Ahad, 19 Julai 2020 | 10:01am

Pulau Besar keindahan yang belum terungkai

PULAU Besar yang terletak kira-kira dua batu nautika dari pantai Umbai dan Pernu, Melaka sering dikaitkan dengan aktiviti negatif terutama pemujaan kubur yang dikatakan memiliki keramat.

Lokasinya cantik, namun pulau itu amat jarang dikaitkan dengan industri pelancongan. Tidak ramai yang tahu bahawa Gugusan Pulau Besar hakikatnya memiliki sembilan pulau, iaitu Pulau Besar, Hantu, Serimbun, Lalang, Dodol, Nangka, Hanyut, Burung dan Undan.

Keadaan itu menjadikan perairan pulau itu yang bukan setakat indah, malah dikelilingi terumbu karang yang tidak kurang hebatnya berbanding terumbu karang di perairan lain.

Meskipun tidak dikelilingi terumbu karang yang seindah di Pulau Mabul atau Pulau Sipadan di Semporna, Sabah atau Pulau Tioman di Pahang, terumbu karang di Gugusan Pulau Besar tetap indah dan mampu menarik kehadiran pelancong terutama yang gemar aktiviti menyelam dan snorkeling.

Keindahan itu disahkan tujuh penyelam profesional Jabatan Perikanan dari Putrajaya dalam ekspedisi menyelam untuk mengenal pasti jenis terumbu karang yang ada di sekeliling Pulau Besar dan Pulau Undan, baru-baru ini.

Penyelam Jabatan Perikanan mengkaji terumbu karang di perairan Pulau Besar, dekat Pernu dan Umbai, Melaka. - Foto Hassan Omar
Penyelam Jabatan Perikanan mengkaji terumbu karang di perairan Pulau Besar, dekat Pernu dan Umbai, Melaka. - Foto Hassan Omar

Penyelam Jabatan Perikanan mengkaji terumbu karang di Pulau Besar. - Foto Hassan Omar
Penyelam Jabatan Perikanan mengkaji terumbu karang di Pulau Besar. - Foto Hassan Omar

Bagi Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Melaka, Nawar Abdul Karim, yang mengetuai ekspedisi selama dua hari itu mahu menerokai lebih mendalam dunia dasar laut bagi tujuan menjadikan Pulau Besar dan Pulau Undan sebagai Taman Laut.

Setakat ini, hanya Pulau Besar yang sudah diwartakan sebagai Kawasan Larangan Perikanan mengikut Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994 yang mencegah aktiviti menangkap ikan manakala Pulau Undan masih belum diwartakan mengikut undang-undang berkenaan.

Apabila diwartakan sebagai Taman Laut, segala aktiviti menangkap ikan dan mengambil, memindahkan serta memusnahkan batu karang di perairan satu batu nautika kedua-dua pulau berkenaan dilarang sama sekali.

Nawar berkata, sebelum ekspedisi itu, kajian mengenai cadangan ke sana sudah beberapa kali dilakukan, termasuk penjelajahan mengenal pasti jenis batu karang dan ikan, di sekitar kedua-dua pulau berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

Mengikut pewartaan undang-undang berkenaan, sesiapa menangkap ikan di perairan satu batu nautika boleh didakwa mengikut Seksyen 25(b) Akta Perikanan 1985.

Keindahan Pulau Besar menggamit pelancong. - Foto Hassan Omar
Keindahan Pulau Besar menggamit pelancong. - Foto Hassan Omar

Sebahagian daripada batu karang indah sekeliling Pulau Besar. - Foto Hassan Omar
Sebahagian daripada batu karang indah sekeliling Pulau Besar. - Foto Hassan Omar

Berdasarkan peraturan untuk menjadikan Taman Laut, perairan dua batu nautika diwartakan sebagai kawasan larangan aktiviti menangkap ikan dan mengambil batu karang tetapi bagi Pulau Besar dan Pulau Undan, Jabatan Perikanan mencadangkan hanya satu batu nautika selepas mengambil kira kepentingan nelayan untuk mencari rezeki.

"Sebelum larangan itu dikuatkuasakan, aktiviti menangkap ikan secara berlebihan di perairan Pulau Besar menyebabkan kerosakan batu karang, selain menghalang pertumbuhan karang secara semula jadi.

"Berdasarkan kajian kami sejak pertengahan 2018, ada 81 spesies karang keras di perairan Melaka, khususnya di gugusan pulau itu dengan lima daripadanya spesies karang yang menghadapi risiko mengalami kepupusan.

"Selain itu, ada 19 spesies karang lembut berwarna-warni dan kebanyakan kawasan terumbu karang didominasi karang jenis cambuk laut atau 'Ellisellidae' dan 'Subergorgiidae," katanya.

Kajian juga mendapati, ada 67 jenis terumbu karang di sekitar perairan Pulau Undan dan Pulau Nangka.

Pelbagai spesies terumbu karang berwarna-warni mampu gamit pelancong. - Foto Hassan Omar
Pelbagai spesies terumbu karang berwarna-warni mampu gamit pelancong. - Foto Hassan Omar

Selain itu, ada 38 spesies makro bentik vetebrata yang terdiri daripada organisma hidup di dasar laut, kebanyakannya daripada 'Class Gastropoda' dan 'Nudibranch', di Pulau Undan dan Pulau Serimbun, katanya.

Justeru, penyelam dalam ekspedisi ini kagum apabila mendapati perairan sekeliling Pulau Besar pada hakikatnya kaya dengan terumbu karang yang indah.

Peserta ekspedisi, Ahmad Ikhwan Muftaruddin, 38, berkata sebelum ini beliau kagum dengan keindahan terumbu karang di Sabah dan Pahang tetapi selepas menyelam di dasar laut berhampiran Pulau Besar, beliau terkejut apabila mendapati ia dipenuhi terumbu karang yang tidak kurang hebatnya.

"Saya tidak sangka perairan Pulau Besar mempunyai batu karang yang sangat indah dan saya tidak perlu menyelam di kawasan dalam, cukup di kawasan sedalam satu meter saya sudah jumpa batu karang yang cantik," katanya.

Keindahan berkenaan pastinya meruntun nurani pelancong, terutama mereka yang gemar aktiviti menyelam dan bersantai di pulau.

"Pelancong boleh menginap di hotel sekitar bandar raya Melaka sebelum ke Jeti Pernu atau Jeti Umbai yang hanya memerlukan kira-kira 10 minit memandu," katanya.

Pelbagai spesies terumbu karang berwarna-warni mampu gamit pelancong. - Foto Hassan Omar
Pelbagai spesies terumbu karang berwarna-warni mampu gamit pelancong. - Foto Hassan Omar

Berita Harian X