Ahad, 28 Jun 2020 | 4:09pm
Antara aksi pengunjung ketika bergambar berlatar belakang detik matahari terbenam ketika belayar dengan kapal Seasation. - NSTP/Hamzah Osman
Antara aksi pengunjung ketika bergambar berlatar belakang detik matahari terbenam ketika belayar dengan kapal Seasation. - NSTP/Hamzah Osman

Normal baharu lihat matahari terbenam

BELAYAR menelusuri kepulauan Langkawi ketika matahari terbenam sambil menikmati keenakan makan malam di atas kapal layar amat menyeronokkan.

Malah, keterujaan itu tiada penghalang walaupun pengunjung kini perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang COVID-19, di atas kapal layar Seasation.

Pelayaran selama tiga jam mulai 5 petang meneroka panorama sekitar Pulau Jerkom Besar dan Jerkom Kecil itu dikendalikan Tropical Charters Langkawi (TCL).

Justeru, selepas aktiviti pelancongan dibuka semula pada waktu ini, membuatkan ramai yang mahu mengambil kesempatan merehatkan minda menyertai pelayaran seumpama itu.

Bagi pengunjung, Dhiya Dinie Saad, 26, berkata beliau gembira dan teruja belayar apabila berpeluang berada di atas kapal layar itu walaupun memakai pelitup muka seperti disyaratkan.

"Pematuhan SOP mengekang COVID-19 seperti dilaksanakan syarikat pengendali pakej pelancongan ini bagus dan patut disokong pengunjung sepenuhnya.

"Tiada yang kurang kerana kita masih boleh berinteraksi, bergambar dan menghirup udara segar walaupun terpaksa memakai pelitup muka," katanya.

Antara aksi pengunjung ketika bergambar berlatar belakang detik matahari terbenam ketika belayar dengan kapal Seasation. - NSTP/Hamzah Osman
Antara aksi pengunjung ketika bergambar berlatar belakang detik matahari terbenam ketika belayar dengan kapal Seasation. - NSTP/Hamzah Osman

Beliau berkata, walaupun kali pertama berpeluang melakukan pelayaran mewah bersama rakan, tetapi niat untuk melakukannya sudah lama tersemat di hatinya.

Sebelum ini ada kawan beliau menceritakan keseronokan mereka belayar menerusi pakej menarik ini, khususnya menikmati detik matahari terbenam.

"Alhamdulillah akhirnya saya sendiri dapat menikmati dan merakamkan pemandangan indah menjelang senja, malah detik menarik itu pantas berlalu," katanya.

Pelancong patuh SOP

Rakannya, Mohd Amri Othman, 29, berkata SOP mengekang COVID-19 yang ditetapkan TCL mudah diikuti pengguna menerusi bantuan kakitangan yang peramah.

"Kami diminta memuat pendaftaran menerusi imbasan Kod Respons Pantas (QR), selain kakitangan melakukan pemeriksaan suhu melalui alat pengimbas haba.

"Setiap pengunjung juga diminta sentiasa patuh mengamalkan penjarakan sosial dan kerap mencuci tangan ketika di atas kapal layar," katanya.

Mohd Amri berkata, beliau mendapati selain pelancong tempatan, pelancong asing yang turut serta dalam pelayaran mewah itu turut mematuhi SOP ditetapkan.

Menikmati detik matahari terbenam. - NSTP/Hamzah Osman
Menikmati detik matahari terbenam. - NSTP/Hamzah Osman

Hanya 30 orang dalam kapal

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TCL, Datuk Alexander Isaac berkata, pihaknya memulakan semula pelayaran kapal layar Seasation sejak 21 Jun lalu.

Katanya, pihaknya juga teruja apabila dibenarkan beroperasi semula, selepas menghentikan semua aktiviti pelayaran sejak 18 Mac lalu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Inilah waktunya kami mahu mengembalikan aktiviti itu yang digemari pelancong. Sejak tidak beroperasi syarikat ini sifar pendapatan.

"Operasi semula dengan mengamalkan normal baharu ini pasti turut meningkatkan kos operasi tetapi terpaksa dilakukan demi keselamatan pengunjung," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, hanya mengambil maksimum 30 pengunjung iaitu separuh daripada kapasiti sebenar kapal layar itu seramai 60 orang.

Katanya, untuk memastikan kelancaran pihaknya juga menyediakan pengimbas kod kepada setiap pengunjung untuk mengisi maklumat diri seperti nama, alamat, suhu badan dan nombor telefon.

"Maklumat ini perlu diisi sebelum naik ke atas kapal layar dan kami juga wajibkan mereka memakai pelitup muka, selain sentiasa menggunakan cecair pembasmi kuman.

"Ketika menikmati makanan, kakitangan kami mencedok makanan, berbanding sebelum ini pengunjung mengambil sendiri makanan dan minuman secara bufet," katanya.

Kakitangan Tropical Charters Langkawi (kanan) memakai pelitup muka ketika melayan pengunjung menikmati makanan atas kapal layar Seasation. - NSTP/Hamzah Osman
Kakitangan Tropical Charters Langkawi (kanan) memakai pelitup muka ketika melayan pengunjung menikmati makanan atas kapal layar Seasation. - NSTP/Hamzah Osman

Industri pelancongan mampu bangkit

Alexander berkata, pihaknya menitik beratkan proses nyah kuman ke atas kapal layar iaitu wajib melakukan sanitasi sebelum dan selepas kapal belayar.

"Malah, tandas dicuci setiap 15 minit dan semua kru diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang pelayaran dalam usaha membantu memutuskan rangkaian COVID-19.

"Perniagaan dijangka merosot lebih 60 peratus tahun ini, namun kami yakin industri pelancongan Langkawi mampu bangkit dalam dua tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata, pihaknya melancarkan pakej baharu yang lebih murah bagi menarik pelancong tempatan kembali memilih Langkawi sebagai destinasi bercuti.

"Untuk pelancong tempatan kita tawarkan harga pakej pelayaran RM150, berbanding RM275 sebelum ini, manakala untuk warga Langkawi hanya RM75.

"Pakej baharu ini bertujuan membantu menyemarakkan industri pelancongan Langkawi, selain memastikan kelangsungan hidup 48 kakitangan TCL," katanya.

Berita Harian X