Ahad, 5 Januari 2020 | 11:30am
PANTAI Minyak Beku menjadi tarikan pelancong untuk melihat keindahan matahari terbenam.
PANTAI Minyak Beku boleh menjadi lokasi terbaik untuk menyaksikan matahari terbenam di ufuk barat. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Nostalgia Minyak Beku

PANTAI Minyak Beku, Batu Pahat, Johor tidak asing lagi bagi penduduk di sekitar daerah ini berikutan pemandangan pantainya yang indah, selain boleh menjadi lokasi terbaik untuk menyaksikan matahari terbenam di ufuk barat.

Lebih mengasyikkan, di Pantai Minyak Beku ini juga terdapat sebuah bukit berbatu yang membolehkan pengunjung melihat pemandangan Selat Melaka dari sisi yang lebih luas dan kelibat nelayan yang gigih menangkap ikan yang menjadi nadi ekonomi masyarakat di kawasan itu.

Namun, tidak ramai mengetahui perkampungan pinggir pantai itu yang dibuka pada 1818, sebenarnya turut menyimpan khazanah sejarah bagaimana wujudnya Kampung Minyak Beku.

Setiausaha Pertubuhan Waris Keturunan Daeng Ahmad (WARDAH), Ibrahim A Karim, berkata perkampungan nelayan itu diasaskan oleh Allahyarham moyangnya, iaitu dikenali sebagai Daeng Ahmad, pada 1818.

"Daeng Ahmad berasal dari Sulawesi, Indonesia. Dia datang ke sini pada mulanya untuk bertemu dengan warisnya yang ada di sini. Kemudian kapal yang dinaikinya mudik di kawasan muara Kampung Minyak Beku.

“Dia melihat kawasan ini agak sesuai untuk dibangunkan sebagai sebuah perkampungan. Oleh itu, dia kemudiannya belayar ke Temasik (sekarang Singapura) untuk mendapatkan kebenaran dan persetujuan daripada pihak pemerintah pada waktu itu untuk membuka kawasan di sini.

"Hasratnya membuka perkampungan baharu di tepi laut ini mendapat kebenaran tetapi pihak pemerintah turut memberi tugasan kepada Daeng Ahmad untuk menjaga perairan Selat Melaka ini yang pada waktu itu turut berhadapan dengan ancaman lanun yang ramai dan ganas," katanya.

Ibrahim berkata, kepercayaan ini diberikan kepada Daeng Ahmad berikutan beliau dikatakan mempunyai ilmu mempertahan diri yang tinggi, kuat dan tidak takut kepada sebarang ancaman terutama lanun yang bermaharajalela di kawasan itu.

"Daeng Ahmad kemudiannya membuka perkampungan baharu itu di kawasan bukit berbatu dan juga berhampiran perigi Batu Pahat yang dibina oleh pihak Siam ketika mereka dalam usaha menyerang Melaka pada abad ke 15 dahulu.

"Ketika itu, ekonomi perkampungan ini sudah tentunya perikanan dan antara sumber lain ialah kewujudan pokok keruing yang banyak di kawasan ini, iaitu minyak daripada pokok itu akan digunakan sebagai bahan untuk menyapu pada rumah berikutan cat berwarna seperti hari ini masih belum wujud," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun berlaku peristiwa aneh pada suatu hari apabila minyak pokok keruing ini tidak mengalir atau menitis seperti kebiasaannya.

"Dengan kuasa Allah, berlaku perubahan cuaca apabila keadaan agak dingin berlaku. Pada waktu itu, proses mendapatkan minyak ini adalah dengan cara membuat takukan pada batang dan minyak itu ditadah dengan bekas khas, sama seperti yang dilakukan pada pokok getah.

"Perubahan cuaca menyebabkan minyak pokok ini tidak keluar dan ia membeku. Berikutan peristiwa ini jarang terjadi. Daeng Ahmad kemudian mencadangkan nama kawasan itu sebagai Minyak Beku dan dipersetujui pihak pemerintah,” katanya.

