Ahad, 2 Februari 2020 | 10:00am
MENARA Jam di bangunan Stadthuys, Bandar Hilir, Melaka. - Foto BERNAMA
MENARA Jam di bangunan Stadthuys, Bandar Hilir, Melaka. - Foto BERNAMA

Menara Jam simbol kasih sayang

MENARA Jam di bangunan Stadthuys, Bandar Hilir, Melaka yang kini berusia 134 tahun bukan hanya menjadi rujukan masa, sebaliknya ia terus gah menjadi mercu tanda dan sebagai satu daripada lokasi pelancongan utama di negeri itu.

Seawal 8 pagi, sudah tentu pelancong dari dalam dan luar negara akan berkumpul di sekitar Menara Jam dengan ketinggian 50 kaki itu bagi merakam gambar kenang-kenangan di jam yang dibina pada 1886.

Ketua penjaga Menara Jam, Fadlina Mohni, 43, berkata Menara Jam Melaka atau lebih dikenali sebagai Menara Jam Tan Beng Swee dibina kira-kira 61 tahun selepas penyerahan wilayah Melaka dari Belanda kepada British.

“Sebenarnya usia Menara Jam jauh lebih muda daripada bangunan pentadbiran penjajah Belanda, Stadthuys yang dibina pada 1650.

“Kini usia menara ratusan tahun, jamnya tidak pernah dibiarkan berhenti kerana sejak bertahun ia dijaga dengan rapi termasuk mencuci, menyelenggara dan menguji setiap komponen bagi memastikan ia terus menjadi rujukan masa untuk 134 tahun lagi atau lebih lama,” katanya

Fadlina yang juga Jurutera Elektrik Kanan, Jabatan Kejuruteraan, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), berkata lebih menarik, Menara Jam itu turut menjadi lambang kasih sayang antara keluarga kerana ia dibina oleh seorang anak yang mahu memenuhi permintaan bapanya.

Beliau berkata, menurut sejarah Menara Jam itu dibina oleh Tan Jiak Kim seorang dermawan Cina Peranakan yang mahu menunaikan hajat mendiang bapanya Tan Beng Swee yang mengimpikan sebuah Menara Jam di tengah bandar Melaka ketika hayatnya masih ada.

“Selepas pemergian Tan Beng Swee, terbina Menara Jam di bangunan Stadthuys berhampiran Queen Victoria’s Fountain, Muzium Budaya Cheng Ho dan Christ Church.

MOHD Suhaimi memeriksa jam berjenama Seiko dari Jepun di Menara Jam Melaka baru-baru ini. - Foto BERNAMA
MOHD Suhaimi memeriksa jam berjenama Seiko dari Jepun di Menara Jam Melaka baru-baru ini. - Foto BERNAMA

“Setiap empat muka jam berdiameter 34.5 sentimeter (cm), berangka roman dan jam berkenaan diimport khas dari England.

“Kemudian pada 1982, keempat-empat jam itu diganti dengan jenama Seiko dari Jepun, sehingga mencetuskan kemarahan kebanyakan penduduk warga emas di sekitar Melaka dek kerana terkenangkan keperitan mereka hidup pada zaman penjajahan Jepun,” katanya.

Fadlina yang menjaga Menara Jam yang turut terkenal dengan nama Jam Besar Bangunan Merah Bandar Hilir sejak 17 tahun lalu berharap agar menara jam bersejarah itu mampu terus dikekalkan dan dipelihara sebaik-baiknya supaya produk pelancongan itu dapat dihayati generasi akan datang.

Menurut pembantu Fadlina, Mohd Suhaimi Idris, 36, Penolong Jurutera Elektrik dan Fasiliti, MBMB, jam menggunakan voltan 24 volt itu turut dilengkapi dengan sistem kedudukan sejagat (GPS) berperanan untuk mendapatkan waktu masa yang tepat.

“Selain itu, dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Melaka kami memasang sistem bunyi burung pemangsa yang beroperasi setiap 45 saat, kemudian berhenti selama seminit bertujuan menghalang burung liar seperti gagak dan merpati hinggap serta membuang najis di sekitar Menara Jam itu.

“Penyelenggaraan kita akan lakukan pada sebelah malam bermula sekitar 9 malam dan tempoh siapnya adalah bergantung kepada kerosakan yang berlaku pada Menara Jam itu.

“Kita tidak akan lakukan penyelenggaraan pada waktu siang kerana bimbang mengganggu pelancong yang hadir dan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Menara Jam berdenting setiap jam itu adalah antara kawasan zon teras yang mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Melaka sebagai satu daripada negeri yang terpilih bagi menyemarakkan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TTM 2020). - BERNAMA

MENGGUNAKAN voltan 24 volt dan dilengkapi sistem kedudukan sejagat (GPS) mendapatkan waktu yang tepat. - Foto BERNAMA
MENGGUNAKAN voltan 24 volt dan dilengkapi sistem kedudukan sejagat (GPS) mendapatkan waktu yang tepat. - Foto BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X