Ahad, 9 Jun 2019 | 11:11am
NORUL Azlin bersama suami dan lima anaknya meneruskan tradisi menyambut Aidilfitri di luar negara dan tahun ini memilih di New Zealand.
NORUL Azlin bersama suami dan lima anaknya meneruskan tradisi menyambut Aidilfitri di luar negara dan tahun ini memilih di New Zealand.

Sambut Aidilfitri di negara Kiwi

Meraikan Aidilfitri di kampung halaman menjadi tradisi sejak sekian lama. Biar berpuluh jam menempuh perjalanan, kelesuan dan kepenatan memandu jauh beribu kilometer hilang, tatkala sekeluarga selamat tiba disambut ayah bonda.

Merentasi garisan masa, tradisi itu semakin mengikut keadaan, beraya tidak semestinya di desa. Budaya balik kampung tidak lagi menjadi keutamaan tetapi sebaliknya dirasai menerusi percutian keluarga sambil menyambut lebaran di perantauan.

Aliran itu semakin berkembang menerusi trend individu bercuti di luar negara ketika sambutan Syawal bagi merasai pengalaman berbeza masyarakat seluruh dunia meraikannya, selain menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga.

 

Bagi anak jati Ipoh,  Perak yang juga usahawan dalam bidang percetakan, Norul Azlin Mohd Hanafi, 37, beraya di luar negara bukan perkara asing bagi mereka sekeluarga, berikutan tahun lalu beliau bersama suami dan lima anaknya berusia antara lima hingga 10 tahun menyambut 1 Syawal di Sydney.

Australia.

Bagi tahun ini, beliau sekeluarga memilih New Zealand sebagai destinasi percutian sambil menyambut hari raya pertama di negara itu.

Mereka suami isteri sepakat untuk beraya di negara Kiwi itu bagi menyaksikan keunikan dan masyarakat Islam di sana meraikan perayaan itu.

Sebelum itu, keluarga terbabit sempat berpuasa beberapa hari di New Zealand dan diikuti seminggu lagi meraikan Aidilfitri di negara Kiwi itu.

Katanya, pada 1 Syawal lalu, mereka lengkap berpakaian raya berbaju Melayu dan baju kurung sedondon rona ungu, bagi merasai kemeriahan sambutan Aidilfitri tahun ini sambil bergambar berlatar belakangkan tempat menarik di negara terbabit.

“Kami juga membuat membuat panggilan video ke tanah air mengucapkan selamat hari raya bagi menggantikan tradisi bersalaman dan bergambar beramai-ramai dengan kedua-dua keluarga.

“Mungkin orang pelik kami melancong ketika musim perayaan, tetapi kedua-dua belah keluarga memahaminya. Rumah ibu bapa saya di Perak. Keluarga suami pula di Bangi.

SEBELUM memulakan penerokaan menjelajah New Zealand Norul Azlin sekeluarga bermaaf-maafan selepas menunaikan solat Aidilfitri di masjid berdekatan.
SEBELUM memulakan penerokaan menjelajah New Zealand Norul Azlin sekeluarga bermaaf-maafan selepas menunaikan solat Aidilfitri di masjid berdekatan.

"Hubungan erat tidak menjadi masalah untuk beraya di perantauan berikutan kami kerap berjumpa. Lagipun sebelum merancang beraya di luar negara, perkara sudah dipersetujui bersama," katanya.

 

Sebagai persiapan Syawal, beliau turut membawa segala kelengkapan, termasuk juadah raya, ketupat dan kuih-muih bagi memastikan kemeriahan menikmati makanan tradisi itu tetap dirasai.

Jika diimbas tahun lalu, mereka tiba di Sydney dua hari sebelum Syawal, sekali gus membuatkan tujuh sekeluarga ini merasai pengalaman berpuasa di negara orang yang tempohnya kurang sejam, iaitu imsak pada jam 5 pagi dan berbuka jam 5 petang.

Katanya, ketika di Sydney tahun lalu, mereka bertarawih di inap desa mereka sahaja, jetleg berikutan menempuh penerbangan hampir 10 jam di samping belum sepenuhnya menyesuaikan diri dengan perubahan masa dan cuaca.

"Selain beraya hampir seminggu di sana, kami sempat berpuasa tetapi tidak sempat bertarawih di masjid berikutan belum menyesuaikan diri dengan cuaca. Dapat kami melihat sendiri masyarakat tempatan menyempurnakan ibadat itu.

“Pada pagi raya kami ke masjid untuk bersama umat Islam di sana menyempurnakan solat sunat Aidilfitri,” katanya.

Anak ketiga daripada tujuh beradik, berkata beliau membawa dua atau tiga balang biskut supaya suasana raya tetap dirasai walaupun bukan berada di kampung halaman seperti tahun sebelumnya.

ANTARA destinasi dilawati memenuhi program percutian di negara kiwi.
ANTARA destinasi dilawati memenuhi program percutian di negara kiwi.

“Saya membawa nasi himpit segera, rempah masakan, sos dan kicap bagi memasak juadah untuk dinikmati pada pagi raya. Cuma bahan mentah halal dibeli di pasar raya,” katanya.

 

Lebih menarik, wanita berpengalaman dalam khidmat pemandu pelancongan kerana beliau adalah pengasas bersama Project Team Leader (PTL) yang memiliki rangkaian penginapan inap desa patuh syariah, antaranya di Edinburgh, Scotland; Paddington, London dan beberapa negara kota Eropah lain.

Keputusan beraya jauh beribu kilometer diambil kerana mereka mahu mengembara ke pelosok dunia dan ia masa yang sesuai ketika anak-anak masih kecil.

"Sebenarnya musim perayaan ramai bercuti ke luar negara terutama jika jatuh pada cuti sekolah, jadi mereka ambil kesempatan beraya di perantauan.

“Misalnya pada pagi raya, kami sekeluarga akan masak juadah dan makan dahulu sebelum meninggalkan rumah bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri,” katanya.

Juadah ringkas seperti nasi impit, rendang dan biskut raya dan spageti serta sandwich dibawa untuk berkelah.

Beliau berkata, anak semakin membesar waktu bersama keluarga semakin terbatas, jadi ketika mereka masih kecil lebih mudah membawa bercuti berbanding jika sudah bersekolah.

"Kami dapat menimba pengalaman pada hari penting umat Islam dan uniknya perkara itu dirasai di luar negara," katanya sambil mengakui anak 'terlepas' mendapat duit raya seperti kelazimannya.

Katanya, hanya sepasang pakaian raya dibawa kerana sudah menjadi tradisi mereka sekeluarga menyediakan jumlah itu bagi setiap ahli keluarga sempena lebaran.

"Sebagai kenang-kenangan kami memakai baju raya. Selepas bergambar di Sydney Opera House dengan pakaian raya, kami menukarkan pakaian lebih sesuai sebelum bergerak ke tempat tumpuan pelancongan lain," katanya.

ANTARA destinasi dilawati memenuhi program percutian di negara kiwi.
ANTARA destinasi dilawati memenuhi program percutian di negara kiwi.

Berita Harian X