Ahad, 12 Januari 2020 | 11:14am
EKSPEDISI ke Gua Batu Maloi.
EKSPEDISI ke Gua Batu Maloi.

Negeri Sembilan kaya produk pelancongan

Negeri Sembilan yang terkenal dengan Adat Perpatih bukan sahaja kaya dengan adat dan budaya, tetapi turut mempunyai banyak lokasi menarik untuk dilawati sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Selain terkenal dengan pantai Port Dickson yang saban minggu menjadi tumpuan warga kota berehat, negeri ini turut terkenal dengan sumber ekopelancongan.

Sempena TMM2020 pelbagai usaha kerajaan negeri lakukan bagi menarik ramai pelancong, terutama dari luar negara untuk melawat negeri ini.

Malah, pada November lalu, kerajaan negeri turut berkesempatan mempromosikan pakej pelancongan negeri ini dalam siri lawatan ke London bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Pakej pelancongan yang dipromosikan adalah muzium yang terdiri daripada Kompleks Muzium Negeri, Muzium Adat, Muzium Lukut, Muzium Tentera Darat dan Muzium Diraja Seri Menanti.

Yang turut dipromosikan adalah ekopelancongan yang menarik, iaitu Jeram Toi, Gua Batu Maloi, Taman Negeri Kenaboi, Hutan Lipur Batu Maloi, Pusat Rekreasi Ulu Bendul dan banyak lagi tempat menarik yang boleh diterokai.

Mereka yang suka aktiviti mendaki pula tidak terkecuali apabila boleh mendaki Gunung Angsi, Gunung Datuk, Gunung Berembun, Gunung Telapak Buruk dan Bukit Batu Putih yang terkenal di Port Dickson.

Apabila menyebut mengenai percutian sudah pasti memerlukan penginapan dan di negeri ini terdapat banyak penginapan yang sesuai mengikut bajet masing-masing.

Mereka yang sukakan pantai sudah pasti akan memilih untuk menginap di Port Dickson yang menawarkan pelbagai jenis penginapan daripada hotel mewah, resort, apartmen dan inap desa.

Pakej pelancongan menarik

EKSPEDISI ke Gua Batu Maloi.
EKSPEDISI ke Gua Batu Maloi.

Sempena TMM2020, kerajaan negeri giat mengadakan pelbagai promosi sebagai tarikan dan merancang untuk berbincang dengan pengendali hotel serta ejen pelancongan untuk menawarkan harga penginapan yang berpatutan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Razali Ab Malik, berkata selain itu pihaknya akan meminta pihak terbabit menyediakan pakej pelancongan menarik untuk menggalakkan lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Katanya, menyedari keadaan ekonomi ketika ini agak mencabar, sekali gus boleh menjadi cabaran dalam memastikan kedatangan pelancong tempatan dan luar. 

“Justeru, kita akan memastikan harga hotel dan penginapan di negeri ini berpatutan selain memperkenalkan pakej menarik dengan harga tidak terlalu mahal sebagai tarikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian TMM 2020 Peringkat Negeri Sembilan di Lexis Hibiscus di Port Dickson, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Tengah, Mohd Akbal Setia dan Pengarah MOTAC Negeri Sembilan, Siti Mazlina Maidin dan Presiden Kumpulan Lexis Hotel, Mandy Chew.

Lexis Hibiscus bantu promosi

LEXIS Hibiscus di Port Dickson.
LEXIS Hibiscus di Port Dickson.

Razali berkata, kerajaan negeri juga memperuntukkan kira-kira RM8 juta sebagai persediaan dan promosi TMM2020 di Negeri Sembilan.

Katanya, peruntukan itu bagi meningkatkan infrastruktur, terutama dalam ekopelancongan selain turut memberi fokus dalam bidang sukan dan makanan tradisi masyarakat di negeri ini.

“Selain itu, kita juga sudah meminta pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh daerah supaya menyediakan persekitaran selamat dan selesa kepada pelancong,” katanya.

Sementara itu, Chew berkata, pihaknya memberi kerjasama penuh kepada kerajaan negeri dalam usaha mempromosikan pakej pada harga berpatutan kepada pelancong.

