Ahad, 23 September 2018 | 12:50pm

Tiram Bandar Diraja

DAERAH Muar yang mendapat jolokan Bandar Maharani, Bandar Diraja bukan sahaja terkenal dengan pelbagai khazanah sejarah dan budaya, malah mempunyai hasil laut, sungai yang pelbagai serta mempunyai keunikannya tersendiri.

Jika anda berkunjung ke daerah ini, sudah pasti lawatan kurang lengkap sekiranya tidak ke Pangkalan Parit Tiram yang menjadi menjadi hab kepada industri perikanan di daerah itu.

Antara keistimewaan di daerah di sebelah utara Johor ini mempunyai tiga spesies tiram yang dipercayai antara 10 jenis hidupan akuatik berkenaan terbaik di dunia.

Lebih mengujakan, teknik atau kaedah mendapatkan hidupan sungai terbabit masih dilakukan secara tradisional iaitu menerusi cara selaman yang sudah dilaksanakan sejak lebih 100 tahun, selain ia menjadi kegiatan turun-temurun.

Kegiatan mencari tiram di situ turut menjadi tumpuan pelancong yang mahu melihat secara dekat bagaimana nelayan menyelam ke dasar sungai bagi mendapatkan spesies berkenaan.

Penyelam Tiram, Abdul Shukor Bahrom, 55, berkata kegiatan mencari tiram ini sudah dilakukan sejak kira-kira 100 tahun lalu dan beliau adalah generasi ketiga menjadi penyelam tiram selepas profesyen terbabit dimulakan oleh moyangnya.

Kerja mencari tiram ini sudah dilakukan sejak sekian lama dan sehingga kini ia masih dilakukan dengan menggunakan teknik tradisi iaitu secara selaman.

“Uniknya, kerja selaman ini dilakukan tanpa bantuan sebarang peralatan moden kerana kami hanya menyelam dan menahan nafas sahaja.

PENYELAM tiram pulang ke darat setelah selesai menyelam mencari tiram di dasar muara Sungai Muar. - Foto Adi Safri

"Kerja mencari tiram ini tidak mengira waktu kerana ia bergantung kepada air pasang surut Sungai Muar.

“Biasanya kerja menyelam ini dilakukan sekitar tiga hingga empat jam sahaja iaitu pada waktu 'air banir' iaitu keadaan air tenang antara pasang dan surut," katanya.

Tiram Sungai Muar mendapat permintaan yang baik sama ada individu biasa hingga ke restoran besar dan hotel tertentu berikutan rasa enak dan kaya dengan nutrisi untuk kesihatan menjadikannya amat digemari ramai.

"Antara spesies tiram di sini ialah tiram kapak, tiram putih dan tiram selipar. Bagaimanapun, tiram putih paling digemari terutama orang Cina, sekali gus mendapat permintaan yang memberangsangkan.

Bagi Mohd Shaffiee Bahri, 65, berkata kegiatan mencari tiram secara tradisional ini sudah menjadi antara tarikan pelancong di kawasan ini walaupun ia masih belum dilakukan secara menyeluruh.

Katanya, kebanyakan pelancong hanya ke kawasan pencarian tiram dengan menaiki perkhidmatan 'river cruise' yang menyelusuri Sungai Muar dan akan singgah ke kawasan pencarian tiram berkenaan.

Menyedari keunikan tiram di kawasan itu, sebuah pusat berasaskan eko-pelancongan dibangunkan oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh bakal dikenali sebagai Oyster Bay dijangka mula beroperasi pada, 1 Oktober ini.

Oyster Bay bukan sahaja menjadi daya tarikan pelancongan terbaharu di daerah ini tetapi menjadi pusat penyelidikan haiwan akuatik berkenaan dan juga pembangunan usahawan di kawasan berkenaan.

KEGIATAN mencari tiram secara tradisional menjadi daya tarikan pelancong asing untuk mengetahuinya secara mendalam. - Foto Adi Safri

Projek terbabit yang dilaksanakan UTHM bersama Pejabat Daerah Muar, Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu turut mendapat kerjasama daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menerusi projek terbaharu itu ia akan menjadi pemangkin terhadap pertumbuhan ekonomi di kawasan ini terutama dalam sektor pelancongan di daerah ini dan seterusnya dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat kelak.

ANTARA tiram yang berjaya diperolehi di dasar muara Sungai Muar. - Foto Adi Safri

Info:

Oyster Bay Muar

* Dibangunkan oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia ( UTHM)

* Sokongan daripada Pejabat Daerah Muar, Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Muar, Majlis Perbandaran Muar

* Pusat pengajian tinggi terbabit USM dan UPM

* Dijangka siap - 1 Oktober 2018

Info:

Kaedah tradisional menyelam tiram Sungai Muar

* Penyelam berpaut pada batang kayu yang dipacak ke dasar sungai bagi mengelak dihanyut arus

* Kegiatan menyelam tiram bergantung kepada jadual pasang air

* Tempoh sesuai meyelam tiram: Jun - Julai dan Oktober - November tempoh

* 8 beting tumpuan penyelam tiram - Beting Acang, Panjang, Wa Bakak, Bakar Batu, Pasu, Tiram, Dungun dan Parit Beting.

PELANCONG melihat proses mengupas cengkerang untuk mendapatkan isi tiram di muara Sungai Muar. - Foto Adi Safri
PELANCONG melihat proses mengupas cengkerang untuk mendapatkan isi tiram di muara Sungai Muar. - Foto Adi Safri
PELANCONG melihat proses mengupas cengkerang untuk mendapatkan isi tiram di muara Sungai Muar. - Foto Adi Safri
PENYELAM tiram mengopek cengkerang tiram untuk dijual kepada peraih selepas dikutip di dasar muara Sungai Muar. - Foto Adi Safri
Berita Harian X