Ahad, 20 Mei 2018 | 11:11am
PENGEMBARAAN ke Souq Madinat Jumeirah, Dubai beri pengalaman berharga. - Foto Madihah Abd Manaf
DIHA bersama ibu bapanya di kediaman mereka di Cannington, Perth. - Foto Madihah Abd Manaf

Jelajah Ramadan lebih nyaman

KEMANISAN Ramadan lebih dirasai apabila berpeluang menunaikan ibadat berpuasa dengan penuh rasa syukur bersama keluarga di kampung halaman.

Bagaimana pula perasaan apabila terpaksa berjauhan di perantauan tanpa keluarga di sisi, pastinya tersentuh perasaan setiap kali menikmati juadah ketika berbuka.

Adanya pengembara tegar mengambil peluang Ramadan dengan melancong atau berada di luar negara atas tuntutan tugas atau melanjutkan pelajaran.

Mungkin sebilangannya seronok menjalani ibadat puasa pada musim sejuk dan tidak kurang berhadapan dengan cabaran terpaksa melalui waktu berpuasa yang panjang.

Berlainan pula cerita graduan Ijazah Sarjana Muda, Kejuruteraan Kimia dari Universiti Curtin, Perth, Australia, Madihah Abd Manaf, 25, yang hobinya melancong melahirkan rasa teruja apabila pernah melalui pengalaman berpuasa di perantauan.

Lebih mesra dengan panggilan Diha, beliau mengembara ke destinasi percutian popular hampir separuh dunia.

Beliau yang dilahirkan di Cannington, Perth, adalah anak kapten juruterbang di syarikat penerbangan terkemuka. Sering mengikut bapanya bertugas ke destinasi penerbangan antarabangsa mahupun percutian bersama keluarga.

Waktu siang pendek

KEUNIKAN Menara Pisa di Itali jadi pilihan Madihah. - Foto Madihah Abd Manaf

Beliau beruntung kerana kedua ibu bapanya gemar melancong, tambahan pula ibunya bekas pramugari.

Justeru, banyak negara dilawati, namun, Diha tidak melupakan kenangan manis dan pengalaman berharga berpeluang menyambut Ramadan di Perth, terutama zaman awal remajanya ketika menuntut di sana.

"Terus-terang, apabila orang bertanya, jujur, saya suka berpuasa di Perth. Walaupun hampir setahun setengah meninggalkan kolej, saya tetap memilih Perth sebagai destinasi percutian setiap kali menjelangnya Ramadan.

"Tambahan pula, datuk dan nenek masih menetap di Cannington. Balik Perth lebih selesa selain menjenguk datuk dan nenek," katanya.

Diha berkata, berpuasa di Perth pada musim sejuk waktu siangnya pendek, sekitar jam 5.30 petang, sudah masuk waktu berbuka.

Cuaca sejuk katanya, tak rasa dahaga dan letih. Cabaran berpuasa ketika di universiti apabila ternampak rakan bukan beragama Islam makan atau minum.

Bagaimanapun, mereka begitu menghormati pelajar Islam dan ada dalam kalangan mereka cuba ikut berpuasa, tapi menjelang tengah hari, terpaksa berbuka.

Teringat kemeriahan bazar Ramadan

BERBUKA puasa bersama teman kolej dari Indonesia dan Filipina di Dewan Malaysia, Perth. - Foto Madihah Abd Manaf

"Makanan buka puasa paling popular ketika zaman belajar dulu dan masih berterusan hingga hari ini ialah nasi bryani kambing atau nasi Arab. Sajian dihidangkan atas talam dan kami makan ramai-ramai.

"Ada masanya teringin menikmati kuih Melayu, layari YouTube dan belajar buat apam balik. Alhamdulillah, orang kata taklah sampai kempunan," ceritanya lagi.

Cuma apabila beliau bercuti ke Perth pada bulan puasa, beliau teringat kemeriahan bazar Ramadan di Kuala Lumpur kerana di perantauan tiada suasana membeli-belah juadah berbuka puasa di gerai tepi jalan.

Katanya, suasana selepas buka puasa di Perth seperti solat terawih sama di Kuala Lumpur, cuma selepas solat, tiada disediakan moreh.

"Imsak ketika musim sejuk sekitar jam 5 pagi, lebih kurang di Malaysia. Cuaca sangat sejuk, tapi saya paksa diri bangun sahur, sekadar menjamah kurma bersama nasi putih dan telur goreng," katanya yang pernah melancong ke Greece, Paris, Athens, Venice, Milan, Pisa, London dan Dubai.

Ditanya mengenai destinasi kegemaran, beliau memilih Amsterdam, Belanda kerana terkenal dengan tulip menjelang musim bunga.

Berkongsi pengalaman melawat negara bawah paras laut itu ketika musim bunga, beliau melahirkan rasa kagum menyaksikan tulip berwarna terang, tumbuh liar di tepi jalan atau taman sekitar Keukenhof yang juga dikenali Garden of Europe.

Taman bunga terbesar dunia, terletak di Lisse, selatan Belanda. Pemandangannya mempesona umpama hamparan permaidani berwarna-warni.

KENANGAN di Garden of Europe, Keukenhof, Belanda sukar dilupakan. - Foto Madihah Abd Manaf

Berita Harian X