Selasa, 17 April 2018 | 10:00pm
VAN mengembara '24 Hour Travellers' mudah mencari ruang untuk berehat. - Foto ihsan 24 Hour Travellers

Tinggal hidup selesa demi 'campervan'

SEREMBAN: Selepas lebih 20 tahun dalam bidang pengiklanan, Samantha Khoo, 43, dan suami, Rene Sullivan, 45, mengambil keputusan meninggalkan kerjaya masing-masing untuk mengembara sepenuh masa.

Pilihan itu dibuat pasangan campuran Malaysia dan Singapura yang lebih selesa dengan panggilan Sam dan Rene, demi memenuhi kecintaan mereka terhadap gaya hidup minimalis berasaskan 'campervan'.

Pasangan yang berkahwin hampir dua dekad itu turut menjual kebanyakan harta termasuk pejabat dan perabot rumah untuk menjalani hidup lebih ringkas, termasuk memudahkan mereka berkelana dari satu tempat ke tempat lain.

Sam yang juga bekas pengarah filem syarikat produksi sebelum ini membuka studio fotografi, manakala Rene pula bekerja sebagai komposer muzik dan memiliki syarikat sendiri, sebelum menutup sepenuhnya perniagaan awal tahun lalu.

Menggelarkan diri mereka '24 Hour Travellers', Sam berkata mereka membuat keputusan berkenaan kerana mahu memperlahankan rentak kehidupan yang sebelum ini dirasakan terlalu pantas, selain menikmati hidup dengan tenang dan gembira.


SEBUAH van mengembara '24 Hour Travellers', sepenuh masa menggunakan 'campervan' Toyota LiteAce Premio. - Foto ihsan 24 Hour Travellers

"Gaya hidup minimalis dan mengembara menggunakan campervan membuatkan kami lebih menghargai alam semula jadi yang indah.

"Kami juga menikmati kebebasan tanpa perlu terkejar-kejar untuk kembali melakukan rutin pekerjaan seperti sebelum ini," katanya.

Sam berkata, selepas berhenti kerja dia dan suami membuat keputusan membeli sebuah van jenis Toyota LiteAce Premio terpakai, sebelum mengubahsuainya menjadi campervan dilengkapi bekalan elektrik yang dijana tenaga solar, ruang tidur, kabinet barang dan dapur kecil.

Katanya, selepas beberapa bulan mereka memasang sebuah set khemah (rooftop tent) di atas bumbung van sebagai alternatif tempat tidur yang lebih luas dan selesa, terutama apabila berkhemah di kawasan pantai atau tepi sungai.

Hidup secara minimalis lebih tenang

Bagi Rene, kehidupan mereka kini lebih tenang dan menjimatkan berikutan penurunan kos perbelanjaan harian serta bulanan disebabkan tidak perlu membeli banyak barang keperluan rumah atau pakaian baharu.

"Kehidupan sekarang amat ringkas...kami belajar untuk membezakan antara keperluan dan kehendak. Kami tidak perlukan banyak barang atau pakaian, malah bersyukur dengan apa yang ada.


GAYA hidup mnimalis dan mengembara menggunakan 'campervan' memang serba ringkas. - Foto ihsan 24 Hour Travellers

SEBUAH van yang diubah suai untuk pengembaraan. - Foto ihsan 24 Hour Travellers

"Kami lebih menghargai perkara kecil dalam hidup termasuk air dan elektrik," katanya.

Mengulas pengembaraan mereka, Rene berkata dia dan isteri biasanya berkhemah di tempat yang mempunyai kemudahan tandas dan bekalan air, namun turut membawa tandas mudah alih jika keadaan memerlukan.

"Kami sebenarnya merancang untuk mengembara menaiki campervan menggunakan jalan darat ke London tidak lama lagi.

"Kini kami dalam proses membaik pulih enjin kenderaan sebagai persediaan menghadapi perjalanan jauh itu yang mungkin mengambil masa sehingga enam bulan," katanya.

Untuk merealisasikan misi itu, pasangan berkenaan kini aktif mencari dana menggunakan pelbagai platform atas talian khususnya melalui laman web www.24htravellers.com yang diwujudkan mereka.


SAMANTHA Khoo, dan suami, Rene Sullivan, mengambil keputusan meninggalkan kerjaya masing-masing untuk mengembara sepenuh masa. - Foto ihsan 24 Hour Travellers

Platform lain termasuk www.youtube.com/c/24HourTravellers, Patreon (https://www.patreon.com/24HourTravellers) dan Facebook (www.facebook.com/24htravellers/) dan laman web (www.24htravellers.com) yang semuanya memuatkan kisah pengembaraan campervan pasangan itu.

Turut dikongsi melalui platform sama panduan serta aktiviti campervan di Malaysia yang semakin mendapat perhatian terutama golongan yang mahu menikmati percutian yang lebih bebas, mencabar dan menjimatkan.

Berita Harian X