Ahad, 25 Ogos 2019 | 11:00am
Panorama ketika matahari terbit di Pantai Lovina, Bali. - Foto Yusry Muzamir

Rona jingga kebiruan memayungi Pantai Lovina

KEPENATAN rutin harian pastinya terubat apabila berkesempatan berkunjung di Pantai Lovina, Bulelengi, Bali yang memiliki keindahan panorama alam semula jadi, selain pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan di sekitar kawasan itu.

Kesempatan penulis bersama rakan berkunjung ke pantai berkenaan, baru-baru ini benarlah seperti yang pernah dibaca, menonton program pengembaraan dan laman sosial mengenai Bali yang menjanjikan pusat percutian menarik.

Penulis begitu teruja 'disajikan' dengan keindahan sinaran matahari terbit yang akan kelihatan seawal jam 5 pagi, sambil diiringi deruan ombak membelah keheningan Subuh.

Pancaran matahari terbit dengan langit berona jingga kebiruan (langit kirmizi), seolah-olah kanvas alam terbentang luas memayungi pelosok pantai itu ternyata begitu mengujakan.


Panorama matahari terbenam di Pantai Lovina, Bali. - Foto Yusry Muzamir

Jarak Pantai Lovina dianggarkan sejauh 86 kilometer (km) dari Kuta, manakala 95 km dari Bandara Ngurah Rai, selain pelancong boleh menggunakan kenderaan sewa yang akan mengambil masa kira-kira tiga hingga empat jam untuk tiba di sana.

Difahamkan, kawasan itu juga meriah dengan penganjuran Festival Lovina, iaitu gotong-royong warga tempatan serta pelancong membersihkan pantai, selain pertunjukan budaya darat dan laut, pada 10 hingga 14 September setiap tahun.

Di festival itu, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai acara, termasuk Lovina Colour Fun dan Fire Dance, selain ia akan diakhiri dengan 'perang ketupat' sebagai simbol mensyukuri atas limpahan rezeki dikurniakan.

Kawasan peranginan yang terletak di Kabupaten Buleleng, Indonesia itu turut menawarkan peluang kepada orang ramai untuk melihat ikan lumba-lumba liar dan semestinya ia menjadi antara acara tumpuan di situ.

Telatah comel ikan lumba-lumba bermain di permukaan laut semestinya menjadi pengalaman paling mengujakan kerana mamalia itu sukar dilihat dari dekat selain untuk dihampiri.


Telatah ikan lumba-lumba ketika bermain di permukaan laut di Pantai Lovina, Bali. - Foto Yusry Muzamir

Malah, ikan lumba-lumba juga terkenal dengan kecerdikan dan gaya renang yang unik hingga ada pelancong sanggup berbelanja besar, semata-mata untuk menyaksikan sendiri persembahan mamalia itu.

Tarikan itu dapat dilihat sepanjang tahun, bergantung kepada pasang surut air laut, keadaan ombak dan angin, selain pengunjung yang berminat perlu mendapatkan perkhidmatan bot daripada nelayan tradisi di situ.

Bayaran Rp200,000 (RM59) bagi mengikuti aktiviti melihat ikan lumba-lumba menggunakan sampan nelayan tradisi dengan kapasiti maksimum seramai enam orang bagi sebuah bot.

Penulis teruja menyaksikan aksi dan kelincahan mamalia dikatakan spesis ceria serta sering membuat manusia tertarik dengan gelagatnya ketika berburu di lautan biru, secara dekat.

Ternyata, melihat sendiri kelincahan ikan lumba-lumba melompat di laut lepas sangat mengasyikkan, bukan sahaja bagi penulis malah setiap individu berpeluang menikmati detik ini.

Selain itu, penulis juga berkesempatan menjalani aktiviti bersnorkel sambil menghayati keindahan taman di dasar laut dekat Pantai Lovina yang disediakan secara percuma pihak hotel.

Keindahan dasar lautnya dengan pelbagai hidupannya, terumbu karang dan pelbagai spesies ikan berwarna-warni benar-benar membuatkan penulis rasa kagum dengan ciptaan Ilahi.

Selepas lelah seharian menjalani aktiviti di laut, penulis mengambil kesempatan meronda sekitar Pantai Lovina untuk menghayati budaya dan kepelbagaian cenderahati yang dijual, pada waktu malam.

Ternyata, percutian di Bali, khususnya di Pantai Lovina pastinya akan menggamit memori indah, terutamanya bagi pencinta keindahan alam semula jadi.


Antara pengunjung lain yang turut menyertai aktiviti melihat ikan lumba-lumba di Pantai Lovina, Bali. - Foto Yusry Muzamir

INFO: Pantai Lovina

  • Terletak 9 km dari barat kota Singaraja, Bali.
  • Banyak ikan lumba-lumba di pantainya.
  • Love dan Ina bermaksud Love Indonesia.
  • Istilah ‘Ina’ singkatan kontingen atlet Indonesia ke Asian Games 1963.
  • Lovina wujudkan pada 1953.
  • Mengikut pengasasnya Anak Agung Panji Tisna, maksud Lovina adalah ‘Cinta Ibu’.
  • Berita Harian X