Selasa, 21 Ogos 2018 | 5:44pm
SIPUT belalai gajah dihiris nipis dan enak dimakan mentah. - Foto Zunnur Al-Shafiq
TEONG Hooi (kiri) menunjukkan udang kara segar, udang galah dan geoduck yang menjadi pilihan pelanggan. - Foto Zunnur Al-Shafiq

Penangan siput belalai gajah

KALI pertama menjamah makanan eksotik dikenali siput belalai gajah atau lebih popular dengan panggilan geoduck, memang susah hendak ‘telan’ .

Apatah lagi apabila melihat bentuk fizikalnya. Geoduck yang diimport dari Amerika Utara ini dan perlu hidup dalam air masin pada suhu 10 darjah Celsius.

Harganya mahal, iaitu kira-kira RM450 sebatang seberat 1.5 kilogram (kg).

Selepas dipujuk oleh Pengarah Urusan, Restoran Garden Seafood, Tanjung Malim, Perak, Peh Teong Hooi, bahawa rasa geoduck sangat enak apabila dimakan mentah, seolah-olah sedang menikmati tiram mentah segar, penulis akhirnya ‘tewas’ lalu menjamah beberapa hirisan siput belalai gajah selepas ia direbus sekitar 15 saat untuk menanggalkan kulitnya.

Harga berbaloi

Ternyata geoduck yang dihiris nipis dan dicampur bersama perahan lemon serta dimakan mentah sangat sedap.

Peh berkata, sekiranya ada pelanggan yang tidak lalu menikmatinya secara mentah, geoduck itu boleh juga dicelur dalam sup ayam. Bagi penulis, dimakan mentah lagi ‘ummph’.

Dalam kalangan pengunjung tempatan dan pelancong dari luar Tanjung Malim, Restoran Garden Seafood sangat popular dengan hidangan atau menu udang galah segar. Hendak cari udang galah bersaiz besar dan makan dengan puas, harga pun berbaloi, berkunjung ke Tanjung Malim.

“Tanjung Malim masih ada udang galah, tapi saiznya tak besar dan kuantitinya tak banyak. Justeru, udang galah kami diimport dari Indonesia yang kaya dengan udang galah bersaiz XXL atau U3. Udang galah jenis ini besar-besar, baru puas makan.

“Begitu juga udang kara, turut menjadi menu pilihan ramai setiap hari,” katanya.

PELBAGAI menu popular lain yang terdapat di Restoran Garden Seafood. - Foto Zunnur Al-Shafiq

Premis makanan halal

Udang galah saiz U3 dimasak bersama keju mentega, sepinggan empat hingga lima ekor berharga sekitar RM360. Jauh beza harga di Kuala Lumpur yang boleh mencecah hampir RM800 hingga RM900.

“Di Tanjung Malim, hanya kami satu-satunya premis makanan yang mengusahakan makanan laut dan mempunyai status halal.

“Hampir 90 peratus pelanggan kami adalah orang Islam. Ketika Ramadan, permintaan udang galah semakin tinggi kerana gemar memesan udang galah sebagai hidangan utama berbuka puasa,” katanya.

FAKTA NOMBOR

* 500 orang

anggaran pelanggan sehari

* RM300

harga udang kara

seberat 1 kilogram

INFO

* Terletak di No 7- 8 & 9A, Jalan Wangsa Utama, Taman Wangsa, Tanjung Malim, Perak (berdekatan SMK Khir Johari)

* Menu popular ialah udang laut mentega oat dan udang kara daun bawang serta halia

Berita Harian X