Pada mulanya, kampung ini hendak dinamakan sebagai Batu Pahat sempena kawasan perigi yang dibina pihak Siam untuk menampung bekalan air tawar, tetapi dikekalkan namanya sebagai Minyak Beku. Manakala Bandar Penggaram pula dikenali sebagai Batu Pahat.

KEINDAHAN panorama pantai Minyak Beku, Batu Pahat. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Ibrahim berkata, perkampungan itu kemudiannya berkembang dan terus makmur hingga kini apa yang dapat dilihat selepas dibuka sejak hampir mencecah 200 tahun lalu.

"Daeng Ahmad menjaga kampung dengan baik termasuk perairan Selat Melaka daripada ancaman lanun sehingga dia meninggal dunia ketika dalam pelayarannya ke Temasik. Jenazahnya disemadikan di satu lokasi di Pontian Besar," katanya.

Beliau berkata, penubuhan WARDAH yang diasaskannya bersama waris keturunan Daeng Ahmad yang lain pada 2016 bertujuan untuk mengumpulkan semula semua anak cucu keturunan Daeng Ahmad yang sehingga kini sudah masuk kepada generasi kelapan.

"Ia bermula apabila saya mengunjungi pusara Allahyarham Daeng Ahmad di Pontian. Pada malam itu, saya menerima firasat supaya menjaga tanah kawasan yang dibukanya dahulu untuk mengenangkan jasanya.

“Oleh itu, saya bersama-sama menubuhkan pertubuhan ini untuk mencari lebih ramai waris keturunannya.

"Mengikut sejarah, Daeng Ahmad berkahwin dengan Mariam Pabitah dan dikurniakan tujuh anak iaitu Aminah, Sulong, Orang Kaya Ismail, Kundor, Labu, Mentimun dan Yan yang pastinya mempunyai waris keturunan ramai," katanya.

Perkara sama turut dikongsi oleh Kamaludin yang mendakwa, beliau juga menerima ‘alamat’ daripada mimpi selepas berjaya mengadakan perjumpaan bersama 400 waris Mentimun, iaitu anak keenam Daeng Ahmad.

"Saya mendapat mimpi. Dalam mimpi itu, ada seseorang memberitahu saya kenapa hanya mengumpulkan keturunan Mentimun sahaja kerana keluarga dan waris mereka ramai. Walaupun saya terkejut dengan mimpi itu tetapi saya menganggap ia adalah pesanan yang baik daripada Daeng Ahmad.

"Berikutan itu, saya mencari waris Daeng Ahmad dan berjaya mengumpulkan 100 waris yang tinggal di pelbagai tempat di seluruh negara. Dengan adanya WARDAH ini, ia dapat menyatukan generasi keturunan Daeng Ahmad.

“Kita pernah mengadakan program pertemuan bersama waris itu, pada 2017 yang mendapat sambutan hangat. Menerusi program itu adakan aktiviti gotong-royong membersihkan pusara keluarga Daeng Ahmad di atas bukit batu Minyak Beku ini pada 24 Februari lalu," katanya.

Beliau berkata, pihak WARDAH percaya waris keturunan Daeng Ahmad ini menjangkau lebih 1,000 waris, namun pihaknya masih berusaha mengesan generasi lain yang berada di serata pelosok tanah air ini.

Sejarah Minyak Beku sudah tercatat sebagai antara daerah yang popular di Johor dan mempunyai keunikan dan tarikan tersendiri.

Info:

Pantai Minyak Beku

* Lokasi di Kampung Minyak Beku

* Jarak lapan kilometer dari bandar Penggaram

* Kira-kira 10 minit pemanduan dari pusat bandar Batu Pahat.

* Titik permulaan sejarah Batu Pahat mendapat namanya menerusi memahat perigi untuk mendapatkan air tawar oleh tentera Siam pada zaman dulu.

* Perigi terletak di tepi Pantai Minyak Beku.

* Lokasi ini memahat sejarah tersendiri menjadi perkampungan pertama di daerah Batu Pahat.

* Menikmati keenakan makanan terkenal di daerah ini antara tarikan utama di pantai ini.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X