapak Ramsar, KK Wetlands diiktiraf sebuah ekosistem tanah lembap berkepentingan antarabangsa yang perlu dilindungi sepenuhnya sebagai warisan negeri dan generasi akan datang.

"Disebabkan kedudukannya di kawasan bandar, ia sangat berpotensi untuk aktiviti pelancongan, pembelajaran dan rekreasi. Bagaimanpun, kita perlu mengehadkan kemasukan pelancong dan pelawat agar kepentingan alam sekitarnya tidak terjejas.

"Kita lebih menggalakkan penyelidik dan pelawat sekolah yang menjalankan kajian dan program pembelajaran berkaitan tanah lembap atau alam sekitar dalam usaha meningkatkan usaha pemuliharaan dan kesedaran mengenai kepentingan tanah lembap.

"KK Wetlands adalah contoh terbaik ekosistem tanah lembap paya bakau dalam kawasan bandar, malah ia cukup unik kerana di sini kita boleh menemui tumbuhan hampir pupus iaitu berus mata buaya selain hidupan marin seperti belangkas, burung dan bermacam lagi," katanya.

Kemudahan jambatan pejalan kaki sepanjang 1.3 kilometer dan denai tanah sepanjang 200 meter memudahkan pelawat menerokai keunikan hutan paya bakau KK Wetlands, selain pondok rehat dan menara tinjau bagi memerhati burung dan persekitaran hutan bakau.

 

INFO - Latar belakang KK Wetlands

  • 1980-an - Dicadang sebagai kawasan perlindungan oleh Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF)
  •  

  • 1996 - Diwartakan sebagai kawasan perlindungan mengikut Seksyen 28 Ordinan Tanah Sabah (Cap 68) dan diurus oleh Jawatankuasa Pengurusan Santuari Likas (LWSMC)
  •  

  • 1999 - Diwartakan sebagai Tapak Warisan Budaya mengikut Enakmen Warisan Budaya (Konservasi) 1997
  • 2000 - Diwartakan sebagai santuari burung dan dikenali sebagai Santuari Burung Kota Kinabalu (KKCBS) pada Disember
  • 2005 - Persatuan Pemuliharaan Tanah Lembab Sabah (SWCS) ditubuhkan dan mengambil alih pengurusan daripada LWSMC pada Ogos
  • 2006 - Secara rasmi dinamakan KK Wetlands bagi memperluas kepentingannya sebagai kawasan pemeliharaan ekosistem paya bakau
  • 2009 - Dicadang sebagai tapak Ramsar oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah
  • 2011 - Maklumat berkaitan tapak Ramsar diserahkan kepada ibu pejabat Ramsar
  • 2013 - Diluluskan Kabinet Sabah sebagai tapak Ramsar kedua di Sabah pada Mac, manakala oleh Kabinet Persekutuan pada November
  • 2016 - Disenaraikan sebagai Tapak Ramsar Ketujuh di Malaysia pada 22 Disember
  • 2017 - Diumumkan secara rasmi sebagai Tapak Ramsar oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 17 Julai, manakala pelancaran rasmi pada 21 September
Berita Harian X