Jumaat, 16 Ogos 2019 | 7:02pm
Hasan (kiri) bersama seorang pengayuh basikal yang ditemui ketika mencari jalan keluar dari bandar Xi'an menuju ke Xanji bagi meneruskan kayuhan solo Laluan Sutera.

Wira Daratan takluk Laluan Sutera

KUALA LUMPUR: Wira Daratan, Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman, 65, berjaya melengkapkan penjelajahannya, mengayuh basikal secara solo di Laluan Sutera, baru-baru ini.

Bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) itu memulakan kayuhan sejauh 3,500 kilometer bermula di Xi’an, China, pada 23 Jun lalu dan menamatkannya di Almaty, Kazakhstan pada 1 Ogos.

Beliau mengambil masa 40 hari menempuh cabaran semula jadi seperti kepanasan Gurun Gobi hingga mencecah 34 Celsius, laluan bergunung-ganang yang menegak 50 darjah, ditiup angin berdebu dan hujan lebat.

“Kalau jiwa tak kental, mahu sahaja saya berpatah balik ke Xi’an. Namun saya bertekad untuk menamatkan kayuhan hingga ke Kazakhstan.

“Saya bernasib baik ketika singgah di beberapa bandar seperti Shanxi, Wugong, Baoji, Ping Tuo, Tian Shu, Ding Xi, Lanzou, He Kuo, Yong Deng, Hong Cheng dan banyak lagi ada sahaja yang menghulurkan bantuan.

“Walaupun sukar memahami bahasa Inggeris, mereka sedia membantu apabila diminta,” katanya yang pernah berkayuh menakluk dunia pada 2001 dan lapan negara Balkan pada 2017.


Hasan bersama umat Islam Xi'an ketika meraikan sambutan Aidiladha, baru-baru ini.

Hasan Nawawi berkata, paling mencabar apabila mengayuh di bawah terik matahari 34 Celsius di Gurun Gobi yang seperti tiada penghujungnya selama tiga minggu.

“Seawal jam 7 pagi saya memulakan kayuhan di gurun berkenaan, sebelum berhenti pada jam 12.30 kerana tidak tahan terik matahari. Hanya kolong atau bawah jambatan menjadi tempat untuk saya berteduh sambil berehat bagi mengumpul tenaga.

“Jam 3 atau 4 petang, saya kembali berkayuh dan ia dilakukan setiap hari. Ketika berkayuh ke Yong Chang, saya ditimpa hujan menyebabkan habis basah kuyup dan tiada tempat berteduh. Mahu tidak mahu kena redah juga,” katanya.

Beliau berkata, sesat mencari arah jalan adalah lumrah kerana kesukaran untuk membaca tulisan Cina pada papan tanda.

“Ketika berkayuh menuju Hong Cheng, saya beberapa kali tersesat kerana banyak simpang dan peta yang dibekalkan dalam bahasa Mandarin yang langsung sukar difahami.

“Apabila bertanyakan kepada penduduk tempatan mereka mengarahkan ke arah Yong Jing, akhirnya saya tersasar 60 kilometer dan terpaksa berpatah balik.

“Ditambah pula, orang tempatan hanya tahu kawasan di sekitar 50 kilometer dan ia pasti menyulitkan buat pengembara,” katanya.


Hasan (tiga dari kiri) bersama peminat basikal yang ditemuinya di bandar Kung Wei.

Beliau berkata, setiap kali sampai di bandar untuk menginap, anggota polis akan mencarinya dan dibawa ke balai untuk disoal siasat.

“Sebenarnya kehadiran saya berbasikal sudah dimaklumkan oleh pejabat kedutaan Malaysia kepada pihak berkuasa China. Sebagai langkah keselamatan anggota polis daerah akan memastikan saya sihat dan sampai pada waktu yang ditetapkan,” katanya.

Hasan Nawawi berkata, kayuhan Laluan Sutera agak mencabar kerana terpaksa menempuh 70 peratus laluan di Gurun Gobi.

“Ini termasuk bandar Khorgos sempadan China-Kazakhstan terletak di tengah-tengah padang pasir.

“Saya mengambil masa empat hari berkayuh untuk sampai di Almaty. Selepas berehat dua hari, saya menaiki kapal terbang untuk pulang ke Xi’an,” katanya.

Di Xi’an, Hasan Nawawi sempat meraikan ibadat korban bersama-sama umat Islam di China.

Hasan Nawawi dijangka pulang ke tanah air pada 20 Ogos ini.

Berita Harian X