Ahad, 21 April 2019 | 12:01pm

'Bertarung' di gurun safari

BAGAIKAN nak pitam, rasa macam nak termuntah, kepala sakit dan badan terhuyung-hayang sambil kedua-dua tangan berpaut pada tempat pemegang mengikut alunan laluan berpasir ketika kenderaan pacuan empat roda (4x4) meredah Gurun Safari Al-Awir, Dubai.

Dalam keadaan itu, saya terkesima tetapi tetap teruja mahu terus menjelajah keindahan panorama gurun safari dengan pasir halus dan gebu warna emas kekuning-kuningan membentuk garis pasir seolah-olah berombak-ombak apabila ditiup angin terbentang luas saujana mata memandang.

Ini benar-benar pengalaman baharu buat saya. Kagum dengan bentuk muka bumi ciptaan Ilahi.

Pasir tebal pelbagai kontur terus terbelah dan memercik bertebaran di udara ketika Land Cruise dipandu oleh Nowafar L.X meluncur laju.

Kecekapan Nowfar, 38, iaitu pemandu pelancong Orient Tours, rakus mengawal stereng dengan kenderaan 4X4 diletakkan palang besi di dalamnya supaya terus kukuh untuk aktiviti lasak amat dikagumi.

Dia menekan pedal minyak terus mendaki bukit pasir dan membrek untuk berhenti beberapa saat sejurus sampai di puncak.

Sempat saya melihat ke bawah dan keseluruhan persekitaran pemandangan padang pasir terasa amat menggerunkan seakan ‘bertarung’ dengan maut, jika tersilap kendali kenderaan macam-macam boleh terjadi.


PANORAMA indah padang pasir yang berwarna kuning keemasan.

Kemudian, Nowfar meluncur laju menuruni lereng bukit yang dalam dan curam betul-betul buat saya kecut perut dan beristighfar.

Ada ketika rasa seakan-akan kenderaan ini mahu terbalik di tengah-tengah padang padang pasir yang tandus itu.

Pemanduan sama dilakukan berkali-kali membelah laluan rata padang pasir, ada masanya ke puncak bukit tinggi dan menuruni bukit yang curam bagaikan ‘roller coaster’ membuatkan saya begitu mensyukuri berpeluang berada di sini melihat pesona alam.

Itulah perasaan awal yang saya rasai ketika menyertai ekspedisi jelajah gurun pasir terbabit, iaitu terletak kira-kira 54 kilometer (km) perjalanan dari pusat bandar ke situ.

Yang nyata Nowfar tersenyum lebar, sesekali tertawa melihat gelagat saya bersama empat lagi rakan Media tempatan yang mengikut program Famaliarization Trip To Dubai 2019, baru-baru ini, kaku membisu.

Sesekali kami menjerit-jerit keseronokan dalam kebimbangan memikirkan berlaku pelbagai kemungkinan.

Aini Said (dari Dubai Tourism) Malaysia, yang duduk di depan bersama Nowfar, saya dan Rudy Fazrunisyam Samarudin (Harian Metro) duduk di bahagian tengah; Alyssa J Oon (SAYS) dan Claire Wong (TanTan News.com) di kerusi paling belakang, masing-masing juga hilang kata-kata.

Nowfar sempat bertanya ‘do you want some more...’ (adakah awak nak lagi...), Dalam kegelisahan itu kami menjerit... Yeah we want some more, let us feel the thrill together (Ya, kami mahu lagi, jom kita rasai bersama-sama keseronokan ini).

Selepas melalui pengalaman itu hampir 30 minit, saya merasakan inilah aktiviti lasak paling ekstrem dan dahsyat, tapi menyeronokkan yang pernah saya lalui.

Memang pada awalnya bermonolog ‘mengapa aku menyertai ekspedisi ini’! Dan terbayang wajah insan tersayang, apa jadi kalau aku mati di tengah padang pasir ini”.

Tetapi perasaan itu lenyap apabila Nowfar bijak mengawal kenderaan. Hanya kami saja ada di sini sambil menikmati kecantikan menakjubkan di pinggir kota Dubai, yang jauh berbeza dengan kepesatan pembangunan dengan berdiri megah bangunan ikonik pencakar langit tertinggi di dunia, seperti Burj Khalifa, Burj Al-Arab (hotel termahal di dunia) dan Dubai Mall (pusat beli-belah terbesar di dunia).

Nowfar, warga India berhijrah ke Dubai, sejak 2003 sudah 16 tahun bekerja sebagai pemandu di Orient Tours, dilihat kerjayanya alah bisa tegal biasa.


PENULIS bersama Nowfar yang berpengalaman lebih 16 tahun sebagai pemandu pelancong yang hebat mengendalikan kenderaan pacuan 4x4 di padang pasir.

Menurut Nowfar sepanjang kerjayanya, beliau tidak pernah terbabit dalam kemalangan ketika membawa pelancong dan mereka juga yakin cara beliau mengendalikan kenderaan.

“Kerjaya ini memang mencabar, perlu keberanian, kemahiran pemanduan yang bagus dan fokus.

