Ahad, 11 March 2018 | 8:44pm
EHLID aktif mempamerkan hasil karya beliau kepada pengunjung Tamu Jalan Gaya, Kota Kinabalu, pada setiap pagi Ahad. - Foto Mohd Nazllie Zainul
ANTARA hasil lukisan batu atau 'stone painting' yang dihasilkan oleh Ehlid. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Abadi hasil seni pada permukaan batu

KOTA KINABALU: Melukis di atas kertas atau kanvas adalah perkara biasa, namun seorang pelukis dari negeri ini memilih medium berbeza iaitu batu sungai untuk berkarya.

Selain mencari kelainan dalam hasil seni, Abdullah Ehli Al Wahid Luli, 28, atau lebih dikenali Ehlid Luli, memilih medium berbeza itu bertujuan mengembangkan bakat lukisan sedia ada.

Berasal dari Keningau, dekat sini, Ehlid aktif mempamerkan hasil karya beliau kepada pengunjung Tamu Jalan Gaya, di sini, pada setiap pagi Ahad, malah sering melakukan demonstrasi melukis atas permukaan batu sungai sehingga menarik perhatian ramai, khususnya pelancong asing.

Ditanya mengenai karyanya yang unik, anak muda ini berpendapat setiap batu yang terdapat di sungai mempunyai keunikan bentuk tersendiri bagi dijadikan lukisan batu atau 'stone painting'.

"Ini salah satu cara untuk saya mengembangkan kebolehan dalam bidang lukisan disebabkan masyarakat tempatan atau pelancong asing kini lebih menyukai hasil karya seni yang cantik, unik dan berbeza.

EHLID menunjukkan hasil lukisan batu atau 'stone painting' yang dihasilkannya. - Foto Mohd Nazllie Zainul

"Bagaimanapun, kreativiti dan imaginasi seseorang pelukis itu penting terutama ketika mengutip batu sungai bersesuaian, kerana bukan semua batu sesuai dilukis untuk semua subjek.

"Mungkin ada antara batu yang ditemui hanya sesuai untuk melukis haiwan serta serangga sahaja, namun ada bentuk batu yang memiliki permukaan sesuai bagi semua lukisan termasuk bunga atau pemandangan," katanya yang mula aktif menghasilkan lukisan batu sejak kira-kira setahun lalu.

Ehlid berkata, sekiranya seseorang itu sudah mahir dalam menghasilkan lukisan kanvas, melukis pada batu tidak akan menjadi masalah besar disebabkan proses penghasilan tetap sama.

Beliau berkata, idea melakukan lukisan pada batu sungai timbul selepas dia terfikir mengenai langkah mengekpresikan karya lukisan secara lebih kreatif.

Inspirasi pelukis luar negara

"Saya banyak melihat sumber inspirasi daripada pelukis luar negara, selain melakukan penyelidikan di internet sebelum memulakan aktiviti ini.

"Mungkin di negeri ini sudah ada yang melakukannya, tetapi secara keseluruhan lukisan seumpama ini masih kurang dihasilkan," katanya.

EHLID membuat demonstrasi melukis atas permukaan batu sungai. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Ehlid berkata, penerimaan pelanggan terutama dalam kalangan pelancong asing juga bertambah khususnya apabila melihat dirinya membuat demonstrasi terbuka di gerai miliknya di Tamu Jalan Gaya.

Bapa kepada dua anak itu mengakui dirinya bertuah dilahirkan di Negeri di Bawah Bayu yang cukup terkenal dengan kepelbagaian keindahan alam semula jadi, selain mempunyai banyak mercu tanda pelancongan.

"Selain banyak membuat lukisan batu seperti haiwan, serangga dan bunga, saya gemar melukis batu dengan motif Sabah termasuk bunga Rafflesia, Gunung Kinabalu atau periuk kera.

"Motif lukisan batu seumpama ini sering kali menjadi pilihan pelanggan yang berkunjung ke tapak tamu ini," katanya yang menjual lukisan batu berharga antara RM5 hingga RM50 mengikut corak dan saiz.

INFO:

Lukisan batu

  • RM5 hingga RM50 - harga lukisan batu mengikut corak dan saiz
  • Haiwan, serangga, bunga dan bermotifkan Sabah sering kali jadi pilihan
  • Tamu Jalan Gaya - lokasi pamer karya demonstrasi lukisan setiap pagi Ahad

Biodata

  • Nama: Abdullah Ehli Al Wahid Luli
  • Gelaran: Ehlid Luli
  • Umur: 28 tahun
  • Asal: Kampung Baru Bingkor, Keningau
  • Latar belakang: Pelukis, mempunyai galeri lukisan di Asia City di Kota Kinabalu
Berita Harian X