Ahad, 17 Jun 2018 | 7:59pm
PRAMUGARI Airasia, Maya Fikri beraya di perantauan. - Foto Ihsan Maya Fikri
PRAMUGARI Airasia, Maya Fikri beraya di perantauan. - Foto Ihsan Maya Fikri
PRAMUGARI Airasia, Maya Fikri beraya di perantauan. - Foto Ihsan Maya Fikri
PRAMUGARI Airasia, Maya Fikri beraya di perantauan. - Foto Ihsan Maya Fikri
PRAMUGARI Airasia, Maya Fikri beraya di perantauan. - Foto Ihsan Maya Fikri
PRAMUGARI Airasia, Maya Fikri beraya di perantauan. - Foto Ihsan Maya Fikri

Sebak Syawal di perantauan

HENING Syawal begitu bermakna apabila menyambut lebaran bersama keluarga dan insan tersayang di sisi.

Kemeriahannya berganda apabila Aidilfitri diraikan di kampung halaman sambil menikmati juadah istimewa, ketupat dan rendang. Tidak lupa menggayakan pakaian baharu berwarna-warni, manakala si kecil beratur mengharap sampul duit raya, begitu teruja menyambut Syawal.

Bagaimana perasaan kesyahduan di pagi Aidilfitri direntap apabila perlu bertugas jauh di perantauan? Hati tetap terusik, namun tetap bangga menyarung seragam merah sebagai ganti baju kurung atau kebaya, demi amanah digalas.

Itulah yang dirasai Mariati Mohd Fikri Gurdip atau dikenali sebagai Maya, 27, yang bertugas sebagai pramugari AirAsia Bhd (AirAsia) apabila tahun ini sekali lagi beliau diminta bertugas di pagi Syawal.

Malah, Maya anak kelahiran Pandan Mewah, Ampang, Kuala Lumpur, tidak pernah berpeluang beraya bersama keluarga sepanjang lima tahun di syarikat penerbangan murah itu kerana perlu bertugas ke pelbagai destinasi di seluruh dunia.

Acap kali menyambut Aidilfitri di perantauan dan suasana duka serta pilu seolah-olah sebati dalam jiwanya.

Suasana lembaran dekat di hati

Hari raya tahun ini, Maya bertugas untuk penerbangan ke Xi'an, China.

"Saya tak mampu tipu, memang sedih. Belum pun terbang, dah rasa sayu tak dapat beraya dengan keluarga. Tapi, demi tugas, tanggung jawab itu saya galas. Untuk mencari rezeki, saya perlu tabah dan sering memujuk hati sendiri, seronok juga dapat beraya di luar negara," katanya.

Maya mengakui menyambut 1 Syawal di Xi'an, kemeriahannya tetapi dirasai kerana destinasi pelancongan itu didiami penduduk Islam paling ramai.

Katanya, beliau berkesempatan bersembahyang Aidilfitri di Masjid Xi'an, iaitu masjid terbesar dibina Dinasti Ming. Bangunan masjid ini gabungan keunikan tradisional China dan Islam, sekali gus suasana lebaran terasa dekat di hati.

Tahun lalu, anak sulung daripada tiga beradik ini menyambut Aidilfitri di kota suci, Madinah. Beliau bertugas mengikuti penerbangan sewa khas membawa rombongan ke Madinah bagi mengerjakan umrah. Kebetulan pesawatnya mendarat pada akhir Ramadan.

"Sempat berpuasa dua hari ketika berada di Madinah. Ketika itu cuaca di Madinah nyaman, seperti berada di Genting Highlands. Saudara-mara di Kuala Lumpur telefon, beritahu mereka sibuk buat persiapan akhir, kita pula dah sebak, menjelang malam raya, rasa nak menangis pun ada," katanya.

Terbayang wajah mak ayah

Mengimbas kenangan sambut raya sebelum ini di Madinah, beliau mengakui pagi dengar takbir raya, terbayang muka ayah dan ibunya.

"Tapi, raya tetap raya. Kru kabin menetap di Hotel Millenium Taiba, kira-kira 14 kilometer ke Masjid Nabawi. Kami sembahyang raya, siap pakai jubah dan dapat rasai suasana Syawal.

"Di sini kami tak sedih sangat. Sudah terbiasa beraya di luar negara, kadang-kadang rasa seronok pula.

"Balik sembahyang, kami buat jamuan kecil-kecilan. Kemeriahan Aidilfitri tetap dirasai apabila kawan-kawan bawa lemang, ketupat dan rendang dari Malaysia. Justeru, suasana hari raya tetap dirasai walaupun kami menyambut Syawal jauh di perantauan," katanya.

Tugasnya sebagai kru kabin, membawa Maya mengembara hampir ke seluruh pelusuk dunia. Antara destinasi popular yang pernah dijelajahi ketika bertugas dan dalam masa sama menyambut lebaran di negara berkenaan termasuk Paris, London, Turki, Australia serta Korea Selatan.

Berita Harian X