Selasa, 3 September 2019 | 8:14am
RUMAH bot yang membawa peserta Kembara Media Perak membelah Tasik Temegor menuju ke Hutan Royal Belum. - Foto Azhar Ramli

Syurga ketenangan Belum

DI SAAT kaki melangkah ke jeti Hentian Royal Belum Amanjaya, Perak, terasa suasana begitu tenang.

Tambah menarik apabila rumah bot meluncur membelah kawasan tadahan air empangan Tasik Temenggor seluas 152 kilometer persegi menuju ke Royal Belum, fikiran mula memikirkan apa lagi yang bakal dinikmati dalam perjalanan lebih dua jam itu.

Ketika ini, penulis rasa kedinginan akibat dihembus lembut tiupan angin dari permukaan tasik yang menampung 6,050 juta meter padu air.

Keterujaan mula bermain di fikiran sebaik lima pancaindera digoda khususnya mata untuk melihat keindahan alam sekitar, hidung menghidu udara segar, telinga mendengar bunyian alam, tangan dan lidah menyentuh serta merasa hidupan alam.

Seperti kata Ranger Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohd Yusri Abdullah Sani, Hutan Royal Belum yang wujud sejak 130 juta tahun lalu, malah lebih tua daripada usia hutan Amazon, di Brazil dilindungi Perbadanan Taman Negeri Perak agar kekal sebagai warisan semula jadi tanpa disentuh oleh pencemaran.

“Kehidupan di sini sangat semula jadi, malah oksigen yang kita sedut sangat segar dan dapat dirasakan sehingga ke dalam paru-paru.

“Tiada sebarang pembangunan dibenarkan, malah kemudahan rumah bot untuk aktiviti pelancongan dihadkan dengan pengeluaran 35 permit sahaja bagi mengelakkan pencemaran udara dan air di kawasan Tasik Temenggor dan Pulau Banding, di sekitar Taman Negara Royal Belum ini,” katanya.


PERKAMPUNGAN orang asli kaum Jahai di Kampung Sungai Klewang, Royal Belum. - Foto Azhar Ramli

Beliau ditemui pada program Kembara Media Perak 2019 (KMP2019) anjuran Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), baru-baru ini.

Menaiki rumah bot Casuarina 1 dengan tiga deck pelbagai aktiviti boleh dilakukan sepanjang pakej dua hari satu malam menyusuri tasik yang mempunyai ke dalaman lebih 100 meter itu.

Selain aktiviti di dalam rumah bot seperti berbeku, karaoke dan tidur di bilik berhawa dingin, pengunjung dapat melakukan banyak aktiviti lain di luar rumah bot.

Antaranya, memancing pelbagai spesis ikan seperti sebarau, toman, kelah, lampam dan banyak lagi. Selain itu, pengunjung juga boleh melakukan pelbagai aktiviti lain seperti mandi air terjun di 12 lokasi menarik, aktiviti merentasi hutan, berkhemah, berkayak, berakit, melihat spesis burung enggang dan menghayati kehidupan alam dan flora.

Malah, antara aktiviti kemasyarakatan yang dapat dilakukan termasuk menziarahi perkampungan Orang Asli kaum Jahai di Sungai Klewang.


KANAK-KANAK orang asli kaum Jahai di Kampung Sungai Klewang. - Foto Azhar Ramli

Mereka antara masyarakat teramai mendiami hutan Royal Belum daripada 600 hingga 800 pelbagai perkampungan dan kaum Orang Asli yang hidup tanpa sebarang kemudahan asas seperti elektrik dan sumber air paip.

Mereka juga dipisahkan dengan perjalanan dua jam ke jeti sebelum menaiki kenderaan darat untuk ke pekan Grik bagi membeli keperluan asas.

Tarikan lain seperti menjejak bunga Rafflesia, merentasi hutan ke Santuari Ikan Sungai Ruok dan bermandi-manda bersama spesis ikan di air terjun sungai berkenaan. Ia termasuk dapat melihat hidupan liar mahupun melawat Salt Licks yang menjanjikan keseronokan tersendiri.


AKTIVITI mandi bersama ikan di air terjun Sungai Rouk. - Foto Azhar Ramli

Info

Hutan Royal Belum

* Menjangkau keluasan 290,000 hektar

* Terletak di Hulu Perak, Perak.

* Royal Belum diwartakan di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negeri Perak 2001 oleh Kerajaan Perak, pada 17 April 2007

* Keluasan kawasan diwartakan seluas 117,500 hektar.

* Memiliki lebih 100 kehidupan mamalia.

* Memiliki 10 spesis burung Enggang yang boleh dilihat pada sesuatu musim antara Julai hingga September.

* Perkampungan Orang Asli Sungai Klewang dihuni 36 keluarga dari kaum Jahai.

* Sungai Ruok antara air terjun yang popular

* 12 lokasi air terjun dalam Hutan Royal Belum.

Empat kem dibenarkan untuk aktiviti perkhemahan:

- Kem Sungai Kenarong

- Kem Sungai Tiang

- Kem Sungai Kejar

- Kem Sungai Papan

Berita Harian X