Katanya, pada tahun lalu sahaja kira-kira 62 peratus penginap hotel itu adalah daripada luar negara, termasuk China, Taiwan, Hong Kong dan India.

“Pelbagai promosi sedang dijalankan ketika ini, termasuk menjadikan hotel ini sebagai destinasi pilihan untuk bakal pengantin mengadakan majlis kerana persekitaran yang menarik.

“Selain itu, kami juga menyediakan pelbagai perkhidmatan sesuai untuk setiap peringkat usia dan untuk itu pada tahun ini, usaha sedang dilaksanakan bagi menjadikan hotel ini lokasi mesra kanak-kanak.

“Oleh itu, kami akan menyokong setiap usaha yang dilakukan kerajaan negeri dan Tourism Malaysia, terutama menyertai pelbagai program untuk mempromosikan keunikan Negeri Sembilan,” katanya.

Pelancong terpikat Negeri Adat Perpatih

Usaha kerajaan negeri untuk mempromosi pelbagai keunikan dan kekuatan industri pelancongan sejajar dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) mampu menarik ramai pengunjung domestik dan antarabangsa meneroka pengalaman dengan cara tersendiri.

Pelancong dari Jakarta, Indonesia, Tjong Eddy, 40, berkata ini beliau kali pertama datang ke Port Dickson untuk bercuti bersama keluarga.

Katanya, setiap tahun beliau bersama isteri dan tiga anak berusia enam sehingga 10 tahun akan mengunjungi Malaysia untuk bercuti selama seminggu.

“Untuk tahun ini kami memilih untuk bercuti di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum menghabiskan percutian di Port Dickson.

“Saya memang suka ke Malaysia kerana selain budaya tidak jauh beza, perkhidmatan yang disediakan bagus dan berpuas hati dengn juga dengan keramahan masyarakat di sini, ” katanya.

Pelancong dari Singapura, Osman Omar, 65, berkata beliau tahu mengenai TMM 2020 kerana sentiasa mengikuti perkembangan semasa termasuk berkaitan industri pelancongan di negara ini.

Beliau yang datang bersama isteri, anak, menantu dan cucu, berkata walaupun selalu datang ke negara ini tetapi belum pernah ke Port Dickson atau mana-mana lokasi di negeri ini.

“Jadi kalau boleh saya memang mahu melawat banyak tempat menarik di Negeri Sembilan selain merasai makanan tradisi negeri ini, terutama masak lemak daging salai,” katanya.

Banyak usaha TMM2020

Pengunjung dari Kuala Lumpur, M Janu, 61, berkata beliau sering datang ke Port Dickson untuk bercuti bersama anak-anak kerana puas hati dengan perkhidmatan hotel yang disediakan.

Katanya, beliau melihat banyak usaha dilakukan kerajaan dalam mempromosikan TMM2020 dan memuji usaha itu.

“Malaysia mempunyai banyak tempat menarik yang sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya. Jika lebih banyak promosi yang dijalankan pasti lebih ramai pelancong, terutama dari luar negara akan datang, sekali gus dapat meningkatkan ekonomi negara,” katanya.

Suri rumah dari Seremban, Norraishah Mohamad, 42, turut memuji usaha kerajaan mempromosikan TMM2020 di pelbagai platform.

Katanya, tindakan itu ditambah dengan usaha daripada kerajaan negeri yang meningkatkan infrastruktur sedia ada mampu menarik lebih ramai pengunjung ke Negeri Sembilan.

“Harap usaha mempromosikan Malaysia di mata dunia ini bukan dilakukan sempena TMM2020 sahaja tetapi turut dilakukan sepanjang masa supaya negara ini terus dikenali dan dikunjungi ramai,” katanya.

Akauntan dari Selayang, Selangor, Chui Poh Yee, 28, berharap lebih banyak promosi TMM2020 dibuat kerajaan, terutama menerusi media sosial.

“Mungkin saya terlepas pandang mengenai TMM2020 tetapi dalam era digital ketika ini dengan penggunaan media sosial yang semakin meluas, adalah lebih baik lebih banyak promosi dibuat menerusi platform itu,” katanya.

Berita Harian X