Ahad, 2 Februari 2020 | 10:30am
MERCU tanda baharu Pasir Bogak, Pulau Pangkor. - Foto Noor Hidayah Tanzizi
MERCU tanda baharu Pasir Bogak, Pulau Pangkor. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

Dimensi baharu Pulau Pangkor

DESTINASI pelancongan terkenal negara, Pulau Pangkor, Perak mencipta sejarahnya tersendiri apabila menjadi pulau bebas cukai bermula 1 Januari lalu.

Pengisytiharan itu merancakkan lagi industri pelancongan di pulau yang terkenal dengan ikan bilis mata biru dan deretan teksi berwarna merah jambu itu.

Status itu juga menambahkan lagi produk pelancongan di pulau berkenaan dengan 'port' baru membeli pelbagai barangan bebas cukai seperti coklat untuk dijadikan cendera hati.

Meskipun, hanya sebuah premis dibuka di Taman Pangkor Mutiara, Pulau Pangkor yang menawarkan pelbagai jenama coklat dalam dan luar negara.

Pastinya untuk menarik lebih kunjungan pengunjung, premis jualan coklat dan produk lain perlu ditambah untuk memberi pilihan kepada pelancong mendapatkan 'tanda ingatan' di pulau itu seperti di Pulau Langkawi.

Kerajaan negeri sepatutnya melihat aspek itu dengan memperbanyakkan kedai coklat dan produk lain sekali gus memberikan kepelbagaian pilihan dan pengunjung berbaloi berkunjung ke lokasi itu.

Pemandangan pantai memukau

TERMINAL Jeti Pulau Pangkor. - Foto ihsan pembaca
TERMINAL Jeti Pulau Pangkor. - Foto ihsan pembaca

Namun, Pulau Pangkor boleh dipilih sebagai antara destinasi yang boleh dijadikan 'bucket list' sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) kerana keindahan pantainya yang memukau.

Terletak kira-kira 90 kilometer dari barat daya Ipoh dan tujuh batu nautika dari Jeti Lumut, pelancong boleh memilih menyeberangi pulau itu dengan menggunakan perkhidmatan feri di Jeti Lumut atau Jeti Marina Islands, Teluk Muroh.

Feri di dua jeti itu menggunakan perkhidmatan sama cuma yang membezakannya adalah tempoh perjalanan hanya 45 minit dari pekan Lumut atau 10 minit dari Jeti Marina Island.

Antara tarikan di daerah ini adalah Pantai Pasir Bogak, Pantai Teluk Nipah, Teluk Ketapang, Pantai Coral dan Pantai Puteri Dewi kerana bersih, indah dan tenang.

Destinasi paling digemari pelancong ialah Pantai Teluk Nipah dan Pantai Coral di Nipah Bay kerana mempunyai gugusan pulau kecil seperti Pulau Giam dan Pulau Mentagor.

Di situ pilihan terbaik melakukan aktiviti menyelam dan snorkeling dikelilingi batu karang, ikan dan timun laut, malah di Pulau Giam pengunjung juga berkesempatan memberi makan kepada ikan.

Lokasi peninggalan sejarah

PENINGGALAN sejarah ratusan tahun lalu, Kota Belanda di Kampung Teluk Gedong, Pulau Pamgkor. - Foto ihsan MPM
PENINGGALAN sejarah ratusan tahun lalu, Kota Belanda di Kampung Teluk Gedong, Pulau Pamgkor. - Foto ihsan MPM

Pangkor juga terkenal dengan juadah popular tiada ditemui di tempat lain, iaitu laksa mi atau laksa mi Pangkoq yang tidak menggunakan mi kuning atau laksa biasa tetapi adunan yang dibuat khas untuk menu itu.

Lebih istimewa, laksa mi Pangkoq dimakan bersama sup jernih berasaskan ikan, udang atau ketam bersama sambal tumis merah, hirisan kacang panjang dan lobak masin.

Antara lokasi kunjungan wajib pelancong dalam dan luar negara seperti tempat peninggalan sejarah ratusan tahun lalu iaitu Kota Belanda dan Batu Bersurat di Kampung Teluk Gedong.

Di lokasi sama juga, pelancong boleh melawat monumen baru yang melambangkan martabat seni bina dalam pembinaan masjid di negara ini, Masjid Al-Badr Seribu Selawat yang juga masjid terapung pertama di Perak.

Tarikan lain pula antaranya Galeri Pangkor, Taman Tarikan Foo Ling Kong dan Sunset View Chalet Teluk Nipah untuk aktiviti memberi makan burung enggang, pembuatan bot dan perkampungan nelayan di Kampung Teluk Dalam.

Kunjungan ke Pulau Pangkor juga tidak lengkap jika tidak melawat atau membeli hasil laut seperti ikan bilis, sate ikan, sotong kering, ikan pedas dan pelbagai produk berasaskan hasil laut.

Keistimewaan dan keindahan Pulau Pangkor mampu menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa untuk meneroka pengalaman dengan cara tersendiri.

Pengunjung Nilai, Negeri Sembilan, Norshazrin Ilyas, 32, berkata, beliau sudah beberapa kali berkunjung ke Pulau Pangkor kerana dapat merasai pelbagai tarikan.

Katanya, kunjungan terbarunya memberikan kejutan berganda dengan pembaharuan imej pulau berkenaan.

“Perubahan landskap pulau yang terkenal dengan kebiruan air laut dan pasir putihnya memberikan dimensi baharu kepada industri pelancongan negara.

"Saya memilih Pulau Pangkor sebagai destinasi percutian bersama rakan baik untuk melihat dengan lebih dekat pembaharuan pulau yang diisytiharkan sebagai bebas cukai ini.

"Selaras dengan status baharu ini saya lihat penambahan produk pelancongan di sini lebih menarik kerana bukan saja dapat melakukan aktiviti pantai kami juga boleh membeli pelbagai jenis coklat dengan harga yang lebih murah," katanya.

Lokasi baharu tarik tumpuan

STATUS baharu Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi setempat. - Foto Noor Hidayah Tanzizi
STATUS baharu Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi setempat. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

Bagi Zara Mardiana Baharuddin, 32, sisi lain Pulau Pangkor sebagai perkampungan nelayan memberikan keistimewaan kepada pulau berkenaan.

"Saya suka Pulau Pangkor biarpun pulau ini lebih kecil berbanding pulau peranginan lain kerana ia menonjolkan kehidupan perkampungan nelayan dan keindahan pantainya juga menenangkan jiwa

"Ada beberapa lokasi baharu yang menarik tumpuan dan sesuai dijadikan lokasi bergambar berlatarkan pemandangan laut dan matahari terbenam yang akan meninggalkan memori indah," katanya yang berkerja di Pulau Pinang.

Info: Pulau Pangkor

  • Pulau ketiga terbesar terletak di Perak
  • Keluasan 2,200 hektar
  • Antara destinasi pelancongan utama di Malaysia.
  • Antara tempat tumpuan pelancong
  • Boleh dijelajahi dengan berjalan kaki
  • Menggunakan kenderaan darat dan laut
  • Sesuai untuk aktiviti laut seperti berenang, snorkeling, berkayak, dan memancing.
  • Berita Harian X