Jumaat, 13 Julai 2018 | 4:27pm
DR Rosdan menunjukkan lapisan membran yang melapisi kawasan dalam hidung.

Majoriti penghidap resdung alah makanan laut

KOTA BHARU: Seramai 95 pesakit yang menghidap resdung atau seduan dan mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), alah kepada makanan laut.

Mengikut kajian yang pernah dilakukan hospital itu, sebanyak 40 peratus lagi pesakit alah kepada bulu kucing atau binatang peliharaan lain.

Pakar Perunding Otorinolaringologi HUSM, Prof Madya Dr Rosdan Salim, berkata kajian sama mendapati antara 27 hingga 30 peratus bagi 100 individu mempunyai masalah seduan atau resdung.

Bagi mengelak penyakit ini, katanya, pesakit perlu menjauhkan diri daripada alahan termasuk hama debu, habuk dan bulu binatang peliharaan.

Katanya, pesakit digalakkan supaya sentiasa membasuh 'muka dan' hidung secara menyedut sedikit air dalam hidung dan membuangnya.

Selain itu, katanya, pengamal perubatan akan menggunakan ubat antihistamin bagi mengurangkan rasa gatal atau berair dalam hidung.

"Pesakit juga boleh menggunakan 'semburan' steroid di kawasan radang atau sensitif 'di dalam hidung'. Pakar perubatan akan membuat keputusan untuk 'pilihan' rawatan terbaik untuk pesakit.

"Pembedahan kecil akan ditawarkan jika ubat yang diberi tidak mampu merawat bagi mengecilkan bahagian dalam hidung (turbinet)," katanya ketika ditemui NSTP.

Dr Rosdan berkata, kerap bersin, gatal hidung, hidung tersumbat dan hidung berair adalah antara gejala seduan yang terjadi dalam kalangan pesakit.

Bagaimanapun, katanya, gejala itu tidak disedari kerana individu menganggapnya sebagai sakit biasa.

Beliau berkata, gejala awal seduan atau lebih dikenali sebagai alahan rinitis berlaku kerana keradangan membran nasal (hidung) menyebabkan seseorang kerap bersin, hidung berair, hidung tersumbat, gatal hidung atau mana-mana kombinasi.

Katanya, gejala itu mungkin tidak dapat dikesan oleh pesakit, namun jika ia berlarutan dalam tempoh lima hari atau seminggu, pesakit perlu mendapat rawatan lanjut.

"Masalah seduan boleh dikesan sendiri oleh pesakit untuk rawatan awal bagi mengelakkan ia merebak menjadi resdung atau sinusitis.

"Alahan rinitis adalah gejala yang mana hidung pesakit sering tersumbat dan berair apabila terdedah kepada habuk atau memakan sesuatu yang pesakit alah seperti makanan laut.

"Pesakit juga akan kerap bersin berpanjangan sebaik bangun tidur, terutama pada waktu pagi yang akan memberi rasa tidak selesa, gatal hidung, mata, tekak dan muka serta kahak yang mengalir di belakang tekak.

"Gejala ini perlu dibendung bagi mengelakkan ia merebak dan membawa kepada masalah resdung," katanya.

Dr Rosdan berkata, seduan terjadi kerana pesakit terdedah kepada hama debu, habuk, kelemumur binatang peliharaan dan pencemaran udara terutama dalam keadaan cuaca kering.

Katanya, masalah seduan jika tidak dirawat akan membawa kepada resdung atau keradangan sinus (sinusitis).

"Masalah sinusitis akan menyebabkan pesakit mengalami sakit pada bahagian dahi, belakang mata, sakit muka dan kepala apabila bersujud atau rukuk, kerap demam, deria bau terganggu dan lendir kehijauan atau kuning.

"Alahan rinitis dan sinusitis amat berkait rapat yang disebabkan persekitaran dan alergik (alahan) yang disebabkan oleh sistem imun individu yang terlalu sensitif.

"Ia juga dipengaruhi oleh faktor genetik atau keturunan. Jika ibu bapa mempunyai m

asalah resdung atau seduan, 50 peratus anak-anak mereka akan turut mengalaminya.

"Namun, masalah ini boleh dirawat atau hilang dengan sendirinya apabila seorang pesakit meningkat dewasa," katanya.

Dr Rosdan berkata, apabila pesakit seduan tidak mendapatkan rawatan yang sesuai, cecair berlendir di dalam ruang sinus akan terus berkumpul dalam ruang sinus hidung, seterusnya menyebabkan lapisan mukosa membengkak dan menyekat bukaan sinus.

Katanya, jika jangkitan berlaku, cecair berlendir ini akan berubah warna menjadi lendir kehijauan atau kuning di dalam sinus.

Alahan rinitis dan sinusitis akan menyebabkan pesakit hilang deria bau disebabkan hidung tersumbat.

"Dalam kes ini, ia boleh dirawat menerusi ubat atau pembedahan kecil membuang penghalang untuk pengaliran keluar cecair dan pada masa sama, mengembalikan deria bau," katanya.

Berita Harian X