“Saya sudah ‘masak’ selok-belok padang pasir ini. Saya tak perlu GPS, sebaliknya mengikut arah matahari. Padang pasir ini sentiasa berubah bentuk mengikut tiupan angin.

“Walau bagaimana keadaannya sama ada ribut pasir, panas terik atau hujan saya tetap membawa pelancong,” katanya.

Untuk misi jelajah kami, cuaca amat cantik tidak terlalu panas. Saya juga baru faham mengapa, Nowfar mengempiskan keempat-empat tayar sebaik sahaja memasuki gurun safari bagi memudahkan perjalanan di atas pasir.

Yang nyata, penerokaan itu membolehkan pelancong menikmati pengalaman menakjubkan apabila kenderaan terhuyung-hayang dan sedikit terhempas dikenali sebagai 'dune bashing'.

Bagi individu yang lemah semangat, penyakit jantung, hamil dan kanak-kanak bawah empat tahun dilarang mengikuti pengembaraan ini.

Rombongan kami, kemudiannya bertembung dengan ramai lagi pelancong asing yang menaiki Land Cruise lain bagi merasai pengalaman sama.

Sempat berhenti di beberapa perhentian untuk mengambil gambar dan merasai berjalan di pasir halus dan gebu yang membuatkan kaki terbenam ketika berjalan.

Ketika penjelajahan itu, ada kenderaan yang terbenam di dalam pasir, di sini dapat dilihat kerjasama antara mereka untuk menarik kenderaan lain.

Selepas puas merasai pengalaman ‘dune bashing’, pelancong dibawa ke Ladang Unta dan menyaksikan aksi burung helang memburu makanan, di dalam kawasan terbabit.


PERTUNJUKAN burung helang di padang pasir antara aktiviti menarik.

Kemuncak pengembaraan, apabila kami tiba di kem yang mempunyai 10 khemah dilengkapi bantal dan hamparan permaidani merah untuk merasai kehidupan kuno komuniti Badwi, nomad di padang pasir.

Kem dikendalikan Orient Tours ini turut menyediakan aktiviti menunggang unta. Ini satu lagi pengalaman menarik bagi mengetahui tabiat haiwan padang pasir itu dan bagaimana menjinakkan.

Ralip di sini kerana banyak aktiviti santai disediakan seperti melukis henna di tangan, melihat seni lukisan pasir untuk cendera mata, selain mengambil sepuas-puasnya gambar dan berselfie sehingga tidak sedar yang suasana terang beralih gelap.


ROMBONGAN media Malaysia menjelajah gurun safari bagi merasai kehidupan komuniti Badwi.

Apabila malam berlabuh suasana sunyi sepi, kawasan hanya disinari lampu neon yang cantik.

Di sini, kami menikmati makan malam barbeku yang hebat bersama pelancong lain sambil minum kopi Arab.

Kemudian, menyaksikan persembahan tarian tradisional negara Emeriah Arab Bersatu (UAE), Ayala (tarian selamat datang).

Dua penari masing-masing memegang kayu, diiringi dengan pukulan drum mengikut lenggok muzik.

Tarian itu sebagai simbolik penyatuan dan kerjasama antara komuniti yang lazimnya persembahan sempena menyambut acara kebesaran seperti Hari Kebangsaan dan majlis perkahwinan.

Di sini kita dapat dilihat bagaimana budaya kehidupan di padang pasir di kem Badwi.

Persembahan seterusnya, tarian tradisional Mesir, Tanoura dengan penari memakai kostum pelbagai corak terang memusingkan badannya tanpa henti selama 20 minit.


TARIAN tradisional UAE, Ayala menghiburkan.


TARIAN Tanoura menyerlahkan budaya keunikan muzik masyarakat Arab.

Kagum dengan kecekapan persembahan tarian sambil memegang beberapa drum melakukan formasi berbeza, kemudian kostum dilengkapi lampu berwarna-warni berkerdipan, pelancong terus tenggelam dengan irama muzik padang pasir.

Kemudian, pelancong disajikan permainan aksi permainan unggun api pelbagai corak, sebelum acara penari gelek mempersembahkan tarian yang begitu menghiburkan.

Penari wanita dari Uzbekistan, hanya dikenali sebagai Linda menari rancak menggelekkan pinggul dan susuk tubuhnya serta memusingkan kepalanya menyempurnakan penutup acara kira-kira enam jam pakej pelancongan meneroka gurun safari.

Pakej menjelajah gurun safari dengan makan malam barbeku dan menyaksikan persembahan tarian Alaya, Tanoura dan Belly berharga kira-kira RM250 seorang.

Info :

Mengenai pakej gurun Safari

* Memaparkan alam semula jadi Dubai yang berbeza

* Menawarkan perjalanan safari padang pasir yang sangat baik

* Disediakan aktiviti menarik dan menyeronokkan

* Pakej lain menaiki belon udara panas

* Meluncur pasir menggunakan wakeboard.

MELUNCUR pasir menggunakan ‘wakeboard’ antara aktiviti digemari pelancong.
Berita Harian X