Ahad, 12 November 2017 | 5:51pm

Cengkaman dingin tak jadi halangan

SEBAIK menjejakkan kaki ke bumi Sofia, Bulgaria, tersentuh hati Wira Daratan, Datuk Hasan Nawawi apabila melihat puluhan gereja terbina megah kerana suatu ketika dahulu, ia adalah masjid di zaman kegemilangan Islam di bumi Eropah.

Semuanya kerana kekalahan tentera Islam dengan tentera Kristian dalam Perang Salib yang berlaku 1877, sekali gus jatuhnya pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah atau Ottoman.

Daripada 30 masjid yang dibina, hanya satu (Masjid Bunya Bashi) masih kekal rumah ibadat orang Islam, manakala yang lain ditukar menjadi gereja atau muzium pemerintahan Bulgaria.

Ditambah pula ketika ini hanya sembilan peratus penduduk Sofia beragama Islam, berbanding 7.2 juta penduduk Bulgaria menganuti Kristian Ortodoks.

Bagi memperingati gabungan 200,000 tentera pakatan tentera Bulgaria, Jerman, Russia, Finland dan England itu, kerajaan Bulgaria membina gereja Aleksandar Nevski Cathedral di tapak masjid pada 1882 dan mengambil masa 32 tahun untuk disiapkan.


HASAN bersiap sedia meninggalkan Hotel Imperial, Plodiv untuk ke ibu negara Bulgaria, Sofia.


SUATU ketika dahulu adalah sebuah masjid ditukar menjadi muzium arkeologi selepas Perang Salib.

Itu sejarah mengenai Sofia. Bagaimanapun halangan besar Hasan ialah terpaksa mengayuh di bawah suhu dingin sehingga lapan darjah Celsius setibanya di bumi Serbia, kira-kira 40 kilometer (km) ke pintu sempadan, bandar terdekat ialah Dimitrovgrad.

Hasan berkata, seperti penguat kuasa di negara lain, tidak terkecuali di Serbia, beliau ditahan beberapa jam untuk pemeriksaan sebelum dilepaskan untuk menyambung perjalanan sejurus urusan selesai.

"Saya menyambung perjalanan pada jam 4.20 petang, manakala laluan ke Dimitrovgrad masih berbaki 10 kilometer. Mahu tidak mahu, saya meneruskan kayuhan dalam hujan lebat.

"Baju panas yang tebal pun tidak mampu memanaskan tubuh yang hampir basah kuyup ditambah pula keadaan semakin gelap. Saya tiba di bandar Dimitrovgrad jam 6 petang.

"Sebaik mendaftar masuk, saya terus mandi air panas, kemudian ke restoran berhampiran untuk mencari makanan sebagai pengalas perut," katanya kepada BH.

Hasan meredah beberapa kedai serbaneka untuk membeli kad SIM telefon Serbia memandangkan kad SIM Bulgaria tidak boleh digunakan lagi.

"Hampir setengah jam kad SIM yang dibeli tidak dapat liputan memandangkan talian Internet di negara Balkan ini terlalu perlahan.


AKIBAT kekalahan Islam dengan tentera Kristian dalam Perang Salib, bangunan ini dahulunya sebuah masjid ditukar menjadi gereja.


HASAN bersama imam Masjid Bunya, Imam Ilsan selepas menunaikan solat Asar.

"Mujurlah wifi kedai berhampiran dan hotel dapat membantu serta memudahkan saya menghubungi keluarga di Malaysia," katanya.

Keesokannya, beliau meneruskan kayuhan ke bandar Nis, kira-kira 90 kilometer dari Dimitrovgrad.

"Kalau sebelum ini dari sempadan Bulgaria ke Dimitrovgrad, laluan kurang mencabar kerana jalan landai dan cuaca agak cerah, namun untuk ke Nis lain ceritanya.

"Saya terpaksa melalui laluan sedikit berbukit dan banyak terowong yang sempit. Terpaksa berkayuh pantas bagi mengelak kereta yang lalu lalang.

"Apabila tiba di Nis pada jam 6 petang, saya dapat pesanan untuk ke Belgrade bagi pegawai kedutaan, Nik Ady Arman keesokannya. Saya terpaksa menaiki bas ke sana, memandangkan laluannya agak tersasar untuk ke Bosnia - Croatia dan Slovenia.

"Saya sempat juga menikmati nasi dan bihun goreng di rumah Setiausaha Kedua Kedutaan Malaysia di Belgrade, Muhamad Amin Dalek yang dimasak isterinya. Terubat juga kerinduan makanan Malaysia sambil menikmati teh tarik," katanya.

Hasan hanya berkayuh tiga hari di Serbia, sebelum meneruskan perjalanan ke Bosnia dan sepanjang perjalanan kelihatan daun pokok mulai merah, menandakan seminggu dua lagi musim luruh tiba.

"Suhu di Serbia tidak banyak beza sekitar lapan hingga sembilan darjah Celcius. Kena pakai baju dua tiga lapis termasuk sehelai berkain tebal bagi mengelakkan kesejukan," katanya.

Ketika ini, Hasan sudah pun memasuki Bosnia dan menjangkakan dalam masa empat hari dapat menghabiskan kayuhan di negara berkenaan sebelum memasuki Croatia.

649 dibaca
SAUJANA mata memandang keluasan ladang gandum di Bulgaria.
HASAN bersiap sedia meninggalkan Bulgaria untuk berkayuh ke Serbia.
Berita Harian X