Ahad, 12 Julai 2020 | 11:08am
SONGKET dan sulaman keringkam persalinan digayakan wanita khususnya menghadiri majlis perkahwinan dan acara rasmi.- Foto hiasan
SONGKET dan sulaman keringkam persalinan digayakan wanita khususnya menghadiri majlis perkahwinan dan acara rasmi.- Foto hiasan

Jejak seni warisan Sarawak

KEPELBAGAIAN budaya dan keindahan alam semula jadi di Sarawak memang unik, lantas sering menjadi pilihan pelancongan dalam dan luar negara untuk menerokai.

Umpamanya, Galeri Songket dan Keringkam, iaitu lokasinya di tepi Padang Merdeka, di pusat bandar raya Kuching, menjadikan kedudukan lokasi itu cukup strategik untuk dikunjungi.

Galeri berkenaan diwujudkan oleh kerajaan Sarawak sebagai usaha untuk mempertahan warisan nenek nenek moyang, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu Sarawak.

Lantas sewajarnya dimasukkan dalam pakej kepada pelancong apabila ke bumi Kenyalang bagi melihat secara dekat bagaimana proses penghasilan tenunan tradisional Sarawak.

Malah, pengunjung boleh mendapatkan hasil tenunan warisan untuk cenderamata untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan berharga ketika berkunjung ke situ.

Tenunan songket Sarawak dikenali keunikannya yang berbeza dengan songket di negeri Pantai Timur kerana penghasilannya menggunakan teknik sembunyi benang.

KEHALUSAN dan keunikan sulaman keringkam jadi kebanggaan seni warisan di Sarawak.- Foto hiasan
KEHALUSAN dan keunikan sulaman keringkam jadi kebanggaan seni warisan di Sarawak.- Foto hiasan

Ini menjadikan jahitan di bahagian luar dan dalam tiada bezanya, sekali gus membolehkan kedua-dua bahagian dipakai.

Keringkam diperkemaskan adalah selendang, tudung ataupun skaf tradisional ini lazimnya dipakai oleh wanita Melayu di Sarawak.

Pemakaiannya menjadi pelengkap busana tradisional masyarakat Melayu di Sarawak yang sering digayakan ketika menghadiri majlis khas seperti undangan acara perkahwinan dan perayaan besar yang lain.

Dua hasil seni tenunan tradisional itu menjadi tarikan utama di galeri yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, pada 6 Mac lalu itu.

Yang nyata kewujudan galeri itu, menurut Abang Johari adalah sebahagian daripada pendekatan kerajaan Sarawak untuk mempertahankan ekosistem warisan di negeri ini.

"Galeri ini mempamerkan hasil tenunan warisan kebanggaan masyarakat Melayu Sarawak untuk kita paparkan kepada pelancong.

"Bagi pengunjung yang meminati hasil tenunan, mereka boleh membawa balik dan di sinilah tempat mereka untuk mendapatkannya," katanya.

Malah, beliau mahu setiap produk tempatan Sarawak yang berpotensi diangkat dan dipasarkan sebagai produk pelancongan yang boleh dijual di pasaran antarabangsa.

"Produk tenunan seperti songket dan keringkam adalah salah satu contoh produk tempatan untuk dipasarkan, selain mengangkat semula khazanah warisan Melayu Sarawak lama," katanya.

Selain itu, galeri itu juga dijadikan sebagai pusat maklumat bagi koleksi dokumen, catatan dan miniatur untuk dijadikan bahan rujukan.

Mengunjungi galeri itu, anda dapat menyelusuri sejarah asal usul benang dan tekstil hingga ke akar umbi.

Bertemakan 'Legasi Regenerasi' galeri itu menyediakan bahan rujukan seni kerja tangan khususnya tenunan songket dan keringkam.

'Legasi Regenerasi' mengimbas jalinan dan kaitan semua yang berkaitan dengan penghasilan tekstil termasuk sejarah benang, budaya, tradisi dan memori.

GALERI Songket dan Keringkam terletak di Padang Merdeka, di pusat bandar Kuching.- Foto hiasan
GALERI Songket dan Keringkam terletak di Padang Merdeka, di pusat bandar Kuching.- Foto hiasan

Pameran di galeri itu membawa pengunjung untuk mengimbas kembali proses penghasilan, benang sehinggalah kepada proses penghasilan songket Sarawak dan keringkam.

Gaya kuratorial di ruang galeri itu direka menggunakan material yang menyerlahkan kepentingan songket dan keringkam kepada masyarakat di Sarawak.

Info grafik disediakan pada dinding pameran yang memaparkan perkembangan seni tenunan sejak lebih 1,000 tahun lalu.

Galeri itu juga menyediakan ruang jualan yang membariskan kepelbagaian motif songket dan keringkam yang dihasilkan di beberapa daerah di Sarawak.

Pengunjung juga boleh merasai sendiri pengalaman menenun seni sulaman dengan menggunakan kaedah tradisional.

Kini tidak ramai yang mahir menghasilkan seni tenunan tradisional itu dan langkah mewujudkan galeri dilihat tepat untuk menarik minat lebih ramai generasi muda untuk mendalami kemahiran warisan itu.

Hanya terdapat enam lokasi komuniti artisan keringkam di Sarawak ketika ini iaitu di perkampungan Melayu Kuching, Kampung Matang dan Semariang di Kuching, Kampung Belimbing Islam di Padawan, perkampungan Melayu Sibu dan Kampung Luak, di Miri.

Songket pula hanya dihasilkan di Taman Hijrah di Kuching; Kampung Gedong di Simunjan; Kampung Rajang di Tangjung Manis, Mukah; Kampung Punang, Lawas; Ranggau dan Kampung Buang Siol di Limbang; Penjara Puncak Borneo di Padawan dan Kampung Mang di Kota Samarahan.

Berita Harian X