Ahad, 26 Julai 2020 | 10:44am
Chalet di tebing kawasan air terjun di Kampung Chatel, Kuala Krai. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Chalet di tebing kawasan air terjun di Kampung Chatel, Kuala Krai. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Enam 'jahanam' di Istana Sangkut

MENDEKATI enam chalet unik dan comel dibina di tebing kawasan air terjun di Kampung Chatel, Kuala Krai, Kelantan, hati mula tertanya-tanya kenapa nama enam watak dalam filem klasik 'Enam Jahanam' iaitu Jagindas, Sujama, Mumbala, Karambit, Katipang dan Baragas ditampal di bahagian hadapan.

Perhatian semakin mengujakan apabila ternampak sebuah tandas seperti yang digunakan pada zaman dahulu dengan tanda pangkah bertulis 'Marjinah' dan pondok di bahagian belakangnya dinamakan Ahmad Albab.

Semua petunjuk itu jika diteliti, ada kaitannya dengan filem arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan lebih menguatkan lagi andaian bahawa pemiliknya meminati filem klasik itu adalah wujudnya sebuah pondok usang ditampal papan tanda 'Istana Sangkut' dengan tulisan daripada arang seperti satu babak dalam filem bertajuk Do Re Mi.

Andaian itu diakui pemiliknya, Ismail Abdul Manaf, 54, yang membuka kawasan riadah berkonsepkan kem eko pada penghujung tahun lalu, dan memilih nama Istana Sangkut apabila ternampak sebuah pondok yang memang pada asalnya sudah wujud di tanah kebun dibelinya itu.

"Sebaik ternampak pondok tinggal itu, secara spontan ayah saya memberitahu fizikalnya seperti istana sangkut yang terdapat dalam satu babak filem Do Re Mi dan tanpa berfikir panjang saya terus memutuskan untuk menamakan kawasan ini dengan nama berkenaan.

Chalet dibina bukan sahaja unik, tetapi menggunakan nama karakter dalam filem P Ramlee.
Chalet dibina bukan sahaja unik, tetapi menggunakan nama karakter dalam filem P Ramlee.

"Saya dan ayah memang peminat filem klasik arahan P Ramlee dan segala binaan di kawasan ini kami namakan dengan watak atau babak dalam beberapa filem arahannya," katanya.

Ismail membeli tanah kebun terbiar pada tahun lalu, melihat kawasan itu mempunyai potensi besar untuk dimajukan sebagai lokasi peranginan memandangkan terdapat air terjun.

Beliau berkata, sebaik mula beroperasi sepenuhnya pada 6 Disember tahun lalu, Istana Sangkut mendapat sambutan menggalakkan dan keenam-enam chalet sentiasa habis ditempah.

Bukan hanya keindahan air terjun yang sesuai dijalankan aktiviti mandi-manda dan berkelah tapi pengurusannya juga menyediakan pelbagai aktiviti 'outdoor' yang boleh dimasukkan bersama dalam pakej antaranya 'jungle tracking' 'flying fox', 'water crossing', 'water confident', '4x4 experience' serta beberapa lagi.

"Bagi beberapa aktiviti lasak, ia akan dipantau oleh empat bekas komando yang saya tawarkan kepada mereka pendapatan sampingan selain untuk sama-sama membangunkan kawasan riadah ini.

"Selain menjalankan aktiviti lasak dan latihan asas ala komando , pengunjung juga diajar cara memasak dalam hutan dan berkongsi tip berkenaan hutan melalui ilmu dalam komando," katanya yang berasal dari Kampung Chuchuh Puteri, di sini.

Di samping menyediakan kawasan riadah yang tenang dan menarik, Istana Sangkut juga ada juadahnya tersendiri iaitu ikan pekasam yang mana ia dihasilkan sendiri oleh penduduk kampung ini.

Istana Sangkut menyediakan kawasan untuk beriadah.
Istana Sangkut menyediakan kawasan untuk beriadah.

Menggunakan jenama Ikan Pekasam Chatel, pelbagai ikan dipancing penduduk akan dibawa balik ke rumah masing-masing untuk dibuat pekasam menggunakan resipi dari Selatan Thai iaitu ramuan nasi, garam, asam keping, gula dan serbuk perasa.

"Saya minta penduduk kampung hasilkan ikan pekasam itu dijual di Istana Sangkut dan jualannya boleh diambil mereka 100 peratus kerana niat saya hanya untuk membantu menaikkan ekonomi penduduk.

"Saya juga ada menawarkan kepada seorang penduduk untuk membina beberapa chalet berhampiran kawasan Istana Sangkut untuk menampung keperluan pengunjung dan dijangka empat chalet dari binaan kayu chengal akan siap dalam masa terdekat," katanya.

Pengarah Pejabat Kementerian pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Kelantan, Mohd Aidil Afizie Daud, menyifatkan kewujudan Istana Sangkut itu adalah inisiatif yang baik dalam mempelbagaikan destinasi pelancongan di negeri ini.

Beliau berkata, kemunculannya juga dalam waktu yang tepat ketika pelancongan domestik sangat difokuskan pada masa kini dalam usaha merancakkan semula industri pelancongan terjejas dalam pandemik COVID-19.

"Biasanya kawasan riadah seperti ini lebih menjadi tumpuan pelancongan domestik dan percutian keluarga selesa dengan kawasan luas dilengkapi prasarana yang sesuai.

"Lokasi asalnya juga bukan semata-mata hutan sebaliknya tanah kebun dan sangat sesuai dengan pengunjung yang ingin lari daripada kesibukan bandar dan orang ramai," katanya.

Berita Harian X